fb fb fb fb fb

Merdekakan diri daripada belenggu emosi

FOTO HIASAN (Zulmaury Saavedra - Unsplash)

SAUDARA PENGARANG

31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia dan pada tahun 2024 genap 67 tahun kita menyambut kemerdekaan. Selama 67 tahun kita merdeka, bebas daripada dijajah kuasa asing.

Namun bagaimana pula dengan diri kita? Adakah kita sendiri sudah bebas daripada perasaan negatif yang sudah lama bersarang dalam diri? Sebelum itu mari kita fahamkan terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan istilah merdeka itu sendiri.

Merdeka bermaksud bebas, jika dilihat dalam konteks negara kita bebas dan tidak terikat dengan penjajah. Merujuk kepada konteks diri, merdeka bermaksud bebas dan terlepas dari dibelenggu perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan diri.

Jadi perkara utama yang perlu dilakukan bagi memerdekakan diri daripada belenggu emosi adalah memahami kesejahteraan psikologi diri. Bukan badan dan wajah sahaja yang perlu dijaga, tetapi psikologi diri juga perlu dititikberatkan.

Kesejahteraan psikologi menekankan tiga komponen utama iaitu pemikiran, emosi dan tingkah laku (PET). Pemikiran adalah perkara pertama yang perlu dititikberatkan yang mana ia boleh menganggu emosi dan tingkah laku seseorang sekiranya bermula dengan sesuatu yang negatif.

Sebagai contoh, apabila bangun pagi apa perkara pertama yang terlintas difikiran? Adakah perkara yang positif, atau ianya hal yang negatif? Jika seseorang memulakan hari dengan memikirkan sesuatu yang negatif, pandangan terhadap sesuatu yang berlaku mungkin akan menjadi negatif dan turut memberikan kesan pada emosi dan tingkah laku.

Selanjutnya adalah komponen emosi yang boleh terhasil daripada corak pemikiran seseorang. Sebagai contoh, seorang isteri yang mempunyai pemikiran negatif dan memikirkan yang hidup ini tidak lagi berguna kerana dilahirkan untuk dihina, makanya emosi wanita tersebut akan berasa sedih, marah, kecewa dan bercampur baur.

Lebih merisaukan apabila si isteri terpaksa menanggung emosi negatif ini setiap hari dan lebih parah lagi jika isu penderaan ini masih berlarutan dan beliau bukan sahaja menanggung emosi yang sama, tetapi terperangkap dalam emosi yang negatif setiap masa. Manakala komponen ketiga adalah tingkah laku yang terhasil daripada pemikiran dan juga emosi seseorang individu samada positif mahupun negatif.

Tingkah laku yang negatif akan meninggalkan kesan buruk pada diri seseorang individu dan tidak mustahil ianya boleh memberikan kesan yang sama pada orang sekelingnya.

Contohnya bagi situasi isteri yang menjadi mangsa kepada penderaan rumah tangga, kebiasaannya mangsa akan mula mengelakkan diri daripada orang ramai kerana takut dengan pemangsa serta risau dengan persepsi orang lain. Lebih merisaukan lagi jika mangsa mempunyai anak dan secara tidak langsung mangsa akan melepaskan tekanan yang dihadapinya kepada anak-anak.

Melihat kepada penerangan aspek di atas jelas bahawa penjagaan psikologi seseorang individu amatlah penting kerana psikologi ini terkait rapat dengan kefungsian hidup.

Sebagai contoh dari sudut pekerjaan, pendidikan kekeluargaan dan banyak lagi. Kesihatan psikologi seseorang akan mendatangkan hasil yang baik bukan sahaja buat dirinya tetapi kepada orang sekelilingnya juga.

Beberapa perkara boleh dilakukan bagi memerdekakan diri kita daripada terperangkap dengan unsur-unsur yang negatif.

Pertama, elakkan diri dari persekitaran yang tidak sihat. Contohnya apabila berhadapan dengan rakan-rakan yang toksik atau individu yang sering memberikan stigma yang negatif kepada diri, keluar dari kelompok tersebut. Lebih baik sekiranya kesejahteraan mental terjaga daripada dibelenggu dengan perasaan negatif yang boleh memudaratkan kesihatan.

Kedua, lakukan aktiviti yang boleh meningkatkan nilai positif pada diri dengan cara melakukan aktiviti riadah pada waktu petang, berinteraksi dengan alam, bergaul dengan rakan-rakan yang memberikan motivasi yang baik pada diri.

Ketiga adalah melakukan penghargaan kepada diri sendiri, iaitu dengan memberikan ruang buat diri untuk refleksi kendiri. Hal ini secara tidak langsung akan membantu seseorang membentuk kekuatan diri secara dalaman serta luaran dan memperolehi pemikiran yang lebih positif daripada sebelumnya.

Keempat kenal pasti perkara yang berada dalam kawalan dan luar kawalan. Amalkan konsep 90 dan 10 peratus. Di dalam kehidupan ini 90 peratus perkara yang berlaku adalah dalam kawalan individu dan hanya 10 peratus sahaja yang tidak boleh dikawal.

Contohnya dalam satu situasi suami bersiap seperti biasa untuk ketempat kerja, namun begitu ketika sarapan bersama keluarga anaknya perempuannya tidak sengaja menumpahkan air kopi di meja makan dan terkena sedikit pada bajunya.

Melalui situasi ini jelas air kopi yang tumpah adalah perkara yang berlaku di luar kawalan, jadi untuk memastikan diri kekal positif individu perlu memupuk diri untuk berfikir secara positif, mengawal emosi dan kemudiannya menunjukkan tingkah laku dan respon yang positif supaya tidak tewas dengan perkara yang hanya 10 peratus sahaja berada diluar kawalan.

Kelima adalah dengan meningkatkan nilai spiritual dalam amalan seharian dan ini mengikut kepada ajaran agama masing-masing. Jika dilihat dalam agama islam bantuan dan pertolongan yang mutlak adalah melalui Allah SWT iaitu dengan cara melaksanakan segala perkara yang diperintahkan kepada Allah serta meninggalkan segala larangannya.

Dalam surah al-Baqarah ayat 153, Allah berfirman “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar”.

Melalui ayat ini jelas bahawa solat itu perkara yang penting kerana ianya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan dapat mendatangkan ketengan pada diri seseorang individu yang melaksanakan suruhanNYA.

Melalui lima perkara diatas ini, dapat membantu kita mengekalkan diri dengan perkara yang positif sekaligus menjauhkan kita dari segala unsur-unsur negatif yang boleh timbul.

Jadi bertepatan dengan tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’. Jika difahamkan jiwa merdeka disini adalah menzahirkan kebebasan jiwa seseorang dari sebarang element negatif.

Bebaskanlah diri daripada unsur yang negatif, fikirkan perkara positif dan nikmati kehidupan dengan sebaiknya.

Mari kita sama-sama belajar untuk mengawal dan membentuk satu pemikiran positif setiap hari serta jadikan hari-hari tersebut sebagai hari yang baru. Pastinya banyak perkara yang dapat dipelajari dan boleh diperbaiki untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.

PENULIS PROF MADYA DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR, NUR NADHIRAH MAT NAWI. Dr. Azmawaty merupakan Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar) di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) dan ahli Lembaga Kaunselor Malaysia, manakala Nur Nadhirah Mat Nawi adalah Kaunselor Pelatih dari Fakulti Pendidikan, UM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

SITI AISHAH MD ISA