fb fb fb fb fb

Bebaskan gigimu daripada si 'penjajah'

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

"Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan lima puluh tujuh..." Lantunan suara ikonik Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang kedengaran di corong-corong radio ketika ini, menandakan bulan kemerdekaan telah pun tiba. Meskipun lagu ini mungkin sudah lama, tetapi melodinya tetap segar dalam ingatan.

Namun, di sebalik kehangatan sambutan kemerdekaan ini, sebagai seorang profesional dalam bidang pergigian, saya terimbau satu perkongsian di media sosial mengenai persoalan, “Sudahkah anda bebas merdeka dari masalah pergigian?”

Persoalan ini membuka satu perspektif dalam menilai taraf kemerdekaan kita dari aspek kesihatan, terutamanya kesihatan pergigian. Persoalan tersebut saya hubungkan dengan statistik terkini mengenai taraf kesihatan mulut orang dewasa di Malaysia, dan dapatan tersebut secara umumnya amat membimbangkan.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA) 2020, didapati 17 daripada setiap 20 orang dewasa Malaysia sebenarnya mempunyai masalah gigi berlubang; setiap individu dewasa mempunyai sekurang-kurangnya sepuluh batang gigi yang rosak; dan 9 daripada setiap 10 orang dewasa Malaysia mengalami masalah gusi yang tidak sihat.

Walaupun Malaysia sudah pun 67 tahun merdeka, namun statistik ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia belum ‘merdeka’ sepenunhnya dari masalah ini. Oleh yang demikian, hal ini membuka satu ruang refleksi sempena bulan bersejarah ini, mengenai kemerdekaan dari aspek kesihatan pergigian.

Seperti mana kita mengenang tanggal 31 Ogos 1957 sebagai momen penamatan penjajahan asing di Malaysia, bilakah pula kita akan menamatkan ‘penjajahan’ penyakit gigi atau bakteria yang merosakkan gigi kita?

Jangan lupa juga kemerdekaan dari 'penjajah' moden seperti doktor gigi tidak bertauliah atau produk pergigian yang 'overclaim' di media sosial. Kemerdekaan sebenar bukan sekadar simbolik namun ia harus dimaknai sebagai kebebasan yang holistik, termasuklah dari aspek kesihatan, dan dalam isu yang dibicarakan, iaitu masalah pergigian.

Oleh itu, tiba masanya untuk kita mengorak langkah dengan bermula dari langkah kecil berimpak besar, untuk mengatasi 'penjajahan' yang mengancam kesihatan pergigian kita, bermula daripada tindakan individu. 

Langkah ini adalah perlu jika kita ingin mempunyai kualiti hidup yang optimum dengan bebasnya dari penyakit gigi sekali gus menjadikan kita, rakyat Malaysia yang mempunyai gigi yang sihat dan senyuman yang penuh keyakinan.

Namun begitu, apakah percaturan untuk mengekang serta mendepani masalah pergigian secara individu? Sebagaimana para tokoh pejuang kemerdekaan yang mempunyai strategi dalam memperjuangkan tanah air, begitu juga dalam isu ni.

Berikut merupakan ringkasan perkara asas dalam penjagaan kesihatan pergigian secara umum, yang saya namakan sebagai Langkah 3G.

1. Gigi: Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan kaedah yang betul. Memberus gigi bukan sekadar rutin harian, ia adalah barisan hadapan dalam melawan plak dan bakteria. Menurut kajian, teknik memberus gigi yang betul adalah faktor utama untuk memastikan ianya menjadi efektif dan mengatasi penompokan plak gigi (tahi gigi) sekali gus dapat menghindari masalah gusi. Bakteria akan melekat pada sisa tahi gigi yang tidak dibersihkan. Oleh itu, kaedah memberus gigi dapat mengawal perkara tersebut dari terjadi.

2. Gula: Kurangkan pengambilan makanan bergula. Gula adalah musuh utama gigi anda. Amalan pemakanan yang sihat adalah amat penting. Snek atau makanan manis hendakalah dikurangkan kerana gula yang terkandung merupakan salah satu faktor penyumbang gigi berlubang atau karies gigi. Menurut kajian saintifik, bakteria menggunakan glukosa dari gula untuk aktif serta meningkatkan tahap keasidan di persekitaran mulut yang menyumbang kepada pembentukan lubang gigi.

3. Gaya Hidup: Pemeriksaan berkala dan jauhi doktor gigi tidak bertauliah. Pemeriksaan pergigian setiap enam bulan amatlah penting dalam memastikan masalah pergigian dapat dibendung dari awal sebelum menjadi lebih serius. Namun, elakkan mendapatkan rawatan dari doktor gigi tidak bertauliah atau 'fake dentist' dan penggunaan produk pergigian 'overclaim' yang membahayakan.

Tuntasnya, sudah terlalu lama kita mengambil mudah soal kesihatan gigi. Sudah tiba masanya untuk kita berubah ke arah pembebasan diri dari masalah pergigian. Langkah kolektif dari semua pihak adalah amat penting dalam merealisasikan hasrat memerdekakan rakyat Malaysia secara umum daripada masalah pergigian.

Namun begitu, langkah pertama bermula daripada anda. Anda bertanggungjawab ke atas kesihatan anda sendiri. Jadilah hero yang sebenar dengan menjaga kesihatan gigi anda. 

Jadi, apa tunggu lagi? Mulakan sekarang! Jom jadi hero untuk diri sendiri dan merdekakan gigi anda dari masalah pergigian. Kesihatan pergigian yang sihat, bebas dari sebarang permasalahan, adalah lambang kemerdekaan yang sejati.

PENULIS DR AFAF SYAHIRA AHMAD SATMI, merupakan pensyarah pelatih dalam bidang radiologi oral dan maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), dan boleh dihubungi melalui e-mail Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI