fb fb fb fb fb

Menyantuni golongan mualaf perlu sokongan semua pihak

Golongan mualaf yang hadir pada Majlis Iftar Mahabbah Ramadan anjuran PERKIM pada 3 April 2024/Foto hiasan Bernama

SAUDARA PENGARANG

Ramadan merupakan bulan untuk umat Islam beribadah. Selain berpuasa, umat Islam bersama-sama melakukan aktiviti ibadah dan menggandakan amalan baik untuk mendapatkan ganjaran pahala berganda.

Pada bulan mulia ini, banyak acara disusun oleh pelbagai pihak untuk memantapkan nilai Islam dalam masyarakat. Kita dapat lihat amalan penganjuran program berbuka puasa di masjid-masjid di seluruh negara, aktiviti keagamaan dan pelbagai rancangan agama di media massa.

Beberapa pempengaruh media sosial bukan Islam dilihat turut sama berpuasa dan merasai pengalaman seperti bersahur, berbuka puasa dan mencari juadah di bazar Ramadan sebagaimana umat Islam lain. Pengalaman berpuasa untuk pertama kalinya menjadi waktu yang sangat istimewa dan mengajar sesuatu amat berharga kepada setiap individu.

Di sebalik kemeriahan aktiviti di bulan Ramadan, terdapat golongan penting yang perlu disantuni oleh masyarakat iaitu golongan mualaf atau saudara baharu. Mereka memerlukan perhatian masyarakat dalam usaha untuk membangun diri dan memperkukuh pemahaman terhadap nilai-nilai agama Islam.

Kita boleh lihat golongan ini mendapat perhatian dari badan-badan berwajib yang menguruskan keperluan mereka. Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab agensi agama dalam negara untuk melaksanakan aktiviti dakwah dan memperkukuh pemahaman terhadap nilai-nilai agama Islam.

Tidak hanya terhenti di situ, badan berwajib dengan kerjasama pelbagai pihak berkolaborasi untuk membangunkan diri, keluarga dan komuniti saudara baharu ini.

Perlu sokongan, dokongan dan dorongan

Seiring pelaksanaan aktiviti dan bantuan yang diberikan oleh badan berwajib terhadap golongan saudara baharu, kita sebagai komuniti perlu prihatin dan cakna dengan golongan ini tidak hanya ketika bulan Ramadan sahaja.

Justeru pentingnya penglibatan institusi atau organisasi untuk sama-sama memberi perhatian kepada mereka misalnya dengan melaksana aktiviti kemasyarakatan untuk menyampaikan ilmu dan nilai Islam secara berterusan.

Sebagai contoh kebanyakan daripada kita memilih rumah orang tua atau projek keluarga angkat di luar bandar apabila merancang aktiviti kemasyarakatan.

Persoalannya, berapa ramai yang memilih untuk mendekati golongan saudara baharu ini dalam usaha memberikan sokongan, dokongan dan dorongan kepada mereka dalam proses transisi kehidupan mereka.

Bimbingan dan sokongan yang berterusan daripada komuniti dan program yang disediakan oleh organisasi dakwah boleh membantu dalam proses transisi kehidupan mereka.

Kebanyakan saudara baharu yang ditemui mula merasai transformasi ini setelah mereka mengikuti program pembelajaran asas-asas Islam seperti solat, puasa dan membaca al-Quran serta mempelajari aspek-aspek kehidupan seharian dalam praktik Islam seperti ibadah dalam lingkungan kerja dan sosial.

Maka, adalah lebih bermakna jika kita memperkukuh sistem sokongan komuniti yang melangkaui sistem pendidikan konvensional dalam memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan saudara baharu.

Ukhuwah kita dengan golongan saudara baharu tentulah dapat membantu meringankan beban kehidupan mereka atau setidak-tidaknya dapat mengurangkan beberapa kesukaran yang mungkin mereka hadapi dalam perjalanan menemui kebahagiaan dan kedamaian yang mereka cari dalam hidup.

Acara sosialisasi

Selain itu, kita boleh mengadakan kegiatan amal dan projek komuniti tempatan dengan golongan saudara baharu untuk memperkuat rasa kebersamaan dengan mengadakan aktiviti dialog dan diskusi terbuka.

Aktiviti dialog dan diskusi terbuka tentang isu-isu yang dihadapi oleh mereka dapat memberikan platform untuk berkongsi pengalaman, cabaran dan kehidupan. Hubungan mereka dalam komuniti Muslim dapat diperkuat apabila mengadakan lingkungan yang menyokong peningkatan kerohanian bukan sahaja kepada saudara baharu tetapi juga kepada masyarakat Muslim terlibat.

Program seperti dakwah korporat yang menyelenggarakan dan menyokong program-program dengan golongan saudara baharu juga dapat memperkukuh pemahaman terhadap nilai-nilai agama dalam semua aspek kehidupan.

Justeru, sebagai masyarakat atau komuniti Muslim yang kaya dengan kepelbagaian budaya, menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan persaudaraan komuniti yang mendokong perjalanan spiritual sesama Islam dan sebagai pendokong penting; membawa kepada transformasi hidup luar biasa keimanan seseorang yang sedang mencari cahaya dalam hidup.

PENULIS NORAZIRAWATI AHMAD, Ketua Program Komunikasi/Pensyarah, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor (UIS). Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI