SAUDARA PENGARANG
Tarikh 1 Syawal disambut setiap tahun dengan penuh meriah demi meraikan kemenangan umat Islam seluruh dunia. Hari Raya Aidilfitri merupakan sambutan meraikan kemenangan dalam melawan musuh nombor satu hawa nafsu.
Jihad melawan nafsu ini dibantu dengan senjata-senjata ibadat yang hebat, terutamanya puasa dengan menahan diri dari lapar dan dahaga serta perbuatan yang boleh membatalkannya dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari selama kurang lebih 30 hari.
Bukan itu sahaja, umat Islam juga mengambil peluang bonanza dengan memperbanyakkan lagi ibadat dengan bersolat, bertaubat dan bermunajat memohon rahmat dan berkat tanpa mengenal penat, tanpa berkira-kira rakaat.
Justeru, pada hari raya Aidilfitri, umat Islam seharusnya telah kembali kepada fitrah azalinya yang suci dari dosa dan noda. Hari raya adalah hadiah dari Allah yang Esa kepada seluruh umat Islam di dunia.
Namun, matlamat atau maqasid Aidilfitri ini sering dicemari lantaran umat Islam tidak cukup memahami erti perayaan fitrah yang suci ini. Hari yang sepatutnya saling bermaafan bertukar menjadi hari bermusuhan.
Hari yang sepatutnya menjadi hari bergembira bertukar menjadi hari berduka-lara. Hari untuk menyantap hidangan bertukar menjadi hari menyentap perasaan.
Justeru, kita perlu kembali kepada ajaran agama dalam menggariskan panduan dan etika ketika menyambut hari raya.
Terdapat sekurang-kurangnya 15 etika Hari Raya yang perlu diamalkan semua:
1. Memurnikan niat dan memahamkan matlamat. “Sesungguhnya setiap perbuatan ini bermula dengan niat dan bagi setiap orang dengan apa yang diniatkannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Seseorang yang ingin menziarahi tetangga dan saudara-mara hendaklah memperbetul niat untuk mengeratkan silaturrahim kerana Allah SWT. Matlamat Aidilfitri adalah kembali kepada fitrah yang suci dari dosa. Dengan amalan ziarah, akan membuka peluang bermaaf-maafan dari segala dosa sesama manusia.
2. Meminta izin ziarah. Sebelum ziarah, adalah lebih molek sekiranya kita dapat meminta izin terlebih dahulu supaya mereka bersedia menyambut tetamu.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 58 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu).
3. Menepati janji ziarah. Selain itu, apabila sudah berjanji untuk datang berziarah, hendaklah kita menetapi janji, atau memberitahu lebih awal sekiranya terdapat halangan supaya mereka tidak ternanti-nanti dan makanan yang dimasak tidak dibazirkan.
Jauhilah sikap mungkir janji kerana itu adalah tanda kemunafikan. “Tanda orang munafik itu ada tiga, (1) jika berbicara berdusta; (2) jika berjanji maka tidak menepati; dan (3) jika diberi amanah, dia berkhianat” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
4. Memberi salam dan mengucapkan selamat. Amalkan memberi salam sebelum masuk dan sebelum meninggalkan rumah, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan.
“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal” (Hadis Riwayat al-Bukhari). Kita juga disunatkan mengucapkan selamat hari raya dengan lafaz doa “taqabbalallahu minna wa minkum.”
5. Menzahirkan keceriaan. Kita hendaklah menzahirkan keceriaan ketika datang berziarah dengan bertanyakan khabar dan saling mendoakan kesejahteraan dan kesihatan.
6. Memakai pakaian menutup aurat. Kita juga disunatkan memakai pakaian yang indah dan wangi-wangian. Pakaian yang indah bukan terletak pada cantiknya corak yang memikat, tetapi pakaian yang menutup aurat.
7. Menjaga tingkahlaku dan batas pergaulan. Kita hendaklah menjaga hati, mata, lidah, kaki dan tangan semasa ziarah hari raya. Bukan hanya perlu menjaga tingkahlaku diri sendiri, tetapi juga ahli keluarga terutamanya anak-anak supaya tidak menyusahkan tuan rumah.
Ketika berhari raya juga, batas pergaulan lelaki dan perempuan harus dijaga terutama ketika bersalam-salaman dengan bukan mahram.
8. Tidak mengajukan soalan sensitive. Soalan-soalan tentang rezeki seperti jodoh dan anak hendaklah dielakkan. Begitu juga dengan soalan-soalan sensitif seperti berat badan.
Sekiranya kita memang ikhlas ingin mengetahui perkembangan terkini kehidupan dan kesihatan mereka, atau ingin membantu mereka, bertanyalah dengan sopan dan berhikmah supaya tidak terhiris perasaan.
9. Tidak mengintip dan membuka aib. Ketika ziarah, kita tidak boleh mengintip, menghendap bilik, dan menyebarkan perkara-pekara yang boleh mengaibkan tuan rumah.
Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang”.
10. Tidak mengkritik dan membazir makanan. Sekiranya makanan yang disedia tidak menepati selera, jamahlah sekadarnya sahaja. Jika makanan yang tersedia cukup menambat selera, janganlah makan sampai membazirkannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Surah al-'Araf: 31)
11. Tidak mengotor dan membuang sisa. Hendaklah kita makan dengan beradab, mengutip sisa yang terjatuh dan membersihkannya.
Janganlah kita mengotorkan rumah atau membuang sisa makanan ke bawah meja. Begitu juga dengan sampul raya, janganlah
dibuka dahulu dan dibuang sambulnya merata-rata.
12. Tidak meminta-minta. Sekiranya tuan rumah tidak menghulurkan duit raya, usah pula meminta-minta. Sekiranya kita hendak menghulurkan duit, jangan pula kita mengungkit-ngungkit.
13. Tidak berlama-lama. Hendaklah kita berpegang pada matlamat ziarah, bukan untuk bersembang panjang tak tentu hala dari pagi sampai ke petang.
14. Membawa hadiah atau buah tangan. Sekiranya mempunyai rezeki yang lebih, adalah lebih manis jika dapat membawa hadiah atau buah tangan. Tidak semestinya mewah tetapi cukup sebagai ingat-ingatan.
Sebagaimana hadis Tahaddu Tahabbu - “Hendaklah kalian saling memberi hadiah. Nescaya kalian akan saling menyayangi” - Hadith Riwayat Al Bukhari.
15. Mengucapkan syukur dan terima kasih. Kita hendaklah bersyukur kepada Allah kerana diizinkan berkunjung di hari raya dan hendaklah juga berterima kasih kepada tuan rumah atas segala layanan dan makanan yang disediakan, serta tidak mempertikaikan kekurangan.
Sabda Baginda SAW “Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia” – Riwayat Abu Daud.
Semoga dengan garis panduan etika ringkas ini, sedikit sebanyak dapat menjadikan hari raya Aidilfitri kita lebih diredhaiNya dan dapat mencapai maqasid untuk kembali kepada fitrah dan mengelakkan segala fitnah.
Semoga pahala ibadat selama 30 hari di bulan Ramadan tidak hilang dalam masa 1 hari di bulan Syawal.
PENULIS DR. MOHD ISTAJIB MOKHTAR merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Sains, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.