SAUDARA PENGARANG
Berhadapan dengan pelbagai jenis karakter individu adalah sesuatu yang kita semua alami, terutamanya di tempat kerja dewasa ini. Salah satu karakter yang semakin banyak ditemui dan sering menimbulkan cabaran unik dalam persekitaran kerja ialah narsisisme.
Apakah sebenarnya narsisisme?
Menurut Gerald Corey dalam bukunya berjudul “Theory and Practice of Group Counseling,” yang sering dijadikan buku teks jurusan kaunseling, narsisisme bermaksud sikap seseorang yang menganggap hanya mereka benar-benar penting, mahukan banyak pujian, dan tidak mengambil berat tentang perasaan orang lain.
Individu yang mempunyai sifat narsistik sering memberi tumpuan kepada dirinya sendiri, dan sentiasa mencari perhatian dan validasi dari persekitaran sekelilingnya.
Walaupun sikap narsisisme kadangkala boleh disalah anggap sebagai sikap seseorang yang mempunyai keyakinan atau motivasi diri tinggi, karakter ini sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri.
Dalam aspek positif, individu narsistik sering menunjukkan karisma dan daya tarikan pada awalnya, menjadikan mereka selalunya calon terbaik untuk sebarang peranan kepimpinan. Mereka juga sering dilihat terkehadapan dalam mana-mana situasi yang melibatkan jaringan sosial, sama ada fizikal atau dalam alam maya.
Mereka biasanya mempunyai keyakinan tinggi terhadap kebolehan diri sendiri, sekali gus menyakinkan mereka untuk mencapai apa jua matlamat walaupun tinggi menggunung.
Untuk lebih memahami konsep narsisisme, kita dapat melihat beberapa contoh watak seperti Gordon Gekko dalam filem “Wall Street” atau Miranda Priestly dalam “The Devil Wears Prada.” Kedua-duanya mewakili sifat narsistik tipikal yang menunjukkan kesan bagaimana individu seperti itu mampu menjejaskan mental dan fizikal orang lain di sekeliling mereka.
Bagaimanapun terdapat juga kelemahan sifat narsisisme yang tidak boleh diabaikan. Usaha mereka yang konsisten untuk mendapatkan validasi di sepanjang masa boleh membawa kepada tingkah laku manipulatif, termasuk mengeksploitasi orang lain bagi memenuhi agenda mereka sendiri.
Selain itu, sikap kekurangan empati mereka juga boleh mewujudkan persekitaran kerja toksik, menyebabkan rakan sekerja berasa tidak dihargai dan dipinggirkan. Sikap mereka akan lebih memburukkan keadaan jika karakter sebegini turut diberi tanggungjawab sebagai ketua atau penyelia di tempat kerja.
Apa perlu dilakukan dalam situasi sebegini?
Sebaik sahaja anda telah menyedari bahawa bos atau ketua anda mempunyai sifat narsistik, adalah penting untuk mengingatkan diri anda tentang nilai diri sendiri dan sumbangan tenaga kerja yang telah anda berikan.
Bos narsistik mungkin cuba merendahkan keyakinan dan harga diri anda, jadi sangat penting untuk mengingati pencapaian anda sendiri dan cara anda menyumbang kepada organisasi, bagi meningkatkannya semula.
Apabila cuba menangani bos narsistik, meluaskan pengalaman kerja anda juga boleh membantu untuk mendapatkan perspektif dan sokongan baharu. Cuba cari peluang untuk bekerjasama dengan pemimpin lain dalam organisasi anda.
Bekerja dengan ketua atau penyelia berbeza mungkin boleh menawarkan pelbagai pengalaman dan rujukan untuk prospek kerja anda pada masa hadapan, sekali gus mengurangkan kebergantungan anda kepada interaksi dengan bos anda yang narsistik.
Selain itu, mewujudkan had atau sempadan yang jelas juga penting untuk mengekalkan kesejahteraan kesihatan mental anda dalam persekitaran kerja yang serba mencabar. Apabila berinteraksi dengan bos narsistik ini, pastikan komunikasi anda ringkas, bermaklumat dan mesra, namun tegas.
Elakkan daripada terlibat dengan interaksi komunikasi penuh emosi, yang hanya akan memburukkan lagi keadaan. Dengan menetapkan sempadan ini, anda boleh melindungi kesihatan mental anda sambil masih memenuhi tanggungjawab profesional anda.
Luangkan juga sedikit masa dalam melaksanakan aktiviti di luar waktu bekerja yang membawa anda kegembiraan dan kepuasan, kerana ini merupakan kaedah yang sudah terbukti dalam mengekalkan kesihatan mental seseorang.
Melakukan hobi, bersenam atau meluangkan masa dengan orang tersayang boleh membantu anda mengekalkan keseimbangan yang baik dan mengembalikan nilai diri yang amat diperlukan serta mengurangkan kesan negatif daripada tingkah laku bos narsistik anda.
Meluaskan rangkaian sosial anda di luar persekitaran kerja juga boleh mendedahkan anda kepada sumber sokongan tambahan. Binalah hubungan dengan mentor, rakan sekerja dan organisasi profesional, sama ada dalaman atau luaran, di tempat kerja anda.
Hubungan tambahan ini tentunya akan membantu memberikan perspektif dan sistem sokongan alternatif, sekali gus membantu anda mengurus cabaran-cabaran di persekitaran kerja.
Sekiranya anda mendapati tingkah laku bos anda sudah menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi anda dengan ketara, jangan teragak-agak untuk mendapatkan sokongan daripada ahli terapi atau kaunselor berdaftar.
Mereka boleh menawarkan strategi dan teknik bersesuaian bagi menguruskan tekanan dihadapi dan mengekalkan daya tahan kendiri.
Akhir sekali, jika anda telah berusaha sehabis mungkin, namun keadaan menjadi semakin terbeban, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mencari peluang pekerjaan lain.
Sebagai alternatif, anda juga boleh berkongsi kebimbangan anda secara langsung kepada bahagian sumber manusia di dalam organisasi, atau penyelia bos anda sendiri, untuk mendapatkan bantuan dalam menyelesaikan isu yang dihadapi.
Kesimpulannya, perasaan buntu dan tidak berdaya adalah reaksi normal apabila berhadapan dengan bos narsistik. Namun, penting untuk diingatkan bahawa dugaan ini bukanlah masalah yang tidak dapat diatasi.
Kehidupan bekerja ialah perjalanan yang penuh dengan pelbagai cabaran, termasuklah menghadapi karakter yang sukar. Sama seperti mana-mana perjalanan hidup, akan ada liku-liku dan rintangan di sepanjang jalan yang perlu dihadapi dan dilalui.
Maka, teguhkanlah nilai diri sendiri, tetapkan had atau sempadan diri dengan jelas. Utamakan kesejahteraan mental dan emosi bagi mengatasi cabaran yang didatangkan oleh ‘raksasa’ sebegini dengan penuh berhemah.
Siapa tahu, mungkin juga ini adalah ujian yang bakal mendorong anda untuk lebih maju dalam kerjaya!
PENULIS NURFILZAH EMILY MOHAMAD KHAIRUDDIN, Kaunselor Pelatih Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.