fb fb fb fb fb

Mencari kepuasan kerja dalam Islam

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Pada 1 Mei lalu, Malaysia baru sahaja meraikan hari pekerja dengan tema Pekerja Kesuma Bangsa. Pekerja pemangkin wadah Malaysia madani begitulah slogan hari pekerja pada tahun ini. Temanya amat bertepatan dengan realiti pekerja merupakan aset bagi sesebuah organisasi.  

Kepuasan kerja merupakan terbitan hasil daripada melakukan pekerjaan. Sebagai manusia, pekerja akan menilai pekerjaan mereka, sama ada suka atau tidak. Contohnya aspek persekitaran pekerjaan, rakan sekerja, penyelia dan tugasan dalam pekerjaan. Begitu juga dalam aspek berpuas hati atau tidak dengan hasil diperoleh seperti gaji, kenaikan gaji dan pangkat.

Dalam agama Islam aspek kepuasan kerja turut diambil kira. Perkara itu boleh dilihat dalam Surah Dhuha, ayat 5 bermaksud: “Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau redha – berpuas hati.”

Ini menunjukkan bahawa agama Islam bukan sahaja mementingkan alam akhirat tetapi juga kejayaan di dunia kerana kepuasan kerja di dunia merupakan jambatan kepada alam akhirat.

Apabila pekerja dapat melakukan pekerjaan sebaik mungkin, iaitu mengerjakannya seperti melakukan ibadah dengan niat melakukan secara ikhlas dan bukan kerana wang atau pujian orang, kita akan diberikan ganjaran pahala juga sebagai saham akhirat kelak.

Terdapat banyak kelebihan apabila kepuasan kerja tercapai. Antaranya ialah ketenangan yang diperoleh hasil daripada kenaikan gaji atau pangkat. Pekerja akan berasa tenang tanpa perlu memikirkan beban sebelum ini sekali gus membolehkan tugasan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Apabila fikiran tenang dan perasaan tenteram, pekerja dapat mengerjakan ibadah dengan lebih baik. Malah, mempunyai lebih banyak masa melakukan ibadah dan kebaikan lain. Apabila pekerja berpuas hati, mereka hanya mengharapkan redha Allah, bukan lagi pujian atau validasi daripada orang lain. Mereka akan beristiqamah atas apa yang dilakukan, iaitu mengerjakan kebaikan dan ibadah secara kerap pada setiap masa.

Mencapai kepuasan kerja bukan perkara mudah. Seseorang pekerja akan menghadapi banyak halangan. Antaranya adalah sifat pekerjaan iaitu waktu kerja tidak seragam, beban kerja terlalu berat, tiada jaminan kerja dan kenaikan pangkat, upah tidak mencukupi dan tidak menentu.

Selain itu, persekitaran kerja yang menekan seperti tiada tempat untuk mengerjakan ibadat dan tiada makanan halal disediakan serta pakaian seragam kerja yang tidak menutup aurat, persekitaran kerja tidak selamat dan bahaya, rakan sekerja yang tidak membantu seperti tidak komited dan tidak bertanggungjawab, malas, suka buruk sangka, ponteng kerja dan suka “tikam belakang” dan bos tidak membantu; garang tidak berperikemanusiaan dan tidak pandai menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Empat cara memperoleh kepuasan kerja

Pertama, perlu bersyukur atas segala rintangan dihadapi dan usaha yang diberikan, serta masa dan wang ringgit yang dihabiskan dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan mereka. Ini termasuklah hasil yang baik dari segi kenaikan gaji atau pangkat, serta pengiktirafan dan pujian daripada rakan sekerja dan bos.

Kedua, bekerja dengan ikhlas kerana Allah SWT, tanpa mengharapkan pujian dan validasi dari orang lain. Sekiranya dikecam oleh orang lain, mereka harus bersabar dengan kerenah tersebut tanpa mempertikai tindakan mereka atau mengungkit pada masa hadapan.

Ketiga, menjadikan kerja sebagai ibadah dengan berniat melakukannya kerana Allah SWT dan bukan kerana takutkan bos.

Keempat, pekerja akan memperoleh rasa kepuasan dalam pekerjaan apabila dapat melaksanakan segala kerja dan tugasan yang diberi dengan penuh amanah.

Secara keseluruhannya, kepuasan kerja adalah elemen penting yang dapat membawa ketenangan, ketenteraman, dan kebahagiaan kepada seseorang pekerja. Apabila pekerja sentiasa bersyukur, ikhlas bekerja kerana Allah SWT dan melaksanakan tugas dengan amanah, pasti dapat mencapai kepuasan hakiki dalam pekerjaan.

Marilah kita semua berusaha untuk menerapkan nilai-nilai ini dalam kehidupan seharian kita, supaya kita bukan sahaja berjaya di dunia, tetapi juga mendapat keberkatan dan keredhaan di akhirat. Semoga setiap usaha dan kerja kita diberkati serta diterima sebagai ibadah oleh Allah SWT.

PENULIS PROF MADYA DR ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI, Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI