fb fb fb fb fb

Menghidupkan nilai positif dalam pendidikan matematik: Cabaran dan harapan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Matematik sering menjadi subjek ditakuti oleh ramai pelajar, memberi kesan jangka panjang terhadap aspirasi kerjaya mereka. Sebagai guru dan pensyarah, kita sering berhadapan dengan pelajar yang menunjukkan pelbagai reaksi sejak hari pertama kelas bermula. Kebanyakan mereka membawa persepsi negatif yang terbentuk berdasarkan pengalaman masa lalu, terutamanya ketika di sekolah rendah.

Pengalaman seperti sering gagal dalam ujian atau peperiksaan matematik, kaedah pengajaran yang kurang menarik atau kekurangan galakan daripada persekitaran mencorakkan pandangan negatif ini. Akibatnya, pelajar ini memulakan perjalanan pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi bersama sikap pesimis, merendahkan potensi mereka untuk berjaya.

Persepsi negatif

Persepsi negatif ini bukan sahaja menjejaskan keyakinan pelajar terhadap matematik, malah mempengaruhi pola pilihan kerjaya masa depan mereka. Ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menolak daripada memilih bidang-bidang yang melibatkan pengiraan seperti perakaunan, perbankan apatah lagi sains, kejuruteraan dan sebagainya.

Kesan jangka panjang kepada negara amat ketara apabila kita bakal kehilangan kepakaran dalam dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan, sains dan teknologi. Situasi ini akan memaksa negara mengimport dan menggaji kepakaran dari luar. Pada masa sama, terdapat longgokan graduan dalam bidang-bidang tertentu sehingga akhirnya mengakibatkan peningkatan kadar penggangguran di Malaysia.

Pendidikan nilai

Penting untuk kita memahami bahawa cabaran ini tidak hanya terletak pada pelajar, tetapi juga pada sistem pendidikan itu sendiri. Pendidikan matematik perlu dirombak untuk menanamkan nilai positif dalam pembelajaran matematik. Nilai seperti kesabaran, ketekunan, pemikiran kritikal dan kreativiti perlu ditekankan sebagai asas kepada subjek ini.

Matematik bukan sekadar tentang mendapatkan jawapan betul, tetapi juga tentang proses pemikiran sistematik dan analitik yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah.  Matematik juga tidak harus digambarkan sebagai subjek yang berorientasikan peperiksaan semata-mata, sebaliknya melalui matematik, pelajar mendapat banyak manfaat yang boleh mendekatkan diri mereka dengan Tuhan.

Matematik mengasah pemikiran kritis dan logik yang diperlukan untuk memahami tanda-tanda kebesaran Allah di alam semesta sepertimana Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 190: "Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal." (Surah Ali Imran, 3:190)

Pupuk minat terhadap matematik

Sebagai pendidik, kita perlu mencari pendekatan lebih berkesan untuk memupuk minat pelajar terhadap matematik. Sebagai contoh, menghubungkan matematik dengan kehidupan seharian berupaya membantu pelajar melihat nilai yang tersirat dalam subjek ini. Projek berbentuk aplikasi kehidupan sebenar, seperti perancangan kewangan, statistik sukan atau simulasi komputer, boleh menjadikan matematik lebih relevan dan menarik.

Ramai pelajar yang kurang menyukai matematik sebenarnya menghadapi masalah keyakinan. Oleh itu, program mentoring (rakan sebaya), penilaian serta penghargaan atas usaha dan kemajuan kecil pelajar juga dapat memupuk motivasi intrinsik dalam diri mereka. Pendidikan matematik juga perlu mengintegrasikan nilai seperti aktiviti berkumpulan yang membantu pelajar lebih memahami melalui perkongsian pengetahuan ketika menyelesaikan masalah, sekali gus memupuk sikap terbuka dan kerjasama.

Bagi memastikan perubahan ini dapat memberi kesan jangka panjang, pendidik perlu dilengkapi dengan latihan dan sumber sesuai. Program pembangunan professional, berfokuskan pendekatan inovatif dalam pengajaran matematik perlu diperkenalkan. Dengan memperkasa latihan guru, mereka akan berupaya mengaitkan konsep matematik dengan kehidupan seharian. Nilai positif yang diterapkan mampu memberi inspirasi kepada pelajar untuk melihat matematik daripada perspektif yang lebih meluas.

Selain itu, penggunaan teknologi seperti aplikasi pembelajaran dan modul digital, pendidik boleh menjadikan pembelajaran matematik lebih interaktif dan menarik. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang positif ini bukan sahaja akan meningkatkan keyakinan pelajar terhadap matematik, tetapi juga mampu memberikan manfaat besar kepada negara.

Peningkatan lebih ramai graduan yang berkecimpung dalam bidang kritikal seperti sains, teknologi dan kejuruteraan, negara berupaya mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar dan membina tenaga kerja lebih kompetitif di peringkat global. Pada masa sama, pengagihan graduan akan lebih seimbang dalam pelbagai bidang, seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan kestabilan ekonomi.

Oleh itu demi menghadapi cabaran pendidikan ini, adalah penting untuk kita semua mengakui bahawa matematik adalah asas kepada pembangunan masa depan. Menerusi pendekatan betul, kita boleh mengubah persepsi negatif terhadap matematik dan menjadikannya subjek yang dihargai oleh semua. Meskipun cabarannya besar, usaha untuk memperbaiki pendidikan matematik adalah pelaburan penting untuk masa depan generasi akan datang dan kemajuan negara kita, Malaysia.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

SITI RUZILA
Puan Siti Ruzila Hassan
Guru matematik
SMK Tunku Syed Idrus, Tampin, Negeri Sembilan

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI