fb fb fb fb fb

Pendidikan rentas disiplin: Matematik dan perakaunan bina modal insan berintegriti

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam era globalisasi dan Revolusi Industri 5.0, modal insan yang berintegriti dan berkemahiran tinggi menjadi dambaan setiap majikan. Malaysia, sebagai sebuah negara sedang pesat membangun, menghadapi cabaran dalam melahirkan generasi; bukan sahaja berkemahiran malah berpegang teguh kepada nilai-nilai murni.

Matematik dan perakaunan sering dianggap sebagai subjek teknikal semata-mata. Namun, jika dilihat secara lebih mendalam, kedua-dua bidang ini menawarkan peluang mengintegrasikan nilai-nilai seperti kejujuran, ketepatan dan pemikiran kritikal. Integrasi nilai dalam pendidikan matematik dan perakaunan berupaya melahirkan generasi berintegriti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Matematik dan perakaunan: Persilangan nilai dan kecekapan

Matematik dikenali sebagai ilmu pengetahuan yang mengasah kemahiran analitikal, manakala perakaunan merupakan asas kepada pengurusan kewangan beretika. Kedua-dua bidang ini saling melengkapi dalam membentuk individu yang bukan sahaja bijak mengurus angka tetapi juga mampu membuat keputusan berdasarkan nilai-nilai murni.

Sebagai contoh, dalam perakaunan, konsep ketelusan dan kejujuran adalah teras kepada pelaporan kewangan yang boleh dipercayai. Sementara itu, matematik mengajarkan konsep logik dan kebolehan menyelesaikan masalah secara sistematik. Apabila nilai-nilai ini disepadukan dalam pengajaran, pelajar bukan sahaja memahami konsep tetapi juga menghargai kepentingan nilai integriti dalam setiap tindakan mereka.

Keadilan dalam tindakan sememangnya sering diingatkan dalam Al-Quran sepertimana Firman Allah SWT iaitu antaranya dalam Surah Ar-Rahman ayat 7-9 yang bermaksud: Dan Dia (Allah) menetapkan timbangan supaya kamu jangan melampaui batas tentang timbangan itu.” (Surah Ar-Rahman, 55:7-9)

Matematik digunakan untuk mencipta keseimbangan dalam pengurusan belanjawan, menggambarkan betapa pentingnya ketepatan dan keadilan dalam kehidupan.

Pendekatan rentas disiplinari menangani cabaran

Walaupun kedua-dua bidang ini jelas kepentingannya kepada kehidupan, namun terdapat beberapa cabaran dalam usaha mengintegrasikan nilai ke dalam pengajaran. Sesetengah individu terutamanya pelajar menganggap matematik dan perakaunan sebagai subjek yang "kering" dan tidak menarik. Tidak dinafikan, pendekatan pengajaran secara tradisional masih lagi diamalkan oleh guru mahu pun pensyarah.

Fokus kepada hafalan, latih tubi dan penyelesaian masalah tanpa penekanan kepada aplikasi dunia sebenar dan nilai adalah dikenal pasti sebagai antara punca masalah. Pendidikan sering kali tidak selari dengan keperluan pasaran kerja, menyebabkan kurangnya graduan yang relevan dan berintegriti dilahirkan.

Konsep rentas disiplin menekankan penyelesaian masalah dunia sebenar melalui Kerjasama antara pelbagai disiplin. Dalam konteks ini, matematik dan perakaunan boleh diajar secara serentak melalui pendekatan bertumpu kepada masalah nyata.

Misalnya, pelajar boleh diberikan projek untuk menganalisis data kewangan syarikat menggunakan konsep keseimbangan dalam matematik bagi menentukan keberkesanan perbelanjaan. Ia bukan sahaja mengajar konsep tetapi juga mengaitkannya dengan nilai kejujuran dan ketelusan dalam pelaporan.

Metodologi yang fleksibel diguna pakai melalui pendekatan pengajaran yang reflektif dan responsif kepada keperluan pelajar, termasuk penggunaan teknologi seperti simulasi kewangan. Kerjasama dengan industri melibatkan pakar industri digalakkan untuk menyediakan konteks dunia nyata bagi memastikan pembelajaran relevan dengan keperluan semasa.

Integrasi nilai dalam matematik dan perakaunan

Pendekatan nilai inklusif menjadikan kedua-dua subjek ini lebih menarik oleh kerana pelajar mampu melihat aplikasinya dalam kehidupan. Pelajar yang didedahkan kepada nilai seperti ketepatan dan kejujuran cenderung untuk mengamalkannya dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Graduan yang kompeten dan berintegriti memainkan peranan penting dalam membina masyarakat yang bertanggungjawab dan ekonomi yang mampan.

Beberapa langkah harus diambil untuk memastikan integrasi nilai dalam pendidikan matematik dan perakaunan ini dapat direalisasikan. Kurikulum kedua-dua subjek harus dimurnikan dengan memasukkan elemen nilai dalam setiap topik. Modul pengajaran boleh mengandungi kajian kes dunia sebenar untuk menghubungkan konsep dengan nilai.

Bagaimanapun, guru dan pensyarah perlu diberikan latihan mencukupi untuk memahami bagaimana nilai boleh disepadukan dalam pengajaran. Bengkel atau seminar mengenai pendekatan transdisiplinari boleh dianjurkan. Latihan seperti simulasi kewangan boleh diberikan contoh sebagai pendedahan awal bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan relevan.

Institusi pendidikan perlu bekerjasama dengan industri untuk memastikan pelajar mendapat pendedahan kepada keperluan dunia sebenar. Oleh itu kajian tentang keberkesanan pendekatan nilai inklusif ini perlu dijalankan secara berkala untuk memastikan ia relevan dan keberhasilannya.

Kesimpulan

Integrasi nilai dalam pendidikan matematik dan perakaunan bukan sahaja menjadikan kedua-dua subjek ini lebih menarik tetapi juga penting dalam membentuk generasi yang berintegriti. Pendekatan rentas disiplin memberikan kerangka kerja yang kukuh untuk menyelesaikan cabaran pendidikan moden dengan menghubungkan konsep akademik kepada isu dunia nyata. Menerusi usaha bersepadu, Malaysia dapat melahirkan modal insan yang mampu memacu pembangunan negara ke arah yang lebih mampan dan inklusif.

Keindahan matematik dan perakaunan terletak pada kemampuannya untuk menghubungkan logik dan etika, sains dan nilai. Dalam dunia yang semakin kompleks, pendidikan yang berasaskan nilai adalah kunci kepada kemajuan masyarakat dan negara. Justeru, pendidikan matematik dan perakaunan tidak lagi sekadar subjek teknikal, tetapi alat untuk membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan Matematik
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

DR NOOR RAUDHIAH A BAKAR
Dr. Noor Raudhiah Abu Bakar
Pensyarah Kanan Perakaunan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI