fb fb fb fb fb

Mengarusperdanakan ekonomi manusiawi

Foto hiasa/Penulis

SAUDARA PENGARANG

Ekonomi manusiawi adalah pendekatan ekonomi yang menekankan pentingnya nilai-nilai murni dan kemanusiaan serta moral dalam kegiatan ekonomi bagi memenuhi keperluan asas manusia untuk semua peringkat kehidupan manusia, daripada bayi hingga tua, supaya hidup selesa.

Bagi umat Islam, keperluan asas tersebut adalah dalam rangka beribadat kepada Allah SWT dan sebagai khalifah-Nya di muka bumi. Ia bertujuan untuk mewujudkan sistem ekonomi yang tidak hanya fokus pada keuntungan, berdaya saing, produktif dan pembangunan material semata-mata tetapi juga pada kesejahteraan manusia secara keseluruhan. 

Dalam konteks negara berbilang bangsa, masyarakat sejahtera adalah masyarakat yang diberdayakan (empowered) dimana mereka diberi peluang yang sama untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi.

Masyarakat yang diberi peluang dengan adil ini termasuk semua golongan masyarakat sama ada kaya, miskin, orang kurang upaya, kanak-kanak, orang asli, ibu tunggal dan orang dipinggirkan. Dalam masyarakat yang sejahtera, semua jenis kaum, bangsa dan agama tidak dikesampingkan akan hak-hak mereka dalam aktiviti ekonomi dan budaya mereka.

Ekonomi manusiawi, yang juga menjadi antara teras utama dalam negara MADANI, mempunyai ciri-ciri seperti memfokuskan kepada pembangunan mampan, inklusif, beransur dan berterusan; bermotifkan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan lestari melaui sistem agihan yang adil; berdasarkan kepada keperluan masyarakat, menjaga hak asasi ekonomi masyarakat; di pacu oleh pemerintah yang amanah, mempunyai  budaya konsumerisme yang sopan dan memenuhi keperluan asas masyarakat.

Kenapa Perlu Ekonomi Manusiawi?

Kelemahan sistem ekonomi semasa yang direka oleh golongan pemodal atau kapitalis untuk keuntungan mereka telah mengakibatkan kesenjangan ekonomi yang luas, kemusnahan alam sekitar dan biodiversiti, melahirkan manusia individualistik dan mementingkan material semata-mata.

Ini menunjukkan sistem ekonomi kapitalis telah gagal sehingga menyebabkan lahirnya agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals); antara lain cuba untuk menangani kelemahan sistem ekonomi semasa.

Kelemahan-kelemahan diatas menyaksikan protes Occupy Wall Street di pusat kewangan Wall Street, New York, Amerika Syarikat, menjadi antara isu utama adalah kesenjangan ekonomi dan sosial, rasuah dan pengaruh melampu sektor korporat terhadap kerajaan. Kesenjangan ekonomi yang semakin parah sehingga melebarkan jurang kekayaan menyaksikan bilangan super kaya amat kecil bilangannya berbanding golongan super miskin.

Data menunjukkan kekayaan lapan orang terkaya di dunia menyamai pemilikan 3.6 bilion penduduk dunia. Kemusnahan alam sekitar yang berleluasa itu adalah akibat daripada amalan dan pegangan kepada prinsip memaksimumkan keuntungan (profit maximisation) semata-mata tanpa mengambil kira kesan buruk terhadap alam sekitar, kehidupan darat (atas tanah dan bawah tanah) serta kehidupan di laut (termasuk dasar laut), juga perubahan iklim dunia.

Model ekonomi semasa juga mendapat kritikan daripada Ronald Coase, seorang Profesor yang pakar dalam bidang ekonomi dan penerima Hadiah Nobel, dimana beliau kecewa dengan perkembangan ilmu ekonomi yang semakin terpisah daripada pengajian kemanusiaan. Beliau juga menyatakan bidang ekonomi sudah tidak menitik beratkan  dunia nyata praktik ekonomi (real economy) dan mengutamakan ekonomi kewangan (financial economy); hasilnya kajian kemanusiaan dalam ekonomi telah hilang daripada ilmu ekonomi semasa.

Maka, masyarakat tercari-cari model ekonomi yang boleh menangani masalah-masalah yang terhasil daripada sistem ekonomi semasa dan keperluan mewujudkan ekonomi manusiawi. Bagaimanapun, para pendukung ekonomi manusiawi, mencadangkan ekonomi manusiawi ini menjadi pelengkap kepada ekonomi semasa atau menggantikan sepenuhnya.

Bagaimana Mengarusperdanakan Ekonomi Manusiawi?

Mengarusperdanakan ekonomi manusiawi memerlukan pendekatan holistik dan diselaraskan dengan teratur, menggabungkan strategi daripada pihak kerajaan turun kepada masyarakat (top-down) dan desakan daripada masyarakat (bottom-up).

Pendekatan Top-Down

Pendekatan top-down melibatkan tindakan daripada pihak kerajaan untuk menetapkan dasar dan polisi yang menyokong ekonomi manusiawi.

  1. Dasar dan polisi pihak kerajaan

Kerajaan boleh menggubal undang-undang yang mendorong pelaksanaan ekonomi manusiawi. Contohnya, undang-undang yang menjamin gaji minimum secara adil, perlindungan pekerja, dan peraturan alam sekitar yang ketat.

Kerajaan juga boleh mengadakan polisi yang menggalakkan keadilan sosial dan pengagihan kekayaan lebih adil, seperti sistem cukai progresif, subsidi bersasar untuk golongan berpendapatan rendah, dan insentif untuk syarikat yang mengutamakan golongan terpinggir dan keselamatan alam sekitar.

  1. Sokongan Infrastruktur

Dari aspek perundangan, perlunya sistem undang-undang yang menyokong keadilan sosial dan ekonomi, memastikan hak asasi manusia dan hak pekerja dilindungi.

Disamping itu, kerajaan boleh menyediakan insentif fiskal dan kewangan untuk syarikat yang mengamalkan ekonomi manusiawi, seperti pengecualian cukai untuk syarikat yang melaksanakan program kemasyarakatan secara efektif atau menawarkan peluang kerja kepada golongan kurang bernasib baik.

Pendekatan Bottom-Up

Pendekatan bottom-up melibatkan inisiatif dan desakan daripada masyarakat serta organisasi akar umbi (third force) untuk mendorong perubahan ke arah ekonomi manusiawi.

  1. Permintaan dari Third Force

NGO, koperasi, dan organisasi masyarakat boleh memainkan peranan penting dalam mendidik dan mendorong masyarakat untuk mengamalkan ekonomi manusiawi. Mereka boleh menjalankan program kesedaran, advokasi, dan menyediakan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Pergerakan sosial dan kumpulan advokasi boleh berkempen untuk perubahan polisi dan undang-undang yang lebih adil, serta mendesak kerajaan dan sektor swasta untuk mengutamakan kesejahteraan sosial dan alam sekitar.

  1. Kesedaran Masyarakat

Masyarakat yang lebih sedar tentang kesan ekonomi dan sosial boleh mendorong permintaan untuk produk dan perkhidmatan yang lebih bertanggungjawab. Contohnya, permintaan untuk produk yang dihasilkan secara beretika dan tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan pelaburan syarikat yang mengamalkan tanggungjawab sosial.

Program pendidikan dan kesedaran tentang ekonomi manusiawi di sekolah, universiti, dan masyarakat umum dapat meningkatkan pemahaman dan sokongan terhadap konsep ini.

Kombinasi Dua Pendekatan

Mengarusperdanakan ekonomi manusiawi memerlukan kombinasi secara berkesan antara pendekatan top-down dan bottom-up. Kerajaan dan institusi besar boleh bekerjasama dengan NGO, koperasi, dan organisasi masyarakat untuk menyelaraskan usaha ke arah ekonomi manusiawi.

Penglibatan masyarakat dalam proses pembuatan keputusan polisi ekonomi melalui konsultasi awam, forum dan dialog atau mekanisme lain secara inklusif juga perlu dilaksanakan.

Selain itu, membangunkan inisiatif bersama yang menggabungkan sumber dan keahlian daripada kedua-dua sektor kerajaan dan masyarakat untuk mencapai matlamat ekonomi manusiawi yang lebih luas.

Dengan strategi yang diselarasakan, ekonomi manusiawi dapat diarusperdanakan dengan lebih efektif, memastikan kesejahteraan sosial, keadilan dan keberlanjutan menjadi dasar utama dalam pembangunan ekonomi.

PENULIS AHMAD YANI ISMAIL, Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Muamalat, Universiti Islam Selangor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI