fb fb fb fb fb

Indeks Keselamatan Kebangsaan diiktiraf IEP, dilancar bulan ini

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Keselamatan negara merupakan aspek utama yang diberikan penekanan serius, bukan sahaja di Malaysia, malahan di seantero dunia. Negara kini perlu sentiasa bersiap siaga bukan sahaja daripada ancaman tradisional seperti peperangan dan pemberontakan; malahan juga ancaman bukan tradisional seperti penyakit berjangkit atau wabak, banjir, perubahan iklim, ancaman siber dan lain-lain.

Dalam erti kata lain, segala bentuk ancaman sama ada dari dalam dan luar negara berupaya menggugat keselamatan negara sekiranya tidak ditangani secara berhemah. Mengambil kira konteks keselamatan yang luas, Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 telah dibangunkan berteraskan “comprehensive security” atau lebih sinonim dengan singkatan “COMSEC”. Dalam dasar ini, “COMSEC” ditunjangi sembilan nilai teras iaitu:

1) Kedaulatan dan keutuhan wilayah
2) Kestabilan sosio-politik
3) Kesepaduan nasional
4) Tata kelola/Tadbir urus yang baik
5) Keutuhan ekonomi
6) Keadilan sosial
7) Pembangunan mampan
8) Keselamatan rakyat
9) Pengiktirafan antarabangsa

Dalam melaksanakan DKN 2021-2025, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyasarkan kepada pembangunan Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) sebagai suatu pengukuran tahap keselamatan negara yang menyeluruh.

Dalam konteks ini, IKK telah dibangunkan melalui kerjasama sinergi penyelidikan antara MKN dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Melalui dua fasa kutipan data, pada tahun 2022 dan 2023, IKK telah dibangunkan merangkumi 73 indikator dengan 230 pemberat yang melibatkan sembilan nilai teras keselamatan negara.

Proses pembangunan IKK ini telah dijalankan melibatkan kutipan data secara mendalam, melibatkan kepimpinan tertinggi pentadbiran negara, pembuat dasar, pelaksana dan penguat kuasa, pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan serta masyarakat Malaysia.

Pendekatan kajian yang melibatkan pelbagai pihak ini memberi input besar dalam pembangunan IKK secara komprehensif. Pembangunan indikator telah dibentangkan kepada pakar yang membangunkan Indeks Keamanan Dunia (Global Peace Index) bertempat di Institute for Economics and Peace (IEP), di Sydney, Australia.

Hasil daripada perkongsian dijalankan, IKK telah menerima surat pengiktirafan daripada IEP yang menyatakan bahawa kajian IKK merupakan suatu penyelidikan melibatkan analisis mendalam. Seterusnya, IEP turut menawarkan peluang bekerjasama pada masa hadapan untuk meneroka inisiatif penyelidikan yang memberi tumpuan kepada peningkatan aspek keselamatan dan keamanan di Malaysia.

IKK bakal menerima penganugerahan “The Malaysia Book of Records” (MBOR) sebagai Indeks Keselamatan Kebangsaan pertama dalam negara yang komprehensif. Antara keunikan IKK adalah melibatkan pembangunan indikator mengikut acuan pentadbiran negara, melalui kerjasama 37 buah agensi peneraju, serta mengintegrasikan indeks-indeks sedia ada dalam negara.

IKK berupaya dijadikan perbandingan secara tidak langsung dengan indeks-indeks di peringkat antarabangsa berkaitan dengan keselamatan negara. Pengukuran IKK secara berkala ini akan dijadikan sebagai rujukan utama berteraskan kepada bukti (evidence-based) dalam pembangunan strategi bagi pengukuhan keselamatan negara secara menyeluruh. Trend tahap keselamatan negara mengikut nilai teras juga berupaya menjadi petunjuk kepada ramalan ancaman pada masa hadapan.

Melalui IKK, negara kini mempunyai suatu pengukuran tahap keselamatan yang menyeluruh melibatkan kerjasama pelbagai agensi melalui pendekatan “whole of government”. Hal ini seiring dengan hala tuju negara yang menekankan kepada komitmen semua pihak dalam membangunkan sebuah negara MADANI.

Oleh
Prof. Dr Yarina Ahmad
Ketua Penyelidik Kajian
Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK).

MAT YUNUS BIN SABRI