fb fb fb fb fb

Melihat semula Akta Jenayah Syariah bagi kegunaan alam siber

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Perkembangan pesat teknologi pada hari ini memberi dampak besar dalam aspek kesalahan jenayah syariah, khususnya kesalahan-kesalahan melibatkan alam siber. Sebagai contoh, kesalahan mengajar agama tanpa tauliah telah menunjukkan peningkatan sejajar bertambahnya bilangan pempengaruh media sosial dengan meluas. Menyedari hal ini, satu langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan perundangan jenayah syariah relevan untuk dikuatkuasakan seiring dengan perkembangan semasa.

Peruntukan undang-undang

Di Wilayah Persekutuan, Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan (AKJSWP) 1997 diadakan bagi menguatkuasakan kesalahan yang berlaku di alam siber. Seksyen ini penting bagi memberi kuasa kepada pihak berwajib untuk bertindak dan menguatkuasakan apa-apa perbuatan terkait kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Di Selangor, pentauliahan khas mengajar agama masih perlu diperoleh dan relevan dalam mengekang lambakan penceramah bebas dalam menyampaikan ceramah agama. Hal ini juga merupakan salah satu usaha pihak berkuasa agama dalam menyekat fahaman dan dakyah sesat termasuklah pengajaran dan ceramah agama yang dilakukan di media sosial.

Isu dan Cabaran

Isu timbul apabila mengajar agama tanpa tauliah kini terjadi di dalam pelbagai bentuk termasuk di platform media sosial, kepesatan teknologi menjadikan sesiapa sahaja boleh mengajar agama di media sosial. Namun begitu, persoalan mengenai cabaran kesalahan jenayah syariah di alam siber ini didakwa harus dikenal pasti sebelum pendakwa syarie membawa kes ini ke peringkat pendakwaan.

Terdapat beberapa cabaran bagi melaksanakan kesalahan jenayah syariah di alam siber. Antaranya ialah mengenai keterbatasan bidang kuasa tempatan iaitu bagi menentukan di mana perbuatan mengajar agama tanpa tauliah tersebut berlaku dan perlu didakwa. Hal ini kerana penggunaan peranti eletronik dengan capaian internet membolehkan Orang Yang Disyaki (OYDS) melakukan jenayah tersebut di mana-mana sekalipun. Penentuan lokasi kejadian amat sukar untuk dipastikan kerana selepas kandungan ceramah tersebut dimuat naik di sesebuah tempat, OYDS berkemungkinan meninggalkan tempat tersebut dan menuju ke tempat yang lain.

Keterbatasan Kuasa

Seterusnya, keterbatasan kuasa Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) yang hanya boleh menguatkuasakan waran di negeri tempat pelantikannya dibuat sahaja, malahan mereka tidak boleh memaksa saksi-saksi yang berada di negeri lain untuk tujuan disoal siasat. Bidang kuasa yang terbatas inilah menjadikan cabaran penguatkuasaan jenayah syariah di Malaysia. Sebagai contoh, jika terdapat seorang saksi penting bagi satu kes jenayah yang tinggal di luar negeri jenayah itu berlaku atau dibicarakan, maka menurut undang-undang secara literal, saksi itu tidak boleh dipaksa untuk untuk hadir di hadapan pegawai penguat kuasa agama bagi tujuan penyiasatan. Penyiasatan sebaliknya akan lebih berkesan sekiranya pegawai penguat kuasa agama mempunyai bidang kuasa yang lebih luas di sisi undang-undang.

Cabaran dari sudut pembuktian pula, jenayah syariah mengajar agama tanpa tauliah ini sukar dibuktikan kerana berkemungkinan dipadam, menggunakan akaun palsu, penentuan pemilik sebenar akaun tersebut dan sebagainya. Manakala dari sudut pembuktian pula mengajar agama tanpa tauliah mempunyai cabaran dari sudut memenuhi elemen pembuktian kerana perlu disertai dengan menggunakan beberapa pendekatan lain seperti menggunakan pendapat pakar.

Dalam penguatkuasaan mengajar agama tanpa tauliah di alam siber, kepakaran golongan yang mahir dalam bidang teknologi dan ICT (information and communications technology) sangat penting bagi membantu pihak penguat kuasa agama dalam proses penyiasatan. Malahan bahan bukti kesalahan juga terkait dengan bukti-bukti digital yang sukar diperolehi bagi mendakwa kesalahan.

Bagi tujuan mendakwa OYDS terhadap kesalahan jenayah syariah yang dilakukan, bukti yang kukuh perlu dikumpul di peringkat siasatan. Hal ini kerana, seseorang tertuduh tetap dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan, sebaliknya dalam proses pendakwaan jenayah syariah. Menurut prinsip ini juga, pendakwa syarie dan OYDS berhak untuk menyangkal dan menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Justeru itu, pengumpulan bahan bukti merupakan prosedur penting dalam tindakan penguatkuasaan.

Pengumpulan bahan bukti bagi kesalahan mengajar agama tanpa tauliah ini melibatkan bukti-bukti elektronik yang berkemungkinan dipadam. Kebanyakan jenayah syariah yang berlaku di media sosial melibatkan barang-barang sitaan seperti telefon bimbit, komputer riba, pemacu pena (pendrive), cakera keras (hard disk) dan pelbagai alat elektronik lain. Perkara ini menimbulkan kesukaran kepada pihak penguat kuasa agama dalam mengumpulkan bahan bukti bagi melengkapkan fail siasatan.

Dalam pada itu, jenayah syariah di alam siber ini terdedah menggunakan akaun palsu. Perkara ini juga menyebabkan kesukaran bagi menentukan pemilik sebenar akaun tersebut. Oleh itu, kerjasama bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu dijalinkan agar dapat mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap hantaran yang dibuat.

Sebuah sistem khas juga perlu dibangunkan agar hantaran yang dipadam di medium media sosial dapat didapatkan kembali bagi tujuan pengumpulan bukti, hal ini penting agar pihak PPA dapat melengkapkan fail siasatan bagi tujuan pendakwaan.

Data-data yang ada pada barang sitaan juga perlu dibawa ke SKMM bagi tujuan pengesahan data-data yang dikeluarkan. Hal ini bertujuan untuk dianalisis oleh pakar forensik digital bagi mendapatkan laporan yang akan membantu dalam penyiasataan. Barang yang diterima akan dianalisis menggunakan teknik dan peralatan yang mematuhi piawaian antarabangsa.

Keterangan yang diperoleh hasil daripada analisis forensik digital ini pula akan diterjemahkan ke dalam bentuk laporan bertulis bagi digunakan sebagai bukti di mahkamah. Kerumitan terhadap pemprosesan bahan bukti, serta ketiadaan bidang kuasa khusus dalam mengakses data-data elektronik menjadikan kesalahan ini tidak dapat dilaksanakan oleh bahagian penguat kuasa agama secara bersendirian, namun ianya perlu disokong oleh beberapa agensi lain seperti SKMM bagi tujuan pengumpulan bukti.

Elemen Pembuktian dalam Pertuduhan

Kesukaran menentukan lokasi berlakunya kesalahan mengajar agama tanpa tauliah di alam siber menjadikan kesalahan ini sukar dikuatkuasakan. Mahkamah syariah pula hanya mempunyai bidang kuasa membicarakan kes-kes jenayah syariah mengikut kawasan atau tempat di mana kesalahan tersebut dilakukan Seksyen 67 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan sesebuah Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa mendengar kes jenayah syariah yang berlaku di dalam had bidang kuasa tempatannya. Maka, dalam konteks jenayah syariah yang berlaku di alam siber, perbuatan ini boleh dilakukan di mana-mana tempat tanpa memerlukan tempat yang spesifik. Kesukaran menentukan tempat kejadian jenayah syariah menjadi cabaran besar dalam menguatkuasakan kesalahan ini.

Namun begitu, perkara ini sebenarnya boleh diatasi dengan mengguna pakai seksyen 70 akta yang sama dengan memperuntukkan bahawa seksyen ini membolehkan kesalahan mengajar agama tanpa tauliah yang berlaku di alam siber dikuatkuasakan. Walaupun sukar menentukan tempat berlakunya jenayah syariah yang berlaku di alam siber namun, seksyen 70 ini membantu agar kesalahan yang sukar ditentukan lokasi kajian ini didakwa di bawah seksyen ini. Alternatifnya, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu menubuhkan satu unit teknologi maklumat yang bertujuan mengendalikan kes-kes yang berlaku di media sosial. Hal ini bagi membolehkan bahagian penguatkuasaan JAWI menguatkuasakan kesalahan jenayah syariah tanpa bergantung kepada pihak lain.

Peranan Bersama

Pihak Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah memainkan peranan besar dalam tindakan terkait isu kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Pun begitu, peranan ini tidak dapat dimainkan sepositifnya tanpa bantuan masyarakat awam. Lantaran itu, penelitian ke atas isu dan cabaran yang berlaku membolehkan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dilakukan terhadap kesalahan mengajar agama tanpa tauliah yang dilakukan di media sosial.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengakui lambakan penceramah bebas yang menyampaikan ceramah agama di laman sosial memerlukan kepada pemantauan.

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilihat wajar menubuhkan sebuah badan khas bagi memantau dan mengawal keadaan ini. Dalam proses penguatkuasaan jenayah syariah, pihak PPA dan Pendakwa Syarie saling memerlukan antara satu sama lain bagi memastikan sesebuah pendakwaan itu mencapai matlamatnya. Sistem maklumat yang sistematik yang menghubungkan antara PPA dan Pendakwa Syarie adalah penting bagi menjamin kerjasama yang utuh.

Justeru, cadangan kepada pembentukan sistem e-Jinayat akan melancarkan lagi kerjasama antara PPA dan Pendakwa Syarie. Sistem ini sudah dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang berfungsi sebagai sistem penguatkuasaan dan pendakwaan syariah Malaysia. Sistem ini dihasilkan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Sistem yang diterajui oleh JAKIM ini beroperasi secara rasmi sejak Januari 2011 lagi.

Tujuan pembentukan sistem ini adalah bagi membantu PPA menjalankan prosedur penguatkuasaan dengan cekap tanpa memerlukan kepada kaedah manual yang memerlukan masa yang lama untuk diproses.

Selain tu, system e-Jinayat ini berupaya untuk membantu Pendakwa Syarie menjalankan prosedur pendakwaan berkaitan kes-kes jenayah syariah termasuk menguruskan kertas-kertas pendakwaan dengan baik dan teratur. Sistem ini juga bakal memudahkan kerjasama antara PPA dan Pendakwa Syarie dalam menjalankan penguatkuasaan jenayah syariah di Malaysia.

Apa Selepas Ini?

Penguatkuasaan jenayah syariah memerlukan kepada pembaharuan yang lebih menyeluruh. Perkembangan teknologi kini menjadikan undang-undang yang digubal pada tahun 1997 sudah tidak lagi relevan untuk dikuatkuasakan dan memerlukan kepada pindaan. Penguatkuasaan jenayah syariah yang sering menjadi isu kebebasan peribadi dalam kalangan masyarakat pula lebih mengukuhkan lagi agar SOP bahagian penguatkuasaan ini dikaji semula.

Kesalahan mengajar agama tanpa tauliah di alam siber merupakan antara kesalahan yang meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat. Bahkan kesalahan lain juga berpotensi untuk dilakukan di alam siber seperti kesalahan menghina atau mempersendakan agama Islam, menyebarkan ajaran dan doktrin salah, perbuatan tidak sopan, berjudi juga berpotensi dilakukan di alam siber.

Justeru, melihat kepada trend perkembangan jenayah syariah masa kini menjadikan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 perlu dikaji semula peruntukannya.

PENULIS DR SITI AISYAH SAMUDIN, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

ROSLINA BINTI DIN