fb fb fb fb fb

LIMA'23 platform perkukuh Malaysia sebagai hab aeroangkasa

(Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (lima, kanan) selepas menyaksikan dua
majlis menandatangani dokumen serentak di antara Ketua Setiausaha Kementerian
Pembangunan Kerajaan Tempatan Datuk M Noor Azman Taib (tiga, kanan) dengan
Ketua Pegawai Eksekutif Airod Sdn Bhd Mej Jen (B) Datuk Ismail Ibrahim
(dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
Datuk Seri Ramlan/Foto Bernama)

ULASAN BERITA

Pejam celik, pejam celik, ESOK hari terakhir Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23). Begitu cepat masa berlalu, senada keterujaan semua pihak pada pameran kali ini.

Manakan tidak, acara dwitahunan itu diadakan kali terakhir pada 2019, sebelum terpaksa ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik COVID-19. Ya, boleh dikatakan penantian empat tahun yang berbaloi bagi pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik itu.

Pada 23-Mei lalu, gema deruman 36 pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), cukup gah melintasi langit biru Langkawi. Menandakan simbolik penyempurnaan pembukaan Pameran LIMA’23 yang memasuki edisi ke-16.

Ternyata, LIMA '23 dianggap sebagai terbesar dalam sejarah penganjurannya. Bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia”, program itu disertai lebih 525 peserta pameran.

Jumlah itu, termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat sektor komersial dan 284 syarikat yang terlibat dalam kedua-dua sektor. Sebanyak 18 buah negara menyediakan pavilion. Antaranya... Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, dan Itali.

Malah, turut menampilkan penyertaan lima pasukan aerobatik terkemuka -- Indonesia, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Rusia, juga melibatkan 119 buah pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 kapal tentera laut dari dalam dan luar negara.

Paling memberangsangkan.. sehingga semalam, beberapa lagi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani untuk sektor pertahanan dan komersial, selaras edisi kali ini yang melibatkan dua kementerian, iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).

Ini menjadikan sejumlah 43 kontrak bernilai RM10.128 bilion, berjaya dimuktamadkan; merangkumi 20 dokumen kontrak, 21 Surat Setuju Terima (LoA) dan dua Surat Niat (LoI). Ke semua persetujuan kontrak berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.


(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tujuh, kanan) bergambar bersama tetamu pada majlis
menandatangani Surat Niat (LoI) antara Aerostar Technologies (M) Sdn Bhd dan
UniKL MIAT) sempena LIMA'23/Foto Bernama)

Pada masa sama, Kementerian Pertahanan mengumumkan beberapa perolehan aset pertahanan baharu untuk memperkukuhkan lagi ATM. Tentera Darat Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia masing-masing akan menerima tambahan aset pertahanan demi memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap optimum.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pula bakal menerima aset baharu bernilai RM4 juta, iaitu kenderaan Unit Pengawasan Bergerak - MSU. Ia dalam membantu meningkatkan operasi mencari dan menyelamat di laut.

Dalam hal ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu (24 Mei 2023), ada melahirkan harapan agar LIMA ’23 mampu mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.

Menerusinya, perdana menteri berpandangan ia akan membolehkan negara bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.

Seterusnya bersedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global $10 trilion menjelang 2030, di samping hubungan terjalin antara Malaysia dengan negara-negara yang menyertai LIMA sebelum ini kekal utuh. Terutamanya antara negara anggota ASEAN, Turkiye, Amerika Syarikat, Rusia dan Romania.

Pasti, bagi acara sebesar itu aspek keselamatan sudah tentu menjadi keutamaan Kementerian Dalam Negeri. Matlamatnya hanya satu -- memastikan program berprestij tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan terbaik.

Meskipun keadaan cuaca panas dan terik, penganjurannya sejak hari pertama, berlangsung dalam keadaan terkawal. Kehadiran pengunjung awam yang menggalakkan, di samping pengunjung perdagangan.

Rata-ratanya tidak berganjak dan mengambil peluang menyaksikan demonstrasi persembahan pesawat pejuang daripada agensi-agensi pempamer yang hadir.

Berbaki sehari lagi... LIMA 2023 mungkin sudah boleh disifatkan sebagai pencetus nafas baharu bagi industri maritim, dan aeroangkasa. Bukan sahaja platform terbaik untuk mengembangkan potensi peluang perniagaan dalam industri dengan sinergi efektif; sebaliknya, ia meliputi kemajuan teknologi dan pendidikan terkini serta peluang akademik dan kerjaya.

PENULIS EZA YUSMAWATI YAACOP ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu