(Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selepas mengumumkan tema Hari Kebangsaan
dan Hari Malaysia 2023 pada 27 Mei 2023, sekali gus melancarkan
logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023)
SAUDARA PENGARANG
Kemerdekaan adalah suatu simbol atau nilai unik yang memberi makna besar kepada setiap anak bangsa yang memahami perjuangan, jerih perit pejuang-pejuang kemerdekaan menggalas usaha gigih meleraikan negara daripada ancaman penjajah dan bagaimana mereka berusaha membina negara bangsa daripada perjuangan darah dan air mata para pahlawan kita.
Nilai kemerdekaan bukan diukur daripada cara kita meraikannya tetapi penghayatan padu rakyat negara ini menilai sejauh manakah kita memerjuangkan kebebasan yang kita nikmati hari ini untuk kita sandarkan kepada pembinaan negara bangsa yang ampuh dan terus berkesinambungan untuk diraikan oleh generasi akan datang.
Sambutan hari kemerdekaan hari ini, khususnya dalam meredah ancaman pandemik, kegawatan ekonomi dan pergelutan kesengsaraan rakyat diancam masalah sosial, seharusnya dapat dihayati dalam jiwa setiap anggota masyarakat.
Walaupun tidak dapat diraikan secara fizikal, tetapi semangat kemerdekaan ini boleh dijelmakan menerusi wadah media digital. Berkongsi cebisan lintasan sejarah negara, pengorbanan anak-anak bangsa melawan penjajah mahupun musuh yang tidak kelihatan hari ini.
Berbekalkan semangat jitu dan pengorbanan besar para pejuang dan petugas barisan hadapan atau frontliners yang berperang melawan pandemik hari ini, seharusnya dapat dihayati oleh generasi hari ini.
Bagaimana sifat patriotik mereka berjuang untuk rakyat dan negara ini boleh diterjemahkan kepada pengkisahan yang boleh dihayati oleh setiap anak bangsa dalam apa juga bentuk kandungan dalam dunia siber hari ini.
Tidak cukup dengan itu, kisah-kisah perjuangan inilah yang dapat kita terapkan kepada generasi muda hari ini dan masa depan, membina semangat patriotik mereka, menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan negara dalam keadaan sukar dan genting hari ini; menjadi suatu petunjuk bagaimana rakyat kita sanggup berkorban untuk mempertahankan negara dalam kemelut politik, ekonomi dan sosial yang kita hadapi hari ini.
Inilah sebenarnya perjuangan mempertahankan kemerdekaan dan maruah negara yang kita jelmakan dari hati budi dan semangat jiwa wajah patriotik anak bangsa kita menyayangi kemerdekaan negaranya.
(Sambutan kemerdekaan 2022/Foto Jabatan Penerangan)
Bersempena dengan tema hari kemerdekaan kita pada tahun ini, iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, kita seharusnya menjadikan Malaysia sebagai tanah air yang selamat untuk dihuni oleh setiap warganya, sama-sama mempertahankan keamanan negara menerusi perpaduan sejati dalam kalangan masyarakat majmuk, sanggup "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" antara semua kaum di negara ini bagi menjalinkan aspirasi masyarakat Madani yang menjadi impian kita.
Justeru masyarakat juga ,seperti mana disarankan oleh Menteri Komunikasi Digital, YB Fahmi Fadzil harus mengamalkan sikap tabayyun apabila berdepan dengan penularan maklumat media siber yang berluasa pada masa sekarang supaya masyarakat tidak terleka dengan diayah-diayah jahat pihak-pihak yang memburu kekacauan atau kepincangan negara dengan merosakkan nilai perpaduan masyarakat di negara ini.
Banyak persoalan dan isu yang digembar-gemburkan dalam kalangan masyarakat boleh diselesaikan secara pemuafakatan yang lebih positif dan progresif seperti mengadakan rundingan, perbincangan intelektual dan perancangan strategik supaya ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua golongan masyarakat dan sentiasa menghormati hak-hak setiap kaum yang telah dimaktubkan dalam sistem perlembagaan negara.
Sifat patriotisme dalam kalangan masyarakat, khususnya anak-anak muda di negara ini seharusnya dipupuk dan disemai menerusi program-program berstrategik yang berterusan bagi memberi kesedaran kepada mereka nilai kemerdekaan yang dicapai negara sehingga kini.
Kita mengharapkan lebih banyak reformasi yang progresif dapat diilham dan dilaksanakan untuk mendorong penghayatan rakyat terhadap nilai kemerdekaan negara.
PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.