fb fb fb fb fb

Masa untuk buktikan anak muda aset berharga negara

(Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan bergambar bersama
sempena Sambutan Hari Belia Negara di Padang Pejabat Daerah dan
Tanah Port Dickson, pada 28 Mei lalu/Foto BERNAMA)

ULASAN BERITA

"Belia... aset pemangkin masa hadapan negara cemerlang”. Setuju atau tidak dengan pernyataan tersebut? Mungkin benar, dan mungkin tidak. Bergantung kepada penilaian masing-masing. Memandangkan, setiap peringkat umur dalam masyarakat seharusnya mempunyai peranan dalam menaikkan nama negara di persada dunia dalam apa bidang sekali pun. 

Bagaimanapun dalam merancang hala tuju tepat -- sokongan dan panduan yang kuat bagi mencapai aspirasi itu, amat diperlukan. Sudah tentulah belia dilihat golongan yang paling wajar diketengahkan sebagai pengganti kepada ketua-ketua keluarga, organisasi mahupun pemimpin negara.

Menggilap bakat kepimpinan anak muda bagi mendepani cabaran masa hadapan, sepatutnya tidak dipandang remeh. Sehubungan itu ke arah memacu kepimpinan terbaik, belia perlu dipersiapkan lebih awal bagi menyumbang demi pembangunan negara yang gemilang. Mereka harus diberi ruang untuk sama-sama terlibat dalam setiap keputusan yang dibuat oleh pemimpin negara.

Sejajar itu, pada 28-Mei 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan khabar gembira pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2023; iaitu, peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) setahun. Ia khusus bagi melaksanakan pelbagai program membabitkan orang muda tanpa sebarang kekangan kewangan.

Peruntukan berkenaan diberikan atas keyakinan dan kesungguhan kerajaan terhadap kepimpinan Presiden MBM - Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid yang telah menjayakan Negara Madani. Serta berpegang kepada sokongan padu belia di negara ini.

Berpaksikannya, MBM perlu memperincikan laporan mengenai hala tuju. Tempoh sebulan diberikan bagi menyediakan laporan mengenai rancangan pertubuhan itu dalam usaha menambah keanggotaan belia.

Kedua, memastikan penyertaan wanita di semua peringkat termasuk pimpinan MBM -- bermula dengan penyertaan 30%. Ketiga memperhebatkan program, ekonomi, latihan serta kebajikan termasuk kesedaran belia dalam menunaikan tanggungjawab mereka dalam negara ini.


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) diiringi Menteri Belia dan Sukan
Hannah Yeoh (kanan) ketika hadir pada Sambutan Hari Belia Negara di Padang
Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, pada 28 Mei lalu/Foto BERNAMA)

Bersempena Hari Belia Negara kali ini bertemakan 'Ini Masa Kita', Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, kerajaan berhasrat untuk melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti KHAZANAH, PETRONAS dan PERKESO dalam mengendalikan program latihan belia. Perkara itu akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Bukan sekadar itu, Perdana Menteri turut melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM 2030). Pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia -- selari dasar nasional terkini.

MPBM2030 dibangunkan berdasarkan aspirasi golongan belia yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Ia memberi penekanan kepada empat teras, 11 objektif, 14 strategi dan 39 inisiatif. Model tersebut disasarkan dapat melahirkan warganegara belia yang dinamik, kompeten, berdaya saing dan berdaya tahan. Khusus dalam mendepani cabaran masa kini serta perubahan masa depan.

Ternyata, golongan belia merupakan kumpulan yang dianggap sudah matang fikirannya. Sekali gus berupaya memainkan peranan sangat signifkan terhadap pembangunan serta kemajuan negara. Tak percaya? Ujilah mereka.

Ironinya peranan anak muda atau belia kini semakin besar dalam segenap aspek, tidak boleh dinafikan. Jangan dipandang rendah, jangan diambil mudah. Tepis ego masing-masing.

Beri peluang, dan buka ruang untuk mereka membuktikan kemampuan. Sama ada di peringkat komuniti, nasional mahupun global. Meliputi proses pembentukan kerajaan dan pentadbiran negara.

Apa yang penting, belia itu sendiri perlu mempunyai keyakinan, idealisme, berprinsip, menghormati antara satu sama lain. Pada masa sama menolak segala bentuk rasuah. Selain mempunyai sikap mahu menimba ilmu sebanyak mungkin, serta mengangkat martabat rakyat.

EZA YUSMAWATI YAACOP ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu