SAUDARA PENGARANG
Hari kemerdekaan akan berulang. Mengingatkan kita kepada detik-detik perjuangan negara- bangsa. Menjanjikan kepada rakyat Malaysia hari ini erti kemakmuran sekiranya nilai-nilai penyatuan bangsa tersemat dalam sanubari kita.
Nilai perpaduan rakyat teruji apabila perjuangan memburu kemerdekaan sekali lagi apabila kita terpaksa bertarung dengan pelbagai isu yang menggamit kehidupan anak-anak muda hari ini seperti cabaran menghadapi kos sara hidup yang tinggi, kekurangan penawaran pekerjaan dan tidak terkecuali menghadapi wabak COVID-19 yang masih berluasa di negara ini.
Perjuangan merempuh perjalanan kehidupan yang mencabar ini memerlukan satu pengorbanan teguh; semua rakyat negara ini bersatu hati dan prihatin terhadap kebajikan serta kesejahteraan komuniti kita menghadapi dugaan-dugaan ini.
Bagi golongan warga muda atau belia, perjuangan menghadapi "peperangan kos sara hidup" ini memerlukan satu pengorbanan besar, lebih-lebih lagi dianggarkan 30% daripada mereka telah kehilangan pekerjaan, terpaksa menanggung implikasi akibat kegawatan ekonomi.
Segulung ijazah dari menara gading belum pasti akan menjamin pekerjaan anak-anak muda sekarang sekiranya mereka tidak mempunyai pengalaman kerja atau berkemahiran tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa suara belia diperkasakan apabila golongan belia bakal diberi ruang lebih luas untuk menerajui politik, memimpin masyarakat dan bebas menyuarakan pandangan mereka dalam kerajaan.
Tidak terkecuali sebelum itu, kita menyaksikan golongan belia ampuh apabila mereka diangkat menjawat jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, GLC dan organisasi swasta.
Sepanjang PRU15, kita dapat menyaksikan bagaimana kerajaan mengiktiraf peranan belia untuk memimpin kawasan-kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta menganggotai kabinet Kerajaan Madani.
Ini menunjukkan bahawa belia merdeka hari ini sudah matang untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka untuk menyubur dan menyalurkan bakti kepada rakyat dan negara dengan cara tersendiri.
Justeru, golongan belia di negara ini harus bangkit menanamkan keyakinan kepada masyarakat bahawa mereka mampu berkhidmat dan menyumbang bakti kepada negara bangsa mahu pun di peringkat antarabangsa.
(Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa,
pada 22 Mei 2023/Foto hiasan FB KBS Malaysia)
Sepuluh cabaran utama yang saya nyatakan ini adalah keutamaan untuk memperkasakan golongan belia untuk terus lebih maju memacu hala tuju dan masa depan negara serta generasi kita pada masa akan datang;
Cabaran pertama ialah memupuk semangat patriotisme, kesetiaan dan kecintaan kepada negara. Belia perlu bersatu hati membina satu kefahaman yang meluas untuk memakmurkan kesejahteraan rakyat menerusi penghayatan terhadap Rukun Negara yang merupakan teras pembinaan warga negara Malaysia.
Cabaran kedua ialah mencipta dan membangunkan budaya kepemimpinan yang berteraskan sifat tanggungjawab, peduli dan menghayati kebebasan yang dinikmati tanpa berperasangka sesama mereka yang disebabkan terlalu taksub dengan dunia materialisme hari ini.
Cabaran ketiga ialah menyemarakkan semangat juang, berdikari dan mampu bersaing sesama mereka dengan mengukuhkan imej dan identiti positif baharu belia untuk menguasai cabaran mendatang.
Sementara itu, cabaran keempat ialah belia harus bangkit membina platform terbaik untuk membolehkan mereka mendekati kerja-kerja kesukarelawanan sebagai balasan menyumbang bakti kepada negara. Ini akan meningkatkan tahap prihatin dan patriotisme belia kepada warga negaranya.
Cabaran kelima pula ialah kerajaan menerusi agensi-agensinya perlu menyediakan lebih banyak strategi untuk membolehkan belia mengimbangi tuntutan globalisasi dan perubahan teknologi drastik dengan penguasaan ilmu yang tinggi.
Belia harus berupaya untuk menterjemah keperluan teknologi hari ini dengan tuntutan sosial supaya apa yang mereka sumbangkan nanti dapat memenuhi wawasan negara untuk generasi hari ini dan akan datang.
Cabaran keenam ialah belia perlu mengutamakan institusi keagamaan, kekeluargaan dan komuniti sebagai teras pendorong peradaban kelangsungan hidup.
Cabaran ketujuh yang harus diutamakan golongan belia hari ini ialah membina penyatuan dinamik menerusi penglibatan dalam pertubuhan-pertubuhan sosial serta pemupukan semangat kerja yang produktif, progresif dan cemerlang.
Sementara itu pula cabaran kelapan ialah melahirkan belia Malaysia sebagai ejen perhubungan komunikasi di pentas global menerusi penyertaan mereka dalam bidang-bidang profesional dan kesukanan.
Cabaran sembilan ialah memastikan golongan belia berperanan memelihara warisan budaya, bangsa dan negara dengan menyemarakkan budaya ilmu dan ketamadunan bangsa kepada mereka tanpa mengira kaum.
Akhir sekali cabaran kesepuluh ialah menjana peranan kerajaan dan masyarakat membentuk suasana kondusif dengan menyokong menyediakan kemahiran teknologi dan meningkatkan profesionalisme dalam jurusan-jurusan kerjaya yang diceburi.
Belia harus dibimbing menjadi para teknokeusahawan yang berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat dunia bagi melestarikan kehidupan mereka mendepani cabaran-cabaran dan konflik mendatang.
Sesungguhnya kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah suatu ujian besar buat belia kita. Sekiranya masyarakat bersedia memahami dan menyokong peranan belia dalam mewarnai kehidupan di negara ini, sudah tentu kita akan berbangga mencipta anak-anak warisan yang menyumbang kepada kemartabatan bangsa dan kemakmuran negara.
PENULIS TS. DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.