SAUDARA PENGARANG
Menjelang giliran Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, negara telah terlibat dalam kerjasama serantau ini bermula seawal tahun 1968 dalam sektor pertanian dan makanan bagi pengeluaran dan pembekalan makanan. Peranan negara-negara ASEAN dalam sektoral ini dikembangkan lagi pada tahun 1977, merangkumi perluasan bidang pertanian dan perhutanan bagi menampung peningkatan keperluan serantau.
Kerjasama serantau ini memberi fokus terhadap usaha, merangkumi bidang kritikal seperti kemampanan, keselamatan makanan, kebersihan dan fitosanitari, makanan halal, tanaman, ternakan, latihan pertanian dan pengembangan koperasi pertanian, dan inisiatif mempromosikan pertanian dan hasil hutan.
Jika dilihat, sektor pertanian telah memberikan peluang pekerjaan kepada berjuta-juta penduduk di luar bandar dan menyumbang sebahagian besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara ASEAN, terutama di negara-negara seperti Thailand, Vietnam, dan Indonesia. Visinya adalah untuk menjadi pemain ekonomi ke-4 terbesar dunia menjelang 2030, bersama Amerika, China dan Eropah dengan gabungan KDNK dari pelbagai sektor berjumlah AS3.8 trilion dan membuka pasaran kepada kira-kira 685 juta pengguna.
Dalam hal ini, pelaksanaan langkah strategik dalam Pelan Strategik Kerjasama ASEAN dalam Makanan, Pertanian dan Perhutanan masih diguna pakai dalam memastikan kerjasama negara ahli dalam agenda keterjaminan makanan dapat dilaksanakan dengan baik.
Pelan ini telah dirangka bagi pelaksanaan untuk tempoh 10 tahun dari 2016 hingga 2025 yang mengambil kira beberapa bidang fokus melibatkan konteks global dan serantau. Antaranya isu dan cabaran yang dipengaruhi oleh ekonomi serantau yang pesat membangun, globalisasi dan cabaran perubahan iklim terhadap rantaian penghasilan makanan.
Dalam usaha untuk merealisasikan visi dan matlamat pelan strategik ini, beberapa aktiviti telah berjaya dijalankan seperti pembangunan piawaian dan garis panduan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan Amalan Penternakan Baik, pelaksanaan Rangka Kerja Keselamatan Makanan Bersepadu ASEAN (AIFS) dan Pelan Tindakan Strategik Keselamatan Makanan, 2015-2020.
Namun, impak perubahan iklim terhadap pengeluaran bahan makanan dapat dilihat dengan nyata melalui bencana yang melanda memberikan cabaran baharu yang perlu ditangani oleh negara anggota. Kesan daripada fenomena haba, peningkatan suhu dan pengurangan hujan dalam tempoh yang panjang menjejas hasil pengeluaran padi serta mengganggu banyak hasil tanaman makanan.
International Rice Research Institute (IRRI) yang berpusat di Los Banos, Filipina telah membuat kajian serta menyimpulkan bahawa kenaikan suhu satu darjah selsius pada waktu malam boleh mengurangkan hasil padi kira-kira 10 peratus. Kesan jangka panjang daripada fenomena ini sudah pastinya memberi impak serantau yang mana akan berlaku kekurangan bekalan beras dalam pasaran antarabangsa. Mudahnya, negara pengeksport beras dari negara anggota akan melarang beras mereka keluar bagi memastikan bekalan beras terutamanya beras putih untuk rakyat mereka terjamin.
Di Malaysia, kerajaan telah memberi jaminan bahawa bekalan beras negara mencukupi melalui stok penimbal yang mampu menampung keperluan rakyat bagi tempoh 5-6 bulan mendatang. Namun, ini memberi kesan daripada segi ekonomi serta keupayaan rakyat untuk membeli, iaitu harga beras berada pada harga yang tinggi disebabkan kekurangan hasil.
Selain itu, pembangunan infrastruktur yang tidak serata dilihat turut menjadi cabaran negara anggota dalam meningkatkan keupayaan keterjaminan makanan masing-masing. Penggunaan teknologi moden seperti automasi, analisis data besar, dan pertanian pintar dapat membantu meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan penggunaan sumber semula jadi.
Bagaimanapun, akses kepada teknologi terkini masih terhad dan kurang diguna pakai oleh kebanyakan negara anggota. Sebagai contoh, pemodenan agromakanan melalui penggunaan internet benda (IoT) dan teknologi terkini berupaya meningkatkan penglibatan golongan muda, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos pengeluaran bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi.
Contohnya, penggunaan dron atau pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam aktiviti membaja serta meracun di petak sawah seluas 1 hektar mengambil masa 20 minit berbanding kaedah manual yang mengambil masa melebihi satu jam bagi keluasan sama.
Soal kos pula, kadar upah penggunaan dron, adalah sekitar RM60 – RM70 berbanding upah tenaga kerja manusia sebanyak RM120 bagi keluasan 1 hektar sawah padi sekali gus mengurangkan kos operasi membaja dan meracun padi.
Inovasi dan pelaburan dalam teknologi sistem pertanian lestari turut memainkan peranan penting dalam memupuk produktiviti. ASEAN perlu terus mempromosikan teknik pertanian lestari yang mesra alam seperti sistem pertanian berintegrasi, teknologi pengurusan air, dan penggunaan baja organik untuk meningkatkan ketahanan makanan dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar selari dengan agenda matlamat pembangunan mampan (SDG).
Sebagai contoh, sistem tanaman secara hidroponik dan fertigasi dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 90% berbanding pertanian secara konvensional. Inovasi ini meningkatkan hasil tanaman sayur-sayuran sehingga 6 kali ganda selain mengoptimumkan penggunaan ruang tanah dengan berkesan dan mampan.
Tuntasnya, agenda keterjaminan makanan di ASEAN adalah isu kritikal yang memerlukan perhatian khusus daripada semua negara anggota. Melalui platform ASEAN, pada masa akan datang, sektor pertanian dapat diperkasakan melalui pendekatan yang lebih inklusif, mampan, dan inovatif bagi memastikan keterjaminan makanan untuk generasi akan datang terjamin.
Melihat kehadapan, melalui usaha kerjasama serantau yang dipertingkatkan, penggunaan teknologi moden seperti IoT dan penggunaan dataraya yang efisien serta melalui pendekatan pertanian lestari, ASEAN dijangka mampu mengukuhkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan dalam mengatasi cabaran global yang semakin kompleks.
PENULIS, PROF. DR. ANJAS ASMARA SAMSUDIN, Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia. Boleh dihubungi melalui e-mel,
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.