fb fb fb fb fb

Lambakan unsur lucah di media, hanya runtuhkan nilai masyarakat

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dewasa ini, terdapat lambakan iklan dan filem berunsur lucah (soft porn) ditayangkan di pawagam dan kaca TV. Hal ini memberi kesan buruk kepada masyarakat di mana filem amat berpengaruh kepada kehidupan realiti manusia dari sudut pemikiran, tingkah laku, emosi, peribadi, akhlak, dan nilai Islam.

Perubahan yang berlaku ke atas diri penonton akan mendorong mereka sama ada ke arah positif mahupun negatif bergantung kepada jalan cerita yang dipilih. Bagaimana hal ini boleh berlaku?

Mengikut teori kesan media yang diasaskan oleh George Gerbner pada tahun 1979 melalui Cultivation Theory, menyatakan bahawa semakin kerap seseorang menonton televisyen, semakin mudah visual tersebut menyerap masuk dan mempengaruhi psikologi penonton.

Secara saintifik, ianya kerana dikatakan berpunca daripada pemaparan secara audio dan visual yang halus dan berupaya untuk mempengaruhi pemikiran kognitif penonton dalam jangka masa panjang.

Kesan ini menjadi lebih parah sekiranya ditonton oleh kanak-kanak yang belum cukup matang untuk menilai baik dan buruk apa yang ditonton. Bagi remaja, apa yang ditonton pula akan lebih berpengaruh disebabkan faktor pertumbuhan biologi dan psikologi mereka ketika itu yang lebih kepada sifat ingin mencuba.

Sekiranya kita lihat fenomena kepincangan keluarga Malaysia hari ini, boleh dilihat salah satu puncanya adalah disebabkan normalisasi yang ada di kaca TV semenjak 15-20 tahun lalu. Drama di kaca TV mempamerkan adegan-adegan seksual, kecurangan rumah tangga dan skandal sana sini.

Sama ada skandal bos di tempat kerja, skandal isteri di rumah dan lain-lain adegan memberi sebuah ilustrasi kepada masyarakat secara tidak langsung bahawa itulah nuansa dan imej masyarakat moden hari ini.

Tanpa kita sedari, arus teknologi lebih pantas mendakap dalam minda dan harian manusia. Hal ini adalah kerana, lakonan filem adalah aksi bergerak, di mana akal mampu membuat photographic memory terus ke dalam minda dan merangsang keinginan untuk bertindak. Pemaparan secara visual ini akan menjadi lebih parah sekiranya watak dilakonkan itu adalah perbuatan jahat dan maksiat.

Sekiranya disemak uslub (kaedah atau cara) penceritaan di dalam Al-Quran, peristiwa Nabi Yusuf dibuang ke dalam perigi tidak diceritakan secara terperinci, kerana salah satu hikmahnya adalah supaya masyarakat tidak dapat mencontohinya langkah demi langkah bagaimana perkara itu terjadi.

Begitu juga peristiwa Nabi Yusuf digoda isteri Al-Aziz tidak diterangkan secara terperinci supaya hanya pengajaran yang diambil tanpa perlu diperincikan yang kemudiannya mampu mempengaruhi minda bawah sedar manusia.

Sekalipun ada yang mungkin berpendapat bahawa filem penting bagi menunjukkan realiti sebenar dan mendidik masyarakat dengan nilai baik, tetapi nilai buruk yang ditayangkan benar-benar memberi kesan kepada jiwa penonton. Firman Allah SWT:

كَلَّا ۖ بَلْ ۜ رَانَ عَلَىٰ قُلُوبِهِم مَّا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.” (Surah Mutaffifin, 83 ayat 14)

Apa yang ditonton, dilihat atau didengar, semuanya masuk ke bawah minda sedar dan membentuk kejiwaan kita. Mengaburi pandangan mata hati kita sehingga membentuk tindakan kita. Begitu juga hadith Nabi, daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Hadis riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599))

Pengarah filem sering berhujah bahawa filem memberi pengajaran dengan membawa nilai moral di babak terakhir dengan menunjukkan adegan si pelaku menerima balasan dan bertaubat, tetapi sayangnya, minda bawah sedar penonton telah menyerap unsur dan nilai negatif di sepanjang filem ditayangkan.

Hal ini jelas tidak sesuai dengan konsep Islam di mana Islam tidak menganjurkan untuk manusia terus bermaksiat dan mengharapkan taubat di hujung waktu.

Penerbit filem juga harus menyedari bahaya ini dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata daripada produksi filem tersebut. Malah, unsur-unsur lucah ini sering diselitkan bagi melariskan filem supaya mendapat ramai tontonan. Tindakan ini merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan hanya meruntuhkan nilai Islam secara sedar mahu pun tidak.

Marilah kita menyedari bahaya unsur lucah di kaca TV dan skrin gajet. Ia mencorak minda bawah sedar manusia dan membentuk peribadi kita. Kesannya dapat dilihat pada hari ini di mana gejala sosial seperti zina, anak luar nikah, LGBT, dan lain-lain maksiat menjadi sebuah kebiasaan dalam masyarakat Islam dan menjadi penyebab yang mengundang kemurkaan Allah.

PENULIS DR. ATIFAH AHMAD YUSOFF, Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI