fb fb fb fb fb

Seksisme pelbagai bentuk halang potensi wanita

Gambar hiasan oleh Nijwam Swargiary - Unsplash

SAUDARA PENGARANG

Stereotaip seksisme merujuk kepada kepercayaan masyarakat mengenai klasifikasi lelaki dan wanita, di mana ungkapan seksis pula merujuk kepada bahasa yang menunjukkan berat sebelah, terutamanya terhadap golongan wanita.

Situasi itu jelas kelihatan dalam kehidupan seharian, terutamanya melalui penggunaan bahasa dan konotasi negatif terhadap wanita. Meskipun masyarakat kini lebih peka terhadap kewujudan bahasa seksis, ramai yang masih menerima keadaan ini sebagai sebahagian daripada budaya dan norma kehidupan.

Ucapan seksis tidak disedari

Ucapan seksis sering kali disampaikan secara sindiran atau jenaka tanpa disedari. Wanita kerap kali menjadi sasaran dalam pelbagai konteks, termasuk penglibatan profesional, kepimpinan dan aktiviti fizikal. Dalam dunia profesional dan kepimpinan, wanita sering menghadapi kesulitan kerana masyarakat menganggap mereka kurang mampu memimpin organisasi.

Walaupun golongan wanita kini semakin dihargai dalam urusan profesional, masih ada tempat yang merendahkan sumbangan dan keupayaan mereka. Begitu juga dalam rumah tangga, di mana wanita sering kali dikaitkan dengan stereotaip "tempat mereka hanya di dapur", meskipun tahap pendidikan mereka tidak seharusnya mengehadkan peranan mereka dalam keluarga.

Pandangan seksis seperti ini menganggap wanita sebagai golongan yang beremosi dan lemah, padahal pengurusan emosi adalah tanggungjawab setiap individu, tanpa mengira jantina.

Kesan ucapan seksis terhadap pembangunan wanita

Ucapan seksis yang mengabaikan peranan wanita memberi kesan besar terhadap keyakinan diri, kemajuan dalam kehidupan peribadi, dan karier mereka. Tanggapan negatif itu menghalang wanita daripada merebut peluang berisiko tinggi dan memaksa mereka untuk bekerja lebih keras bagi membuktikan kemampuan diri. Di tempat kerja, wanita mungkin diabaikan daripada peluang untuk memimpin atau mendapat penilaian positif, terutama dalam peranan yang memerlukan keputusan besar.

Pengaruh seksisme juga boleh menambah masalah psikologi seperti tekanan, kebimbangan, atau kemurungan. Wanita yang sering menjadi mangsa seksisme mungkin merasakan diri mereka terhina, terasing, dan tidak dihargai, yang akhirnya membawa kepada perasaan negatif terhadap diri mereka sendiri.

Menghormati tanpa diskriminasi

Penting untuk menghargai setiap individu berdasarkan kemampuan mereka, bukannya melalui stereotaip jantina. Penghormatan itu membolehkan wanita terutamanya merasa lebih terdorong untuk merealisasikan cita-cita dan impian mereka. Ini juga membawa kepada pertumbuhan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, teknologi, sains, dan politik, yang akhirnya akan memanfaatkan masyarakat dan negara.

Penolakan diskriminasi akan mengubah persepsi dalam hubungan dan peranan dalam institusi kekeluargaan. Pendekatan yang tidak berat sebelah bukan bermaksud lelaki harus tunduk kepada wanita, tetapi lebih kepada mencipta hubungan yang lebih dinamik dan seimbang dalam rumah tangga.

Tugasan dalam rumah tangga akan lebih fleksibel jika lelaki dan wanita memahami peranan masing-masing dalam menguruskan kerja-kerja rumah dan melayani keluarga. Keharmonian rumah tangga boleh dicapai melalui perbincangan dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kesimpulan

Seksisme jelas wujud dalam bentuk ucapan dan pandangan terhadap wanita. Menghormati kebolehan individu tanpa prejudis jantina adalah langkah penting untuk menghentikan ideologi negatif tersebut.

Masyarakat yang dibina atas dasar hormat dan bebas diskriminasi akan membolehkan setiap individu memanfaatkan potensi mereka, sekali gus mewujudkan kehidupan yang makmur dan aman untuk semua.

PENULIS NUR AFIFAH ABDUL RAHMAN HALAWA, NORLIZA AMIN, Pensyarah Universiti Malaya (UM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

SITI AISHAH MD ISA