SAUDARA PENGARANG
Ekosistem Kondusif Sektor Awam atau EKSA merupakan satu inisiatif strategik dan inovatif dalam memperkukuh mutu perkhidmatan sektor awam. Sebagai pelengkap kepada pelaksanaan 5S, EKSA diperkenalkan bagi mencipta persekitaran kerja lebih teratur, produktif dan kondusif.
Matlamat EKSA untuk memperkasakan sektor awam sebagai pemacu pembangunan negara. Namun, seperti mana-mana perubahan besar, pelaksanaan EKSA tidak lari daripada cabaran.
Ramai menganggap EKSA sekadar kempen kebersihan dan kekemasan pejabat. Namun, hakikatnya lebih daripada itu. EKSA bukan hanya melibatkan penyusunan tempat kerja yang teratur, malah merangkumi kepada penggunaan sumber secara lestari, dan memupuk budaya inovasi. Fokusnya bukan sahaja kepada kecekapan kerja tetapi juga memastikan persekitaran pejabat yang selesa kepada pekerja dan pelanggan.
Ruang kerja yang tersusun memudahkan proses pencarian dokumen dan peralatan. Masa carian akan menjadi lebih singkat. Impaknya pekerja dapat memberi fokus mereka kepada tugasan utama dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti kerja. Selain itu, imej profesional organisasi turut diperkukuhkan. Apabila pelanggan datang ke pejabat yang bersih dan kemas, keyakinan mereka terhadap kualiti perkhidmatan akan meningkat.
EKSA juga menggalakkan kelestarian, selaras dengan matlamat pembangunan lestari (SDG). Amalan seperti mengurangkan pembaziran kertas, elektrik, dan bahan pejabat lain bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga menyumbang kepada penjagaan alam sekitar.
Namun begitu, perlaksanaan EKSA bukanlah sesuatu yang mudah. Cabaran utama adalah mendapatkan sokongan daripada semua kakitangan. Tidak semua orang memahami manfaat EKSA. Malah, ada yang melihatnya sebagai beban tambahan, bukannya sebagai peluang untuk memperbaiki sistem kerja.
Selain itu, budaya kerja lama sukar diubah. Banyak organisasi masih beroperasi dengan cara yang tidak sistematik, dan untuk menggantikannya dengan pendekatan baharu memerlukan masa serta usaha berterusan.
Kekangan sumber juga menjadi isu, terutamanya untuk organisasi kecil. Kos latihan, bahan promosi, dan pengubahsuaian tempat kerja memerlukan peruntukan yang kadang kala tidak mencukupi.
Lebih membimbangkan, ada organisasi yang hanya melaksanakan EKSA untuk memenuhi keperluan audit atau mendapatkan anugerah, tanpa benar-benar memahami atau mengamalkannya secara jangka panjang.
EKSA, jika dilaksanakan secara serius dengan penuh komitmen dan kesungguhan, menjadi pemangkin kepada perubahan besar yang memberikan manfaat. Namun, kejayaan EKSA bergantung kepada kesediaan kita untuk berubah. Sikap positif, kerjasama, dan kesungguhan semua pihak menjadi kunci utama amalan ini.
Sokongan pengurusan atasan amat penting. Pemimpin harus menjadi contoh dengan menunjukkan komitmen dan kesungguhan mereka terhadap amalan EKSA. Ganjaran dan pengiktirafan kepada unit atau individu yang cemerlang dalam melaksanakan EKSA boleh memotivasikan kakitangan lain untuk turut serta.
EKSA bukan sekadar projek untuk “menyusun pejabat” tetapi satu revolusi budaya kerja yang boleh membawa impak besar kepada organisasi dan masyarakat. Jika dilaksanakan dengan betul, ia mampu memperbaiki budaya kerja, meningkatkan imej sektor awam, dan menyumbang kepada matlamat pembangunan negara.
Namun, kejayaan EKSA bergantung kepada kerjasama semua pihak. Cabaran akan sentiasa ada, tetapi dengan sikap positif dan usaha berterusan, EKSA boleh menjadi pemangkin perubahan yang kita perlukan. Jadi, persoalannya sekarang: Adakah kita bersedia untuk melihat EKSA sebagai peluang untuk berubah, atau kekal dengan budaya lama yang membelenggu kemajuan? Jawapan terletak pada tangan kita semua.
PENULIS FADZILAH AHAMAT HAYUDIN, Pensyarah Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai dan PROF. MADYA DR NORAINI IBRAHIM, Professor Madya Jabatan Kejuruteraan Perisian Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.