SAUDARA PENGARANG
Rokok elektronik atau lebih dikenali dengan nama; Vape merupakan satu peranti yang diguna pakai oleh sesetengah golongan masyarakat bagi menggantikan penggunaan rokok tradisional. Dipenuhi dengan kandungan yang hampir sama dengan rokok tradisional terutamanya nikotin, rokok elektronik juga mengandungi aerosol, propylene glycol atau gliserol dan perisa tiruan.
Seperti mana masyarakat kini sering diingatkan tentang keburukan rokok, mereka masih mempunyai sikap acuh tidak acuh terhadap kesan penggunaannya, bahkan banyak inisiatif telah dilaksanakan bagi mendedahkan masyarakat kepada ‘pembunuh’ ini. Tiada alasan lagi untuk individu mengelak daripada mengatakan ‘tidak tahu’ kepada akibat rokok, sama ada tembakau atau elektronik, memandangkan kini penggunaan teknologi sudah berkembang, di hujung jari.
Generasi kini seperti Generasi Z dan Generasi Alpha yang menjadi sumber keuntungan pengeluar rokok elektronik dan sasaran kemudaratan penggunaan vape yang semakin hari semakin berkembang dan berevolusi, memudahkan mereka untuk mendapatkan akses kepada bahan-bahan ini, tanpa pengetahuan ibu bapa atau penjaga. Kita dapat lihat pelbagai bentuk vape atau rokok elektronik yang digantung di leher anak-anak muda kini, seakan-akan ia merupakan satu keperluan asas yang diperlukan untuk ‘terus hidup’.
Terma rokok itu sendiri sering dikaitkan dengan perkataan ‘stres’. Mengapa perkaitan ini sering dilontar oleh individu-individu yang merokok? Dikatakan bahawa hisap vape akan membuat mereka lebih tenang dan tidak tertekan dengan segala isu yang dihadapi dalam kehidupan. Ini bercanggah dengan dapatan kajian yang mengatakan individu yang merokok khususnya golongan muda berpotensi mengalami peningkatan rasa gelisah, kemurungan, gangguan tidur dan ketagihan serta memberi impak negatif terhadap perkembangan otak dan fungsi pemikiran. Di mana letaknya ketenangan yang diuar-uarkan kalau itu hanya sekadar impak sementara tetapi perlu menanggung derita selamanya?
Namun, masih wujud sesetengah individu yang tidak lekang merokok walaupun semasa berbual dan mampu menghabiskan beberapa batang rokok pada masa yang sama, berhabisan ratusan dan ribuan ringgit. Vape dikatakan sebagai alternatif yang lebih baik kepada rokok tembakau, namun ia tidak membuktikan bahawa golongan muda perlu turut terlibat dalam perdebatan ini. Persoalannya, adakah wajar untuk golongan muda masih memilih untuk memudaratkan diri dengan aktiviti vaping dan akibat yang bakal ditempuh kelak?
Tidak asing lagi, peranti rokok elektronik ini muncul dalam pelbagai bentuk dan cara untuk menarik perhatian anak-anak muda kini. Kes rokok elektronik yang berupakan ‘marker’ dan gam UHU yang pernah tular di Malaysia, menunjukkan bahawa pengeluar-pengeluar kini menggunakan taktik pengiklanan warna-warna terang dan ‘marketing pickup lines’ sebagai umpan yang menyasarkan golongan bawah umur. Isu ini sudah sepatutnya menjadi satu tanda ‘red flag’ untuk lebih berjaga-jaga.
Ini menjadi satu titik tumpuan yang perlu diulas lebih lagi kerana imej jenama yang dipaparkan secara tidak langsung menjejaskan pertimbangan anak-anak muda dalam membezakan perkara yang baik dan buruk buat diri mereka. Penggunaan peranti rokok elektronik ini seakan-akan menjadi satu tren baharu menggantikan rokok tembakau, bukan sahaja dalam golongan dewasa, namun sudah mencapai kepada akses golongan anak muda dan remaja walaupun had umur yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah 21 tahun dan ke atas. Ini bukan lagi sekadar isu penguatkuasaan had umur dan undang-undang terhadap golongan bawah umur dalam konteks penggunaan rokok elektronik.
Tetapi, isu ini sudah timbul dan makin berleluasa sebagai satu masalah sosial yang dialami oleh generasi pemimpin akan datang dan menjadi satu solusi untuk mereka merasakan diri diterima dalam satu-satu kumpulan tertentu yang dipanggil sebagai keperluan ‘social belonging’. Tidak dinafikan bahawa autonomi golongan muda terutamanya remaja sudah beralih daripada keluarga kepada rakan-rakan. Hakikatnya, golongan muda tertarik dengan bahan ini atas pelbagai dasar.
Anda pasti pernah dengar peribahasa ini; ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ini melibatkan cara pembelajaran anak-anak berdasarkan konteks ‘modelling and imitation’. Ketam tidak akan pernah dapat mengajar anaknya untuk berjalan lurus. Sama seperti manusia, jika anak-anak sejak kecil lagi sudah memerhatikan tingkah laku ibu bapa yang merokok merupakan satu perkara yang normal, tidak hairan jika mereka juga mengikut jejak. Tetapi, kita tidak boleh menunding jari bahawa didikan ibu bapa menyumbang sepenuhnya kepada tingkah laku berisiko anak-anak.
Golongan muda memiliki kecenderungan untuk terlibat dalam tingkah laku berisiko apabila ia melibatkan rasa diabaikan oleh rakan-rakan. Jika kita ingin membincangkan lagi isu ini dengan lebih mendalam dari sudut psikologi, anak-anak ini masih dalam proses mencari identiti diri dan tujuan dalam kehidupan mereka. Dek kerana satu kesalahan lampau, ia akan memberikan kesan kepada masa hadapan. Penglibatan dalam aktiviti yang memudaratkan ini dipengaruhi oleh kecenderungan anak-anak muda yang mencari validasi atau pengesahan daripada rakan-rakan.
Mereka cenderung untuk menempatkan diri dalam situasi yang telah dinormalisasikan bagi fasa ini, iaitu merokok adalah satu perkara yang normal. Kita dapat lihat di kawasan-kawasan awam seperti premis makanan, ada individu-individu tergolong daripada deretan umur tidak kira tua atau muda, merokok tanpa menghiraukan kemudaratan rokok itu kepada orang lain yang menghidunya.
Akibat buruk merokok bukan sahaja kepada diri sendiri namun ia juga menjejaskan tahap kesihatan orang sekeliling yang merupakan ‘second-hand smoker’ kepada perbuatan tidak bertanggungjawab individu. Bayangkan, asap-asap rokok tembakau atau vape berkepul-kepul di udara ruangan kedai mamak, sedangkan ada keluarga-keluarga yang datang dengan anak kecil ingin menikmati hidangan mereka tanpa sebarang gangguan. Bukankah itu sudah menjadi satu beban tanggungjawab perokok ke atas individu-individu lain?
Jelas, isu ini tidak lagi hanya menumpu kepada golongan muda yang mengambil vape atas dasar keseronokan, golongan berusia juga masih menggunakan vape atas dasar berbeza, masih tidak mengendahkan keburukan kepada orang lain. Jika ini merupakan contoh ditunjukkan kepada anak-anak muda yang menganggap ia satu perkara yang dinormalisasikan, bagaimana dengan generasi akan datang?
Perubahan untuk tidak lagi merokok memerlukan satu perkara utama iaitu kesedaran dalam diri dan efikasi kendiri; yang mana individu itu sendiri merasakan dirinya yakin dalam melakukan perubahan dalam diri sendiri. Aspek kesedaran ini bukan satu perkara yang akan datang bergolek seperti bola. Jika nasi sudah menjadi bubur, tiada apa yang boleh dilakukan untuk memutarkan masa kembali, mengembalikan semua ke tempat asalnya.
Sokongan daripada ahli keluarga seperti ibu bapa, adik-beradik dan ahli keluarga lain amat penting untuk individu yang cuba untuk berhenti merokok sama ada tembakau atau vape. Ini memberikan mereka satu ruang persepsi diri yang baharu, bahawa mereka mampu berubah. Jangan bertagak-tagak dalam melaksanakan perubahan ke arah yang lebih baik.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Farah Najwa Mohamad Marzuki
Kaunselor Pelatih
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya