fb fb fb fb fb

Kepentingan Codex Alimentarius dalam keselamatan & kualiti makanan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Perdagangan makanan di arena antarabangsa sudah wujud beribu-ribu tahun dahulu meskipun pada masa lampau makanan hanya dihasil, diedar dan dijual untuk kegunaan tempatan sahaja.

Namun, sepanjang abad lalu industri makanan telah berkembang dengan pesat di peringkat antarabangsa dengan pertambahan kuantiti dan pelbagai jenis makanan didagangkan ke serata dunia hari ini.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa Suruhanjaya Codex Alimentarius, badan yang ditubuhkan secara bersama-sama pada tahun 1960 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertujuan untuk membangunkan standard makanan bawah Program Standard Makanan Bersama FAO/WHO.

Selaras mandat Codex iaitu bertujuan melindungi kesihatan pengguna dan memudah cara amalan yang adil dalam perdagangan makanan, sebenarnya Malaysia terlibat secara aktif dalam Codex. Setakat ini Suruhanjaya Codex Alimentarius mempunyai 189 Ahli terdiri daripada 188 Negara Ahli dan 1 Organisasi Ahli (Kesatuan Eropah).

Malaysia secara aktif mengintegrasikan piawaian Codex Alimentarius dalam peraturan keselamatan makanan negara, seperti Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertanggungjawab untuk melaksanakan piawaian ini bagi memastikan penyelarasan dengan penanda aras antarabangsa untuk memudahkan perdagangan seterusnya melindungi kesihatan pengguna.

Proses penerimaan ini melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkepentingan industri dan pengguna, mencerminkan komitmen Malaysia sejajar dengan norma keselamatan makanan global.

Sebagai perbandingan, negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah juga mengintegrasikan piawaian Codex dalam peraturan keselamatan makanan mereka tetapi pada tahap berbeza-beza.

Amerika Syarikat secara terpilih menerima pakai piawaian Codex, sejajar dengan kepentingan negara; sering melaksanakan langkah-langkah lebih ketat, sementara EU secara meluas mengintegrasikan garis panduan Codex dalam rangka kerja perundangannya melalui agensi seperti Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah.

Jepun pula sama seperti Malaysia, menyelaraskan peraturannya dengan Codex semasa mempertimbangkan amalan tempatan dan tabiat pemakanan.

Secara keseluruhan, penggunaan piawaian Codex menyokong perlindungan perdagangan dan pengguna global, walaupun mengimbangi piawaian antarabangsa ini dengan keperluan tempatan tetap menjadi cabaran bagi banyak negara.

Untuk makluman Codex Alimentarius merupakan piawaian makanan antarabangsa, merangkumi garis panduan dan kod amalan yang menyumbang kepada keselamatan, kualiti dan kesaksamaan perdagangan makanan di peringkat antarabangsa.

Fungsi Codex Alimentarius juga adalah mengembangkan dan menerapkan standard dengan fungsi rujukan untuk perdagangan makanan antarabangsa. Objektif utama adalah untuk melindungi kesihatan pengguna serta memastikan amalan adil dalam perdagangan makanan antarabangsa.

Menerusi piawaian ini, pengguna mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap keselamatan dan kualiti produk makanan yang mereka beli dan pengimport makanan pula mempunyai tahap kepercayaan tinggi terhadap makanan yang mereka pesan malah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Kebimbangan orang ramai mengenai isu keselamatan makanan sering meletakkan peranan Codex dalam perdebatan di peringkat global. Antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Codex iaitu dadah veterinar, racun perosak, aditif makanan dan bahan cemar makanan.

Selaku pakar dalam bidang toksikologi makanan, piawaian Codex adalah berdasarkan fakta sains yang disediakan oleh badan penilaian/perundingan risiko antarabangsa yang bebas diselia oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Piawaian Codex berfungsi dalam banyak isu keselamatan makanan dan menjadi asas kepada perundangan makanan sesebuah negara serta rujukan yang dibuat kepada piawaian keselamatan makanan Codex dalam Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Selain itu, ahli pertubuhan WTO yang ingin menerapkan langkah-langkah keselamatan makanan lebih ketat daripada ditetapkan oleh Codex, dikehendaki untuk membuat justifikasi secara saintifik.

Sejak penubuhannya pada tahun 1963, sistem Codex telah berkembang secara terbuka, telus dan inklusif untuk menghadapi cabaran keselamatan makanan pada masa hadapan.

Untuk makluman, sesi ke-17 Mesyuarat Jawatankuasa Codex Mengenai Bahan Cemar dalam Makanan (CCCF17) telah diadakan di Panama City, pada 15-19 April 2024, telah dirasmikan oleh Presiden Republik Panama, Laurentino Cortizo Cohen.

PROF. MADYA DR. AHMAD FAIZAL ABDULL RAZIS, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, juga merupakan ahli Jawatankuasa Kecil Codex Kebangsaan (JKCK) Contaminants in Foods sejak tahun 2016. Boleh dihubungi melalui emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI