fb fb fb fb fb

Urus stres menerusi ekoterapi di Taman Negara

Ekspedisi ke Taman Negara Pahang anjuran mahasiswa Universiti Malaya (UM)/Foto UM

SURAT PEMBACA

Ekoterapi atau dikenali sebagai terapi alam, merupakan salah satu terapi yang melibatkan interaksi di antara manusia dengan alam semulajadi sebagai cara untuk meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi individu.

Kaedah ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti berjalan di hutan (dikenali juga sebagai ‘mandi hutan’), mendaki bukit dan gunung, menikmati kehijauan hutan dan deru air sungai yang mengalir, memerhati keunikan biodiversiti flora dan fauna, atau dengan hanya menghabiskan masa berkhemah di dalam hutan.

Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan berkaitan kebaikan ekoterapi ini, terutamanya dari bidang kesihatan mental, ekologi dan psikologi. Antara sumber rujukan terawal ialah buku ‘Ecotherapy: The green agenda for mental health’ karangan Mind Health Association (MIND) yang diterbitkan pada tahun 2007.

Pendekatan ekoterapi ini kini semakin mendapat perhatian para penyelidik di serata dunia bagi menangani masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan belia, terutamanya mahasiswa universiti.

Menurut kajian, mahasiswa yang sering merasa tertekan akibat tuntutan tugasan akademik boleh merasa lebih tenang setelah menghabiskan masa ditemani kehijauan hutan. Aktiviti berasaskan interaksi dengan alam sebegini juga boleh membantu memperbaiki keupayaan seseorang untuk fokus seterusnya meningkatkan emosi diri yang positif.

Selain manfaat dari aspek mental, aktiviti ekoterapi seperti mendaki dan berjalan di dalam hutan juga memberi manfaat fizikal seperti meningkatkan kecergasan dan kesihatan jantung. Seperti diketahui, keadaan fizikal yang baik juga sebenarnya boleh menyokong kesihatan mental individu secara keseluruhan.

Kajian juga mendapati seseorang yang meluangkan masa di dalam hutan turut merangsang daya kreativiti masing-masing, dan membina perasaan saling terhubung dengan alam sekitar dan individu lain.

Menyedari kepelbagaian manfaat yang boleh didapati menerusi aktiviti menyantuni alam, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) dari Kolej Kediaman Pertama menubuhkan sebuah kelab berasaskan ekoterapi yang dinamai ‘ASTAR Recreational and Educational Club’ (ASTREC).

Penubuhan kelab bersifat serampang dua mata itu sekali gus mencipta platform untuk mahasiswa melakukan rekreasi sambil belajar; diperkukuhkan dengan elemen ekoterapi. ASTREC juga secara tidak langsung bakal melahirkan pemimpin yang mencintai alam sekitar.

Selain itu dengan menghubungkaitkan aktiviti gaya hidup sihat dengan usaha kelestarian alam dan komuniti setempat, bakal melahirkan mahasiswa holistik yang bakal menjuarai isu ‘planetary health’ (kesihatan bumi) pada masa hadapan.

Muhammad Sauqi Hassan
Univerisiti Malaya

MAT YUNUS BIN SABRI