(Pembaca berita sebuah stesen televisyen (kiri) dan Hattan)
SAUDARA PENGARANG
Pemergian vokalis XPDC, Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael ke rahmatullah pada 27 April lalu akibat sesak nafas telah mencetuskan polemik terbaharu dalam industri hiburan tanah air.
Isu ini semakin lama dibiarkan menjadi semakin parah apabila ia terus menjadi buah mulut dalam kalangan netizen dan pengamal media tempatan.
Insiden itu bermula apabila salah sebuah saluran berita 24 jam menemu bual Datuk Hattan atau nama sebenar beliau Mohd. Shukri Shahabudin secara langsung bagi berkongsi pandangan tentang berita kematian vokalis XPDC.
Soalan diajukan berkenaan lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan 'makan dalam' mengundang suasana tegang apabila Hattan bertanyakan semula penyampai berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan itu.
Hattan mengulangi semula soalan dan menegur penyampai berita yang didakwanya tidak membuat persediaan rapi sebelum bertanyakan soalan.
Lebih memburukkan keadaan apabila penyampai berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.
Hattan kemudian bertindak mematikan talian selepas menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap penyampai berita berkenaan yang didakwanya tidak membuat pengumpulan maklumat sewajarnya sebelum memulakan wawancara.
Kesan buruk
Nama Hattan terus hangat diperkatakan dan menjadi bahan kecaman netizen serta beberapa persatuan pengamal media khususnya kumpulan wartawan dan pembaca berita yang mendesak agar beliau meminta maaf secara terbuka akibat perbuatannya menempelak pembaca berita dalam program yang disiarkan secara langsung.
Susulan daripada insiden itu, isteri kepada Hattan iaitu Datin Arianie Abidin mendedahkan menerima ugutan bunuh dan santau di Instastory miliknya.
Menurutnya, dia dan suami menjadi mangsa kecaman netizen selain dihina, diugut dan dilemparkan dengan kata-kata kesat sehingga memaksa Datin Arianie menetapkan Instagram milik suaminya dalam mod privasi agar netizen tidak boleh lagi memberikan sebarang komen.
Isu Hattan menempelak pembaca berita itu turut mendapat perhatian beberapa badan pejuang kewartawanan, termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang melahirkan ketidakpuasan hati serta kecewa dengan sikap ditunjukkan Hattan.
Menurut NUJ, sikap ditunjukkan penghibur itu sangat tidak wajar kerana petugas media bukanlah peserta pertandingan realiti yang boleh dimalukan atau ‘disekolahkan’ di khalayak ramai.
GERAMM menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan Hattan memutuskan talian telefon sebelum selesai sesi wawancara jelas mencerminkan sikap tidak profesionalnya sebagai artis senior.
GKMM pula menggesa Hattan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap sikap tidak profesional dan respon balas berbaur hinaan beliau ketika ditemu bual itu.
Pendirian masing-masing
Sehingga rencana ini ditulis, baik Hattan mahupun pembaca berita itu enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.
Pada pandangan mereka, mungkin mereka tidak mahu insiden ketegangan itu diungkit kembali. Hanya masa dan waktu yang mampu mengubati mereka.
Hattan mendakwa beliau tidak dimaklumkan awal oleh stesen berkenaan untuk menemu bual beliau mengenai pemergian Allahyarham Mael. Malah, beliau juga tidak tahu- menahu beliau ditemu bual dalam program berita yang disiarkan secara langsung.
Pembaca berita itu pula terus mengunci mulut dan ini memberikan tempias terhadap tempat kerjanya. Apatah lagi, kerjayanya sebagai pembaca berita mencerminkan imej stesen berkenaan.
Tidak mahu membiarkan isu ini terus menjadi bahan perdebatan netizen, penerbit eksekutif saluran berita itu tampil menjelaskan menerusi ciapan Twitter menyangkal dakwaan kononnya Hattan tidak mengetahui temu bual yang dilakukan secara langsung.
Malah, beliau juga menegaskan bahawa pihaknya mempunyai bukti sudah memberikan taklimat kepada penyanyi itu sebelum sesi temu bual dijalankan secara langsung.
Tugas pembaca berita
Tidak ramai yang tahu dan menyedari perbezaan tugas antara seorang pembaca berita dan wartawan.
Dua profesion ini sebenarnya mempunyai tanggungjawab dan tugasan agak berbeza dalam Bilik Berita meskipun kedua-duanya perlu tampil dan dilihat bijak.
Kebiasaannya, pembaca berita tidak wajib membuat kajian mendalam untuk semua berita yang akan disampaikan kerana mereka mempunyai belasan hingga puluhan berita untuk disampaikan dalam jangka masa singkat.
Justeru, ada kemungkinan tidak semua berita perlu diketahui secara mendalam selaras tugas pembaca berita iaitu menyampaikan berita kepada khalayak umum.
(Foto hiasan)
Buang yang keruh, ambil yang jernih
Secara lumrahnya, tiada satu pun manusia yang terlepas daripada membuat kesilapan. Tiada sesiapa pun yang terlepas daripada terjebak dalam kegagalan.
Persoalannya, apakah yang akan kita lakukan setelah membuat kesilapan? Tidak salah yang tua meminta maaf daripada yang lebih muda. Tidak pula sesuatu yang janggal apabila yang muda memohon kemaafan daripada mereka yang lebih berusia.
Pada Syawal yang mulia ini, buang yang keruh, ambillah yang jernih. Hattan sebenarnya terkenal dengan sikap mesra dengan orang media terutama wartawan hiburan walaupun gurauannya kedengaran kasar.
Apabila membabitkan bab kerja pula, memang dia seorang yang cukup serius dan bersungguh-sungguh. Jadi mungkin pada hari berkenaan Hattan terlepas pandang.
Pembaca berita itu pula, tidak semua benda yang diketahuinya. Pastinya beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu namun genre muzik rock mungkin bukan salah satu forte beliau.
Netizen pula tidak perlulah sampai mengugut, menghina dan terus menghukum. Siapa kita untuk menghukumnya seisi keluarga? Tiada sesiapa pun yang sempurna.
Baik penggiat industri hiburan, wartawan dan pemberita serta netizen, masing- masing memerlukan antara satu sama lain bagi memperkukuhkan lagi industri hiburan Malaysia.
Tidak perlulah kita begitu angkuh dengan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang kita miliki sehingga kita menghentam orang lain sehingga menjatuhkan air muka mereka.
Hakikatnya semua nikmat yang kita miliki hari ini hanyalah ‘pinjaman sementara’ daripada Yang Maha Esa.
PENULIS MOHD ALIFF MOHD NOR, pensyarah sambilan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Kuala Lumpur.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.