fb fb fb fb fb

Cabaran pengurusan sumber manusia urus pekerja generasi Z

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Generasi Z, yang lahir antara tahun 1997 dan awal 2010-an, kini mulai memasuki pasaran tenaga kerja secara signifikan. Generasi ini, yang lebih dikenali sebagai generasi digital asli sangat berbeza daripada generasi sebelumnya seperti milenial, Gen X dan baby boomers.

Kehadiran mereka bukan sekadar golongan muda yang baru memulakan kerjaya, tetapi mereka juga memberikan peluang untuk memperkaya organisasi. Namun begitu, timbul juga cabaran baharu bagi organisasi dan Pengurusan Sumber Manusia (HRM) dalam menguruskan perbezaan nilai dan gaya kerja sedia ada.

Generasi Z, yang membesar dalam dunia digital, dimana teknologi adalah sebahagian daripada rutin harian. Oleh itu, harapan mereka terhadap tempat kerja adalah jelas. Persekitaran kerja mesti dilengkapi dengan teknologi terkini yang dapat memudahkan kerja mereka, meningkatkan produktiviti, dan memberikan kemudahan untuk berhubung dengan dunia luar.

Namun, hanya menyediakan teknologi canggih tidak cukup. Organisasi perlu melangkah lebih jauh dengan memastikan bahawa pekerja Gen Z dibimbing untuk memanfaatkan teknologi tersebut secara efektif, sambil mengekalkan nilai-nilai tradisional yang mendasari budaya kerja mampan.

Keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerja adalah salah satu perkara yang sangat ditekankan oleh generasi ini. Mereka bukan hanya mahu bekerja, tetapi mereka juga mahukan masa untuk diri sendiri, keluarga, dan menikmati kehidupan.

Jadual kerja fleksibel, peluang untuk bekerja dari mana sahaja, dan kebebasan untuk bekerja cara mereka sendiri menjadi keutamaan bagi pekerja generasi ini. Oleh itu, Pengurus Sumber Manusia perlu merangka dasar yang menyokong fleksibiliti ini tanpa mengorbankan produktiviti dan kerjasama dalam organisasi.

Selain daripada keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi, pekerja Gen Z juga sangat mengutamakan maklum balas segera. Mereka menghargai pengiktirafan jelas dan peluang untuk berkembang secara profesional melalui latihan, mentor, dan program peningkatan kemahiran.

Dalam hal ini, peranan Pengurusan Sumber Manusia menjadi amat kritikal iaitu membina platform komunikasi dua hala, peluang pertumbuhan dan laluan kerjaya yang jelas. Hal ini sangat penting bagi memastikan mereka bukan hanya bekerja dengan tekun, tetapi terus bermotivasi dan merasa dihargai sepanjang perjalanan profesional mereka.

Berlainan dengan generasi sebelumnya yang lebih menekankan pendapatan sebagai faktor utama dalam pekerjaan, Gen Z lebih tertarik untuk bekerja di organisasi yang mempunyai tujuan sosial yang selari dengan nilai peribadi mereka. Mereka ingin terlibat dalam pekerjaan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

Pengurus Sumber Manusia perlu memastikan bahawa visi organisasi dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) jelas, serta melibatkan pekerja dalam usaha-usaha tersebut. Ini membolehkan pekerja merasa lebih bermakna dalam pekerjaan mereka, dengan memberi mereka rasa bahawa mereka menyumbang kepada misi yang lebih besar daripada sekadar memenuhi tanggungjawab harian.

Satu lagi ciri penting, membezakan generasi ini adalah keterbukaan mereka terhadap kepelbagaian, kesaksamaan dan keadilan. Mereka menginginkan sebuah tempat kerja yang bebas daripada diskriminasi dan bersifat inklusif. Mereka juga berharap agar dasar pemilihan pekerja, promosi, dan gaji dilaksanakan secara adil dan saksama.

Tetapi lebih daripada itu, mereka juga menginginkan tempat yang dapat menyediakan sokongan mental yang kuat. Mereka lebih terbuka tentang isu kesihatan mental dan bagaimana ia boleh mempengaruhi kesejahteraan mereka di tempat kerja.

Organisasi perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja perlu menyediakan sokongan dalam bentuk kaunseling atau cuti khas, tetapi juga dalam budaya kesejahteraan yang memberi perhatian kepada aspek psikologi pekerja.

Dalam konteks ini, pengurusan sumber manusia perlu menjadi lebih sensitif dan responsif kepada keperluan pekerja, menyediakan persekitaran yang bukan sahaja mendukung, tetapi juga memahami cabaran mental yang mungkin dihadapi oleh pekerja.

Kehadiran pekerja Gen Z membawa perubahan besar dalam dunia pekerjaan, menjadikan pengurusan sumber manusia lebih dinamik dan penuh cabaran. Dengan memahami keperluan, aspirasi, dan nilai-nilai mereka, organisasi dapat merangka pendekatan dengan membina budaya kerja yang lebih releven, inklusif, fleksibel, dan menyokong.

Langkah-langkah ini penting bukan sahaja untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, tetapi juga untuk memastikan kelangsungan dan daya saing organisasi dalam menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompetitif.

PENULIS NURLIYANA AB RAHIM, Pensyarah Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai dan TS DR SHUHAIDA ISMAIL, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI