fb fb fb fb fb

Subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif perlu keprihatinan menteri

Foto hiasan

SURAT PEMBACA

Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian serius terhadap fenomena penutupan kelas-kelas Kesusasteraan Melayu (Kini Kesusasteraan Melayu Komunikatif - KMK) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

BUDIMAN Malaysia amat terkilan terhadap fenomena penutupan penawaran mata pelajaran KMK di sekolah-sekolah menengah di Malaysia pada masa kini. Fenomena itu sudah berlaku sekian lama, malah ia terus berlaku hingga ke hari ini.

Hal ini tidak sepatutnnya berlaku kerana, nilai-nilai kemanusiaan dan kehalusan budi yang kaya dalam kesusasteraan, seni dan budaya Melayu tidak harus dipandang remeh, tidak bernilai komersial serta tidak boleh diketepikan walaupun ingin mementingkan Sains, Teknologi, Engineering Dan Matematik (STEM) di sekolah-sekolah.

Menerusi subjek Sains Sosial seperti KMK, ia juga merupakan wadah pemupukan nilai kreatif dan kritis serta sikap suka membaca murid bagi menjana kepandaian masa hadapan mereka secara berperadaban di samping memperkasakan jati diri.

Bagaimanapun, aspirasi murid yang dihasratkan dalam Pelan Pendidikan Nasional 2013-2025 dan asas pembentukan insan seimbang mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mudah sampai kepada matlamatnya akibat daripada penutupan kelas-kelas mata pelajaran KMK  di sekolah-sekolah arus perdana.

Isu ini bukanlah isu baharu, malahan menimbulkan rasa kecewa guru-guru KMK di sekolah berikutan pihak pentadbiran sekolah menutup kelas KMK. Perkara ini bukan sahaja merugikan murid-murid, malah boleh menggagalkan kerajaan Malaysia Madani dan gagasan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin melihat program bersifat seni dan budaya berkembang dalam kalangan generasi hari ini.

Malah Perdana Menteri juga meminta syarikat konglomerat menyokong industri seni dan sastera dalam negara seperti bidang-bidang lain.

Fenomena ini memberi suatu gambaran yang tidak sihat terhadap perkembangan peradaban bangsa yang sepatutnya tidak hanya bergerak seiring dengan pertumbuhan nilai-nilai material sains, teknologi dan kejuruteraan sahaja, tetapi harus digandingkan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan kehalusan budi murid-murid.

Sehubungan itu, BUDIMAN Malaysia berpendapat mata pelajaran yang mengangkat warisan pusaka bangsa kepada generasi akan datang ini perlu dipertahankan, terus dimajukan dan diperluaskan. Dengan ini BUDIMAN Malaysia mengusulkan harapan agar:

  • Keprihatinan dan kecaknaan yang tinggi oleh Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia serta KPM perlu dalam memperhalusi perkara ini supaya sistem pendidikan negara tidak menghasilkan generasi masa hadapan yang buta kehalusan budi, kehilangan manis berbahasa dan lunturnya keindahan dalam berbudaya.
  • Tindakan konstruktif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberi perhatian serius terhadap fenomena amalan tidak sihat pihak sekolah menengah yang menutup kelas-kelas mata pelajaran KMK.
  • Tindakan konstruktif pihak KPM untuk berbincang bersama Bahagian Sumber Manusia KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk menyemak sistem MySPP yang tidak menyediakan subjek KMK sebagai pilihan bagi calon-calon bakal guru yang ingin membuat pilihan kerjaya guru bagi mengajar mata pelajaran KMK di sekolah menengah. Akibat ketiadaan pilihan untuk mengajar KMK, calon-calon bakal guru yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda  Pendidikan Kesusasteraan Melayu terpaksa memilih Bahasa Melayu atau mata pelajaran lain sebagai pilihan mata pelajaran untuk diajar.
  • Memohon keprihatinan YB Menteri agar konsep STEM diberi tambah nilai dengan elemen kemanusiaan dan adab sebagai pelengkap konsep STEM sedia ada yang jelas bersifat material dan eksternal eksistensi. Elemen kemanusiaan dan adab ini banyak bersumberkan kesusasteraan Melayu yang telah memperkayakan kemajuan peradaban manusia sekian lama di tanah air ini.
  • Memohon keprihatinan YB Menteri agar menggesa pihak Bahagian Pembangunan Kurikulum melaksana dan menyegerakan semakan kurikulum mata pelajaran KMK sekolah menengah dengan tujuan memantapkan kandungan dan reflektif selaras dengan perubahan semasa.
  • Kami juga berpendapat KPM boleh melaksanakan projek rintis penawaran mata pelajaran KMK di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) terpilih kerana sesuai dengan tahap murid di SBP yang cerdik dan tinggi minat membaca. Maka keberadaan mata pelajaran KMK di SBP diyakini dapat mempercepatkan pertumbuhan sikap proaktif dan pemumpukan nilai kreatif serta kemahiran berfikir aras tinggi murid.
  • Kami berharap pelajar yang mengikuti KMK yang bersifat kognitif ini tidak diletakkan pada kedudukan kelas belakang sebaliknya kelas pertengahan supaya pelajar dapat menguasai KMK dengan baik dan pantas.

Demikian saya bagi pihak BUDIMAN menyatakan kegusaran dan dukacita kami terhadap fenomena yang berlaku ini kerana ia akan merugikan negara dalam melahirkan modal insan yang berfikiran kreatif, kritis, berpekerti dan dibekalkan ilmu pada peringkat persekolah yang bermanfaat memasuki kerjaya industri kreatif.

Oleh
Prof. Dr. Abdul Halim Ali
Presiden, Persatuan Penulis Budiman Malaysia

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM

MAT YUNUS BIN SABRI