SAUDARA PENGARANG
Hanya berbekalkan kurang seminggu, umat Islam bakal menyambut satu bulan yang amat mulia iaitu Ramadan bagi tahun 1446H. Ramadan telah digambarkan dengan pelbagai perumpamaan seperti bulan penuh dengan keberkatan, bulan latihan kepada umat Islam (madrasah), bulan umat Islam beribadah dan sebagainya.
Malah, bulan ini juga telah dijamin dengan pelbagai bentuk kelebihan oleh Allah SWT seperti digandakan pahala bagi amalan soleh padaNYA, dibukakan pintu rahmat, ditutup pintu neraka, doa padanya dimakbulkan khususnya pada waktu sahur dan berbuka dan sebagainya. Ringkasnya, Ramadan yang bakal menjelma membawa seribu satu kebaikan.
Namun, persoalan yang patut berlegar di minda kita adalah bagaimana persediaan menghadapinya?
Indahnya susunan Allah SWT dalam mengatur perjalanan alam ini dapat dilihat dari segi susunan dan tertibnya. Jika diperhatikan perjalanan hidup kita, keadaannya bermula daripada lemah ketika keluar dari rahim ibu, membesar menjadi gagah dan kemudian melemah kembali pada usia tua.
"Allah yang menciptakan kamu dalam keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah kembali dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa." (Surah Ar-Rum, 30:54)
Susunan alami itu juga dapat diperhatikan dalam aturan Allah SWT yang lain. Secara fokus kepada susunan bulan, sebelum kehadiran Ramadan, terdapat dua bulan lebih awal dinamakan sebagai bulan Rejab dan Syaaban. Jika dapat disorot secara ringkas setiap bulan tersebut, maka kita akan dapat simpulkan bahawa kedua-dua bulan tersebut adalah sebagai permulaan kepada bulan Ramadan yang digandakan padanya lebih banyak kebaikan.
Mana tidaknya, antara kelebihan bulan Rejab adalah ia merupakan salah satu bulan haram, bulan yang dimuliakan Allah dikenali sebagai bulan permulaan ibadah, bulan di mana berlakunya peristiwa yang mulia, yakni Israk dan Mikraj, bulan yang digalakkan berpuasa pada hari-hari tertentu, dan beberapa kelebihan lain.
Begitu juga, jika disorot kelebihan dalam bulan Syaaban, antaranya ialah bulan yang dicintai Rasulullah SAW, bulan diangkatnya amalan kepada Allah SWT, terdapat malam yang penuh keberkatan dinamakan sebagai Nisfu Syaaban, pintu keampunan dan rahmat dibuka luas, digalakkan berpuasa pada hari-hari tertentu dan sebagainya.
Daripada perbincangan tentang keistimewaan bulan Rejab dan Syaaban tersebut, ia menjelaskan satu keterkaitan langsung dengan bulan selepasnya, iaitu bulan Ramadan. Dalam erti kata lain, tidak dapat dinafikan bahawa dua bulan sebelum Ramadan merupakan medan latihan sebelum bertempur dalam satu bulan yang lebih getir. Mengapa saya sifatkan begitu? Latihan pada bulan sebelumnya itu bermaksud membiasakan diri dengan ibadah mahdah dalam beberapa bentuk seperti puasa sunat, memperbanyakkan zikir dan istighfar serta amalan-amalan taat yang lain.
Dengan kehadiran Ramadan setelah itu, puasa yang sebelum ini adalah sunat kini menjadi wajib selama 29 atau 30 hari. Hal ini bermaksud, pentaklifan pada bulan Ramadan lebih berat berbanding bulan-bulan lain. Oleh kerana itu, penantian Ramadan mestilah diiringi dengan latihan dan bekalan.
Saya katakan kita berada dalam kerugian sekiranya Ramadan tahun ini tidak dilaksanakan dengan lebih baik berbanding tahun lalu. Sering kali kita inginkan peningkatan dan kemajuan dalam kehidupan, namun dalam kebanyakan keadaan, ukuran kemajuan tersebut hanya dibataskan terhadap kebendaan dan material dalam bentuk wang ringgit, harta benda, pangkat, pencapaian dan seumpamanya.
Mungkin amat jarang kemajuan tersebut dinilai dari segi peningkatan kualiti ibadah, kualiti pengabdian di sisi Rabbul Alamin, hubungan sesama ahli keluarga, hubungan antara masyarakat dan sebagainya. Sedangkan bulan Ramadan membawa seribu satu rahmat kepada mereka yang benar-benar mendambakannya.
Dari satu sudut yang lebih mendalam, Ramadan memastikan seluruh masa bagi orang-orang beriman beroleh rahmat dan keampunan Allah SWT. Namun begitu, ramai juga yang dikatakan tidak memperoleh apa-apa melainkan lapar dan dahaga, sebagaimana hadis Baginda Rasulullah SAW:
"Banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya kecuali rasa lapar, dan banyak orang yang bangun malam (beribadah) tetapi tidak mendapatkan apa-apa dari qiyamnya kecuali rasa letih." (Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad, dan al-Hakim)
Lebih malang daripada itu, kehadiran Ramadan memberikan status “celaka” kepadanya akibat tidak beroleh keampunan, sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis lain. Rasulullah SAW bersabda:
"Jibril datang kepadaku dan berkata: ‘Wahai Muhammad, celakalah seseorang yang apabila disebut namamu, dia tidak berselawat kepadamu.’ Maka aku berkata: ‘Amin.’ Kemudian Jibril berkata: ‘Celakalah seseorang yang mendapati bulan Ramadan, namun dosanya tidak diampuni.’ Maka aku berkata: ‘Amin.’ Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celakalah seseorang yang mendapati kedua orang tuanya atau salah seorang daripada mereka dalam keadaan tua, tetapi (kerana tidak berbakti kepada mereka) dia tidak memasuki syurga.’ Maka aku berkata: ‘Amin.’” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, dan al-Hakim)
Perlu ditegaskan, hal ini bukanlah satu bentuk hinaan kepada sesiapa, namun ia adalah satu bentuk peringatan agar umat Islam benar-benar berusaha melakukan ibadah dalam bulan ini. Malah, bukanlah suatu yang pelik bilamana agama mendatangkan peringatan pada keadaan tertentu kerana Baginda Rasulullah SAW sememangnya diutuskan sebagai mubashirin (pembawa berita gembira) dan munzirin (pemberi ingatan).
Sebagai rumusan, kita sering mendengar tentang keberkatan yang ada pada bulan Ramadan. Keberkatan ini ialah keberkatan yang terkait dengan ruang lingkup masa. Untuk lebih mudah faham, terdapat dua bentuk lagi keberkatan yang terdiri daripada keberkatan pada orang dan tempat. Misalnya, ibu bapa, orang soleh, para alim, wali-wali Allah SWT adalah antara golongan yang mempunyai kelebihan dan keberkatan pada mereka.
Keberkatan tempat pula antaranya ialah bumi Haramain, Raudhah di Masjid Nabawi, kawasan sekitar Kaabah dan seumpamanya.
Dua bentuk keberkatan yang dinyatakan tersebut mungkin jarang-jarang dimiliki oleh semua orang kerana keterbatasan tertentu seperti lingkungan masyarakatnya atau halangan kewangan. Dalam erti kata lain, tidak semua daripada kita berpeluang bersua dengan orang soleh, begitu juga tidak semua orang berpeluang musafir ke Tanah Haramain.
Justeru, yang berbaki adalah keberkatan pada masa. Ia umpama anugerah yang tidak perlu dipinta kerana masa tidak akan terhenti. Dalam erti mudahnya, terdapat waktu tertentu yang mempunyai keberkatan luar biasa padanya, khususnya pada bulan Ramadan. Namun begitu, tidak kurang juga yang mengambil lewa tentang masa, sebagaimana digambarkan oleh Allah SWT dalam surah al-‘Asr.
Barangkali ia tidak dirasakan sebagai nikmat yang berharga. Namun begitu, hal tersebut sudah tentu mendatangkan lebih banyak kerugian jika berlaku pengabaian terhadap Ramadan tanpa penghayatan dan pengisian seperti yang disarankan agama.
Oleh kerana itu, kita perlu bersedia dari segi jasmani, rohani dan intelek bagi menyambut kehadiran Ramadan 1446H serta mengatur amal soleh yang berkualiti sepanjang bulan ini. Awasi diri daripada sebarang bentuk kerugian dalam keadaan lambakan rahmat dan kebaikan Allah SWT pada bulan yang mulia ini.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Emel: