fb fb fb fb fb

STRIDE perlu strategik, agresif pacu inovasi pertahanan tempatan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Perkembangan teknologi yang pesat hari ini menuntut institusi penyelidikan untuk memainkan peranan penting dalam meneroka dan mencipta inovasi baharu, terutamanya dalam sektor pertahanan. Dalam konteks pertahanan, penguasaan teknologi sangat kritikal kerana ia memberi impak besar terhadap keupayaan sesebuah negara untuk mempertahankan kedaulatannya.

Negara yang ketinggalan dari segi teknologi bukan sahaja akan dilihat lemah oleh musuh, tetapi juga berisiko menjatuhkan moral dan motivasi anggota pasukan pertahanannya sendiri. Di Malaysia, Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) telah diberi mandat untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan inovasi pertahanan sejak tahun 2002. Setelah 23 tahun beroperasi, STRIDE diharapkan menjadi peneraju utama dalam penyelidikan dan inovasi pertahanan negara.

Jika dilihat di rantau Asia Tenggara, institusi penyelidikan pertahanan sering kali menjadi tulang belakang kepada kejayaan teknologi ketenteraan. Sebagai contoh, di Singapura, Defence Science Organisation (DSO) telah berjaya menghasilkan teknologi komunikasi sulit, dron taktikal, dan sistem pertahanan siber. Sementara itu, di Indonesia, Badan Penelitian dan Pengembangan Pertahanan (Balitbang Kemhan) telah membangunkan sistem peluru berpandu jarak dekat, radar medan perang, dan teknologi pengawasan sempadan.

Kedua-dua contoh ini menunjukkan bagaimana negara-negara tersebut memanfaatkan institusi penyelidikan pertahanan mereka sebagai tunjang utama strategi kemandirian industri pertahanan.

Meneroka Idea Besar dan Strategik

STRIDE bukanlah sebuah agensi kecil dan tidak berkeupayaan. Ia mempunyai pengalaman, pendedahan, serta sokongan berterusan daripada Kerajaan. Sebenarnya, STRIDE mempunyai potensi strategik yang besar sebagai pemacu utama inovasi dalam sektor pertahanan Malaysia, namun peranannya perlu diperluas. Antara langkah drastik yang boleh diambil termasuklah:

1. Beralih dari Penyokong kepada Peneraju Teknologi Sebenar

STRIDE perlu beralih dari sekadar menjadi penyokong teknikal kepada peneraju pembangunan teknologi yang boleh diadaptasi secara langsung oleh sistem pertahanan negara. Untuk mencapai tahap ini, STRIDE perlu digerakkan secara lebih agresif dan proaktif. Penyelidikan dan inovasinya mesti berfokus kepada hasil yang boleh diguna pakai, relevan dengan medan operasi sebenar, dan bukannya sekadar bersifat akademik.

Perhatian utama harus diberikan kepada aspek-aspek kritikal seperti komunikasi taktikal, sistem pemantauan pintar, integrasi kecerdasan buatan, teknologi medan digital, dan sistem tanpa pemandu seperti dron dan robotik.

2. Memantau dan Meramal Teknologi Masa Depan

Dalam menghadapi ancaman moden yang semakin bergantung kepada teknologi tinggi, STRIDE perlu berfungsi sebagai pusat yang memantau dan meramal teknologi baharu yang akan mencorak masa depan pertahanan. Institusi ini tidak boleh pasif atau reaktif. Dengan menggunakan metodologi seperti horizon scanning dan technology foresight, STRIDE harus mampu mengenal pasti trend dan teknologi disruptif yang berpotensi menjadi pemangkin inovasi atau ancaman kepada keselamatan negara.

STRIDE mesti menjadi pihak yang paling terkehadapan, mendahului keperluan dengan membangunkan teknologi melalui visi strategik dan ujian lapangan yang berterusan.

Membina Jalinan Kerjasama yang Mapan

Selain meneroka inovasi, STRIDE juga harus menjadi peneraju dalam membina ekosistem penyelidikan yang berkesan. Hubungan strategik yang kukuh dengan universiti tempatan, syarikat teknologi pemula, syarikat berkaitan kerajaan, dan firma swasta dalam bidang kejuruteraan, data, dan keselamatan mesti menjadi keutamaan.

Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, seperti model Temasek Laboratories di Singapura, dapat memanfaatkan bakat domestik untuk memperkukuh sektor pertahanan. Pengalaman Singapura menunjukkan bahawa amat merugikan jika bakat di universiti tidak dioptimumkan.

STRIDE seharusnya menjadi pemegang taruh utama yang menghubungkan idea, bakat, dan keperluan pertahanan dalam satu rantaian nilai yang bersepadu, daripada penciptaan paten, pembangunan prototaip, hingga penghasilan produk akhir. Semua proses ini perlu digerakkan dalam kerangka yang berani, terbuka, dan berpandangan jauh.

Sokongan Berterusan daripada Kerajaan

Jangkaan tinggi terhadap STRIDE harus disertakan dengan sokongan Kerajaan yang sewajarnya. STRIDE perlu diberikan ruang dasar yang lebih jelas dan mantap untuk mempercepatkan pembangunan, pembiayaan, serta pemeliharaan hasil penyelidikan strategik. Pendekatan ini akan menjamin kesinambungan inovasi dan menggalakkan lebih banyak ciptaan yang sedia diguna pakai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di banyak negara, institusi penyelidikan pertahanan diberikan autonomi yang cukup untuk mencuba, gagal, dan mencipta semula. Tanpa reformasi struktur dan dasar yang menyokong, STRIDE dikhuatiri akan kekal sebagai fasiliti teknikal tanpa kekuatan strategik sebenar. Dalam persekitaran geopolitik dan cabaran pertahanan yang semakin dipacu oleh teknologi, STRIDE perlu mengambil peranan yang lebih agresif sebagai enjin penggerak inovasi pertahanan negara.

Kedudukan STRIDE dalam ekosistem Kementerian Pertahanan (MINDEF) memungkinkannya untuk menggabungkan kepakaran akademik dan industri demi pembangunan inovasi yang diperlukan oleh pasukan pertahanan negara. Jika STRIDE melaksanakan peranan ini secara menyeluruh dan proaktif, Malaysia pasti berupaya membina kapasiti pertahanan yang berdikari berasaskan teknologi tempatan.

Kelompongan teknologi tempatan telah lama menjadi kelemahan ATM dalam membina kekuatan kendiri yang mampan dan tidak bergantung kepada negara luar. Jangkaan serta harapan kepada STRIDE ini sangat relevan jika kita melihat aspirasi ATM di bawah teraju Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar dan aspirasi MINDEF di bawah kepimpinan Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, yang giat memperkukuh industri pertahanan tempatan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MEJAR WAN NURHIDAYAT WAN MUHAMAD
Mejar Wan Nurhidayat Wan Muhamad
Pemerhati teknologi pertahanan/penerima biasiswa Chevening
Sedang mengikuti pengajian Sarjana di Centre for Electronic Warfare, Information and Cyber,
Cranfield University, United Kingdom

MAT YUNUS BIN SABRI