fb fb fb fb fb

Serumpun dan suara inklusif: Antara apresiasi budaya dan eksploitasi digital

Penyanyi lagu Serumpun, Mimi Fly

SAUDARA PENGARANG

Perkembangan media sosial hari ini wajar dilihat sebagai satu platform yang berpotensi besar dalam mempromosikan nilai-nilai positif dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Antara aspek yang menyerlah ialah bagaimana budaya popular direpresentasikan melalui pelbagai medium seperti lagu, lirik, video muzik, fesyen, filem dan kandungan digital yang lainnya.

Pada musim perayaan seperti sambutan Aidilfitri kini, budaya popular digital sering dimanfaatkan warga net untuk menyemai semangat kekitaan, kemesraan dan kepelbagaian budaya.

Apa yang lebih menggembirakan, pendekatan ini turut merangkumi golongan yang sebelum ini kurang diberi perhatian termasuklah individu kurang upaya (OKU), wanita dan komuniti minoriti.

Dalam konteks ini, media sosial bukan sekadar sebagai ruang hiburan, tetapi juga medan perjuangan untuk inklusiviti, keadilan budaya dan pengiktirafan identiti yang pelbagai.

Mesej yang disampaikan dalam lagu dan video muzik Serumpun oleh Mimifly boleh dianggap sebagai antara contoh terbaik dalam mempromosikan nilai inklusiviti melalui budaya popular digital. Antara elemen paling menonjol ialah penyisipan bahasa isyarat dalam koreografi video muzik tersebut.

Hal ini dilihat sebagai satu langkah kreatif yang secara tidak langsung meningkatkan kesedaran terhadap komuniti OKU pendengaran. Keunikan pendekatan ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian generasi Z yang cenderung mengikuti trend terkini di media sosial, malah turut merentas pelbagai lapisan umur dan latar masyarakat.

Sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini, trend Serumpun mendapat sambutan hangat apabila ramai pengguna media sosial meniru gerakan bahasa isyarat yang dikoreografikan sebagai tanda sokongan dan keterlibatan.

Lebih membanggakan, fenomena budaya popular ini tidak terhenti dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja. Sambutan hangat turut diterima daripada pelbagai kaum dan melangkaui sempadan Malaysia hingga ke negara tetangga kesan perkembangan media sosial.

Perkara ini secara tidak langsung menyebarkan lagi mesej perpaduan, kesatuan dan inklusiviti yang menjadi inti utama menerusi karya tersebut.

Namun begitu, niat baik semata-mata tidak mencukupi tanpa kefahaman yang mendalam. Reaksi bercampur terhadap kandungan budaya popular digital seperti Serumpun menunjukkan wujudnya jurang antara maksud asal dan penerimaan khalayak.

Misalnya, penggunaan bahasa isyarat dalam koreografi lagu tersebut telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan komuniti tuna pendengaran.

Ada pihak menyatakan bahawa gerakan yang digunakan tidak menepati sistem bahasa isyarat sebenar dan ada pula yang menganggapnya mengelirukan dengan pencampuran koreografi tarian.

Lebih membimbangkan, terdapat pengguna TikTok yang meniru gerakan koreografi secara sembarangan tanpa memahami konteks asalnya, lalu menyalahertikan trend tersebut sebagai sekadar gaya tarian viral.

Terdapat pengguna media sosial dikritik kerana dilihat tidak sensitif terhadap matlamat asal penggunaan bahasa isyarat dalam video muzik berkenaan iaitu untuk menyebarkan kesedaran serta memperkenalkan elemen inklusif dengan penuh rasa hormat.

Pada tahap ini, kefahaman yang jelas dalam penggunaan bahasa isyarat dan penyelitan dalam budaya popular perlulah seimbang. Di mana ilmu dan kepopularan berjalan seiring dan tidak melampaui batas. Cuma, dalam video muzik Serumpun, pembuatnya sudah menjelaskan penyisipan bahasa isyarat turut dicampur dengan koreografi. Oleh itu, pergerakannya pantas dan tangkas.

Walaupun tidak begitu mudah ditangkap, namun setidak-tidaknya, usaha ini baik sekali untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa isyarat dalam kalangan masyarakat secara umum. Begitu juga dalam sebuah lagi lagu daripada penyanyi yang sama berjudul “Angkat”.

Malah, kesedaran akan kesilapan turut “ditegur” dan diperbetulkan oleh golongan yang mahir di media sosial. Reaksi warga net yang sensitif inilah penting dalam “membiasakan yang betul” dan seharusnya dipuji untuk menghasilkan hubungan dua hala yang baik.

Keikhlasan para pembuat kandungan (content creators) turut menjadi bahan kritikan apabila elemen budaya popular digunakan semata-mata untuk mengejar “like”, “share” dan perhatian di media sosial.

Dalam banyak kes, budaya popular digital dipergunakan sebagai alat meraih tontonan, tanpa memahami nilai, sejarah atau sensitiviti yang melatari budaya tersebut.

Kandungan seperti tarian tradisional dalam video TikTok, pemakaian baju kurung atau sari dalam parodi, serta penggunaan loghat tempatan sebagai bahan jenaka merupakan antara contoh bagaimana budaya dikomersialkan secara dangkal mahupun sekadar menjadi latar estetik tanpa penghargaan sebenar.

Hal ini bukan lagi satu bentuk apresiasi, tetapi tergelincir menjadi sebuah bentuk eksploitasi budaya. Akibatnya, ramai warga net mula menyuarakan ketidakpuasan dengan menuduh para pencipta kandungan ini sebagai tidak sensitif terhadap konteks budaya serta komuniti inklusif yang mereka cuba diwakili.

Dalam usaha untuk kelihatan “terbuka” atau “menyantuni semua”, pembuat kandungan secara tidak sedar mengulangi sikap tokenisme dan stereotaip, tanpa menyumbang kepada kefahaman, empati atau keterangkuman yang tulen.

Oleh itu, pembuat kandungan kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dan bukan sekadar menghasilkan kandungan yang menghiburkan, tetapi juga mendidik, menghormati dan menyatukan. Dalam memastikan budaya popular digital benar-benar inklusif, beberapa pendekatan perlulah diberi perhatian.

Pertama, pembuat kandungan seharusnya membuat penyelidikan asas sebelum menampilkan elemen budaya tertentu, sama ada dalam bentuk tarian, pakaian tradisional atau bahasa isyarat.

Kolaborasi dengan individu atau komuniti yang diwakili seperti komuniti OKU, komuniti etnik minoriti dan pengamal budaya mampu menjadikan kandungan lebih autentik, tetapi juga mengelakkan kesilapan yang tidak sensitif.

Kedua, platform digital dan algoritma media sosial juga memainkan peranan penting. Kandungan yang membawa mesej perpaduan, empati dan keterangkuman harus diberikan lebih ruang dan sokongan berbanding kandungan sensasi.

Hal ini boleh dilakukan melalui galakan oleh pembuat kandungan budaya, pemantauan komuniti maya, serta inisiatif pendidikan media digital. Akhir sekali, masyarakat sebagai pengguna juga perlu lebih kritikal, bertanggungjawab dan bukan sekadar berkongsi, tetapi juga menilai niat dan impak kandungan yang dikonsumsi.

Perbincangan dan kritikan yang sihat di ruang digital perlu diteruskan, bukan untuk membataskan kreativiti, tetapi untuk mengangkat nilai budaya dan menghormati kepelbagaian dengan lebih bijaksana.

Budaya popular digital mempunyai kuasa besar dalam membentuk cara masyarakat melihat diri dan orang lain, sama ada untuk menyatukan atau meminggirkan.

Dalam konteks Malaysia yang mempunyai kerencaman budaya dan identiti, adalah penting untuk kita memastikan bahawa kandungan yang dihasilkan, dikongsi dan dirayakan mencerminkan semangat keterangkuman, hormat dan empati.

Fenomena seperti Serumpun membuktikan bahawa budaya popular mampu menjadi jambatan antara komuniti, malah berpotensi mendidik dan memperkasakan golongan yang sering terpinggir.

Namun, tanpa keikhlasan, kefahaman dan kepekaan budaya, budaya digital juga boleh menjadi alat eksploitasi yang memperkukuh stereotaip dan tokenisme.

Dalam era dimana setiap individu berpeluang menjadi pencipta kandungan, tanggungjawab budaya tidak lagi terletak di bahu penggiat seni semata-mata, tetapi kini menjadi tugas bersama. Kita semua punya pilihan: untuk menjadi pengguna pasif, atau menjadi pencetus perubahan ke arah budaya digital yang lebih inklusif, hormat dan bermakna.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

Dr. Hani Salwah Yaakup
Penyelidik
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

ROSLINA BINTI DIN