fb fb fb fb fb

Pak Lah: Pemimpin disayangi, dunia media turut merasai

Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi/Foto Fail

SAUDARA PENGARANG

Dalam para pemimpin negara bersiap sedia untuk menyambut kedatangan seorang pemimpin penting dunia ke negara kita, tiada siapa yang bersedia dan menyangka dengan perkhabaran pemergian seorang pemimpin yang disayangi dan dihormati rakyat, Allahyarham Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, atau lebih mesra dipanggil Pak Lah.

Pak Lah, iaitu Perdana Menteri ke lima itu menghadap Illahi, saat umat Islam sedang menunggu waktu Maghrib pada 14 April 2025 lepas. Dalam waktu singkat, semua platform media berusaha untuk menyampaikan berita sedih ini kepada rakyat Malaysia tanpa henti, sebagai tanda turut berkongsi kesedihan yang dirasai oleh keluarga Allahyarham Pak Lah walaupun sesudah selesai upacara pengebumian beliau.

Di sesetengah stesen televisyen, pakar bidang politik khususnya yang mengkaji secara langsung mengenai Allahyarham Pak Lah, dipanggil bagi menceritakan dan menyelak kembali kegemilangan dan kebaikan-kebaikan dilakukan Allahyarham kepada rakyat Malaysia waktu saat hidupnya.

Dalam masa sama, kemas kini suasana sebenar dan terkini di Masjid Negara memberi gambaran secara langsung buat rakyat yang hanya mampu mengiringi doa dari jauh akan majlis menghormati jenazah sebelum disemadikan secara kekal di Makam Pahlawan.

Para penonton di kejauhan juga dapat melihat sendiri bahawa Allahyarham sangat disayangi segenap lapisan masyarakat tidak kira pangkat apabila para pemimpin dari dalam dan luar negara bersama-sama rakyat biasa berkumpul pada waktu sama, di tempat sama bagi menzahirkan rasa hormat dan takziah kepada ahli keluarga dan jenzah Allahyarham, khususnyaa.

Berbeza di radio pelbagai stesen pula, apabila memetik kajian-kajian dan tulisan dari para pakar dengan menyenaraikan kebaikan-kebaikan Allahyarham dari masa ke masa. Keupayaan para penyampai radio menghuraikan hasil kajian akademik atau bukan akademik perlu dipuji kerana sentiasa mengemaskini informasi agar para pendengar tidak ketinggalan untuk mengikut rapat tokoh yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari ini.

Bukan itu sahaja, tindakan pihak stesen radio dalam memilih lagu-lagu bersesuaian juga dilihat lebih bersifat menghormati pemergian seorang pemimpin yang disayangi dan disegani ramai ini. Jika di televisyen kerap kali diputarkan bacaan Surah Al-Fatihah, stesen radio juga tidak mahu ketinggalan.

Alunan bacaan ayat-ayat suci yang khusus ditujukan buat Allahyarham, turut menemani perjalanan bagi yang masih hidup, menjadikan hari 14 April 2025 lalu, sebagai satu hari yang penuh dengan keinsafan.

Platform media sosial turut tidak ketinggalan memainkan peranan dengan menyenaraikan kebaikan-kebaikan dan usaha-usaha dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya, menjadikan capaian kandungannya lebih menyeluruh terutama dalam kalangan generasi muda yang lebih gemar dengan kandungan-kandungan di media sosial berbanding media tradisional. Sekali gus menjauhkan mereka daripada terus ketinggalan daripada maklumat-maklumat penting tentang sejarah dan pucuk kepimpinan Allahyarham Pak Lah.

Allahyarham Pak Lah, masa hidupnya tiada lelah. Kepimpinanya membuatkan rakyat sedar bahawa setiap tanggungjawab yang disandang, adalah satu ibadah yang tidak boleh dipandang endah.

Pemergiannya adalah satu sejarah yang perlu disimpan kemas agar generasi akan datang tidak akan dilupakan tentang hebatnya seorang pemimpin bernama Pak Lah. Jika harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama, dan nama yang perlu dikenang itu adalah Tun Haji Abdullah Ahmad Badawi. Al-Fatihah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

DR SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI1
Dr. Siti Aishah Mohammad Razi
Pensyarah Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI