SAUDARA PENGARANG
Hari Raya bukan sekadar perayaan yang meriah dengan juadah enak dan suasana kekeluargaan, tetapi juga masa yang sesuai untuk kita mengamalkan gaya hidup lebih lestari. Tanpa disedari, penggunaan plastik akan digunakan bagi persiapan dan sambutan Hari Raya dalam penyediaan dan penyajian makanan yang perlu diberi perhatian.
Mikroplastik adalah ancaman senyap yang boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Tanpa kita sedari, mikroplastik boleh memasuki tubuh manusia melalui makanan dan minuman, sekali gus membawa pelbagai risiko kesihatan serta memberi kesan negatif kepada kesihatan dan alam sekitar.
Oleh itu, amat penting untuk memahami punca pencemaran mikroplastik dan bagaimana kita boleh mengurangkannya, terutamanya semasa musim perayaan.
Sumber Pencemaran Mikroplastik
Mikroplastik berasal daripada bahan plastik yang mereput menjadi zarah kecil, sering kali berukuran kurang daripada 5mm. Ia boleh memasuki rantaian makanan manusia melalui makanan laut, garam, makanan yang diproses. Kajian telah menunjukkan bahawa seorang dewasa boleh menelan sehingga 577,000 zarah mikroplastik setahun hanya melalui pemakanan harian.
Pencemaran ini turut berlaku dalam pembungkusan makanan dan melalui kajian mendapati bahawa mikroplastik boleh terlepas daripada botol plastik, tin aluminium serta botol kaca, terutamanya apabila terdedah kepada tekanan mekanikal, sinaran UV dan suhu tinggi.
Pada tahun 2024, pecahan polipropilena yang berukuran kurang daripada 5mm telah ditemui di pantai Pulau Tioman, membuktikan bahawa pencemaran mikroplastik semakin membimbangkan.
Kesan Kesihatan Mikroplastik
Mikroplastik yang memasuki tubuh manusia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan, antaranya:
1. Keradangan dan tekanan oksidatif, yang boleh merosakkan sel-sel badan.
2. Gangguan hormon, kerana mikroplastik boleh bertindak sebagai pembawa bahan kimia berbahaya.
3. Risiko penyakit kardiovaskular, termasuk tekanan darah tinggi dan serangan jantung.
4. Gangguan pembiakan dan perkembangan, yang boleh memberi kesan kepada kesihatan jangka panjang manusia.
Teknologi moden seperti spektroskopi inframerah transformasi Fourier (FTIR) dan spektroskopi Raman digunakan untuk mengesan mikroplastik dalam makanan dan minuman, tetapi proses ini masih mencabar kerana ketiadaan kaedah standard yang seragam.
Langkah Mengurangkan Pencemaran Mikroplastik Semasa Hari Raya
Ketika menyambut Hari Raya, ramai yang menggunakan bekas plastik dan peralatan pakai buang untuk memudahkan penyajian makanan. Namun, ada langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan pendedahan kepada mikroplastik:
1. Pilih Bahan Pembungkusan Alternatif
Gantikan bekas plastik dengan pilihan yang lebih selamat dan mesra alam seperti:
• Bekas kaca atau keluli tahan karat untuk menyimpan makanan dan minuman.
• Pinggan dan cawan biodegradable yang diperbuat daripada kertas atau daun.
• Sudu dan garfu buluh yang boleh dikitar semula.
2. Gunakan Kaedah Penyimpanan yang Selamat
• Elakkan memanaskan makanan dalam bekas plastik kerana suhu tinggi boleh menyebabkan pelepasan mikroplastik. Satu kajian mendapati bahawa pemanasan gelombang mikro selama tiga minit boleh membebaskan sehingga 4.22 juta mikroplastik dan 2.11 bilion zarah nanoplastik daripada satu sentimeter persegi kawasan plastik.
• Simpan makanan di dalam bekas kaca atau seramik untuk mengurangkan
pencemaran mikroplastik.
3. Kurangkan Penggunaan Plastik Sekali Pakai
• Gunakan botol air boleh guna semula dan elakkan air minuman dalam botol plastik.
• Hidangkan makanan dengan peralatan bukan plastik, terutamanya semasa majlis rumah terbuka.
Dengan mengambil langkah-langkah mudah seperti memilih bekas makanan yang lebih selamat, mengurangkan pemanasan plastik, dan beralih kepada peralatan mesra alam, kita boleh mengurangkan pencemaran mikroplastik dalam kehidupan harian.
Sempena Hari Raya ini, mari bersama-sama membuat perubahan kecil yang membawa impak besar untuk kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Mohd Rashidi Abdull Manap
Jabatan Kimia, Fakulti Sains
Universiti Putra Malaysia
Emel: