fb fb fb fb fb

Kuasa belia semarakkan semangat “Malaysia MADANI Rakyat Disantuni”

Jalur Gemilang menghiasi persekitaran MITC Melaka sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tinjauan 5 Ogos 2025/Arkib BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” membuka ruang kepada belia negara untuk tampil sebagai pemacu perubahan dan penjulang nilai perpaduan, belas kasihan serta kesejahteraan rakyat.

Tema yang diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu meneruskan kesinambungan rangka kerja Malaysia MADANI sehingga 2027. Ia berteraskan enam nilai utama iaitu Ihsan, Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat dan Amanah yang menekankan kesejahteraan rakyat serta tadbir urus berteraskan nilai.

Perarakan Merdeka dan Signifikasi Tema

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan program Kibarkan Jalur Gemilang telah berlangsung pada 27 Julai lalu di Muar, Johor, manakala perarakan utama Hari Kebangsaan bakal diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos. Sambutan Hari Malaysia pula akan diteruskan di Pulau Pinang pada 16 September, mengikut giliran antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Acara ini dirancang untuk menonjolkan kesinambungan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat. Sambutan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan agar rakyat terus disantuni.

Hal ini sejajar dengan frasa “Rakyat Disantuni” yang memberi penekanan kepada cerminan keutamaan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, bukan sahaja aspek fizikal tetapi juga kesejahteraan mental dan emosi. Pendekatan ini mengajak rakyat, khususnya belia untuk melihat patriotisme bukan sekadar simbolik tetapi berasaskan tindakan yang menyentuh kehidupan seharian.

Generasi muda kini lebih selesa mengekspresikan cinta negara melalui kerja komuniti, advokasi digital atau mempromosikan produk tempatan. Jika dilihat pendekatan ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mahu melihat rakyat menjadi agen perubahan, bukan penonton pasif.

Huraian Enam Nilai MADANI untuk Belia

1. Ihsan (Belas Kasihan)
Menyantuni golongan rentan, termasuk warga emas, orang kelainan upaya dan komuniti terpinggir melalui program sukarelawan dan kebajikan.

2. Kemampanan
Menyokong projek hijau seperti aktiviti gotong-royong membersihkan sungai, pengurusan sisa makanan dan penanaman semula pokok.

3. Kesejahteraan
Memupuk keseimbangan hidup, termasuk kesedaran kesihatan mental dalam komuniti belia.

4. Daya Cipta
Menghasilkan inovasi sosial dan teknologi yang menyelesaikan masalah masyarakat, contohnya aplikasi bantuan bencana.

5. Hormat
Menghargai kepelbagaian budaya dan agama Malaysia melalui perayaan bersama dan inisiatif rentas kaum.

6. Amanah
Mengutamakan integriti, sama ada dalam kepimpinan pelajar, perniagaan kecil atau projek komuniti.

Patriotisme Belia: Transformasi Baharu

Kajian Indeks Belia Malaysia 2023 menunjukkan berlaku penurunan penyertaan belia dalam aktiviti politik dan kebangsaan. Namun, fenomena ini bukan tanda berkurangnya rasa cinta negara, sebaliknya mencerminkan tafsiran baharu yang memenifestasi patriotisme melalui tindakan nyata seperti keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan advokasi hak komuniti.

Sebenarnya, generasi muda kini lebih cenderung untuk menyumbang melalui projek komuniti, kesukarelawanan serta inisiatif digital yang mengangkat kepelbagaian budaya Malaysia. Bentuk patriotisme ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan penyertaan inklusif dan tindakan berteraskan nilai.

Belia Sebagai Pemangkin Malaysia MADANI

1. Penglibatan Komuniti dan Kesukarelawanan

Belia disarankan untuk bergerak aktif dalam aktiviti gotong-royong, program kebajikan, bimbingan pendidikan serta sokongan kepada perniagaan tempatan. Ia menjadi platform utama untuk belia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Projek seperti KidzREAD, Kelab Gemilang, Rakan Muda dan inisiatif SDG memberi peluang kepada belia meningkatkan kemahiran, membina empati dan memacu pembangunan komuniti.

2. Kewarganegaraan Digital

Belia memanfaatkan media sosial seperti TikTok bukan sahaja untuk hiburan, tetapi sebagai medan menyebar mesej positif, melawan berita palsu dan mempromosikan warisan budaya Malaysia. Pendekatan ini membantu membina naratif kebangsaan secara lebih inklusif seterusnya mengukuhkan keharmonian dalam kepelbagaian.

3. Memperkukuh Warisan dan Identiti

Penglibatan aktif dalam aktiviti seperti perayaan hari kebangsaan, lawatan ke tapak bersejarah, contohnya Dataran Merdeka dan Kota A Famosa, serta promosi seni dan makanan tempatan akan memperdalam rasa bangga warga terhadap identiti Malaysia.

4. Kepimpinan dan Tanggungjawab Sivik

Penyertaan belia dalam program kepimpinan, kelab debat dan cabaran inovasi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan. Inisiatif ini membina pemikiran kritis, keupayaan menyelesaikan masalah dan kesedaran sivik, selaras dengan prinsip Amanah dan Daya Cipta dalam Malaysia MADANI.

Pendidikan Sebagai Teras

Sekolah dan institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam menanam nilai patriotisme melalui integrasi sejarah negara, pendidikan sivik dan budaya dalam kurikulum. Pendekatan ini memastikan pelajar untuk memahami bukan sekadar kisah kejayaan, tetapi juga cabaran dan pengorbanan yang membentuk Malaysia hari ini.

Pendidik dalam pelbagai peringkat turut digalakkan menjadi teladan dengan menggalakkan nyanyian lagu patriotik, menghuraikan makna Rukun Negara dan menghubungkan pelajar dengan pemimpin komuniti bagi menanam rasa bangga dan tanggungjawab kepada negara.

Kesimpulan

Ketika Malaysia melangkah kehadapan, belia akan terus berperanan sebagai nadi pembentukan negara. Tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” bukan sekadar slogan, tetapi adalah iltizam belia menzahirkan rasa cinta terhadap tanah air melalui tindakan berkesan dan lebih inklusif melalui kerja komuniti, advokasi digital, penghayatan warisan hingga kepimpinan sivik.

Dengan sokongan dan memperkasa belia, masyarakat Malaysia akan dapat memastikan semangat patriotisme terus subur, seterusnya membawa negara ke masa hadapan yang lebih adil, makmur dan bersatu.

Pemerkasaan belia dalam pendidikan, menyedia peluang kepimpinan dan ruang berkarya; sebenarnya mampu melahirkan generasi yang sentiasa berbangga, bukan sahaja bangga mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi juga berani memimpin perubahan. Masa depan negara akan lebih cerah apabila setiap anak muda melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada jalan penyelesaian, bukan sekadar pemerhati.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MASTURA MAHAMED
Dr. Mastura Mahamed
Pensyarah Kanan/Penyelidik
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI