SAUDARA PENGARANG
Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) merupakan tonggak penting dalam usaha negara memperkukuh ekonomi pelancongan pasca pandemik dan menempatkan Malaysia sebagai destinasi utama di rantau Asia Tenggara. Sasaran yang ditetapkan — iaitu menarik seramai 35.6 juta pelancong antarabangsa serta menjana RM147.1 bilion dalam hasil pelancongan — menggambarkan tahap aspirasi tinggi kerajaan terhadap sumbangan sektor tersebut kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan, serta pertumbuhan sektor swasta dan komuniti tempatan.
Dalam konteks ini, keselamatan pelancongan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bukan sahaja relevan, tetapi menjadi prasyarat kritikal kepada kejayaan TMM 2026. Tragedi baru-baru ini di Pulau Perhentian yang melibatkan kematian pelancong akibat kecuaian pengendali bot telah membuka mata masyarakat dan pentadbiran, bahawa tahap keselamatan yang longgar mampu menggugat keyakinan pelancong terhadap Malaysia sebagai destinasi selamat dan berkualiti.
Keselamatan bukan sekadar perlindungan fizikal, tetapi turut merangkumi kepercayaan pelancong terhadap sistem pengurusan risiko di lokasi-lokasi popular seperti pulau, kawasan taman eko-pelancongan, pengangkutan air dan aktiviti lasak. Dalam dunia pelancongan masa kini, sentimen pengguna bergerak seiring dengan reputasi digital sesebuah destinasi.
Tragedi dan kelemahan SOP yang tular melalui media sosial dan laporan antarabangsa boleh membawa impak yang jauh lebih besar daripada sekadar kes terpencil — ia berpotensi menjejaskan jumlah pelancong dan pendapatan negara secara drastik. Oleh itu, pendekatan holistik perlu digembleng segera, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pengusaha pelancongan, penguatkuasa, kementerian berkaitan serta pelancong sendiri.
TMM 2026 turut menekankan pelancongan mampan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam hal ini, keselamatan perlu menjadi elemen utama dalam memastikan pelancongan dijalankan secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan ekosistem semula jadi atau kesejahteraan masyarakat setempat.
Pematuhan SOP yang ketat akan memastikan bahawa aktiviti pelancongan tidak menjadi ancaman kepada keselamatan manusia dan alam sekitar, malah boleh memberi nilai tambah kepada pengalaman pelancong serta menyumbang kepada promosi pelancongan berkualiti tinggi.
Peranan kerajaan dalam memperkukuh dasar keselamatan pelancongan turut mencerminkan komitmen terhadap reputasi Malaysia di mata dunia. Pembangunan sistem amaran cuaca pintar, penilaian semula lesen pengendali, pensijilan pekerja industri pelancongan serta kempen kesedaran keselamatan merupakan antara inisiatif yang perlu digiatkan. Malaysia harus dilihat bukan sahaja sebagai destinasi yang indah dan berbudaya, tetapi juga sebagai negara yang berwibawa dalam menjamin keselamatan setiap individu yang memilih untuk berkunjung ke sini.
TMM 2026 bukan hanya kempen promosi pelancongan, ia adalah refleksi identiti negara yang matang, inklusif dan progresif. Seruan tegas memperkukuh SOP dan keselamatan pelancongan adalah manifestasi kepada usaha transformasi sektor ini secara menyeluruh, sekali gus membuka ruang kepada pelaburan berimpak tinggi dan pengalaman pelancongan yang lebih selamat, lestari dan bermakna buat semua.
Jika Malaysia berjaya memastikan keselamatan pelancongan ditangani secara profesional dan telus, VM2026 akan menjadi penanda aras baharu yang mampu meletakkan nama negara sebagai pemimpin pelancongan mampan di rantau ini.
Dr. Cheah Chan Fatt
Felo Penyelidik
Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC)
Universiti Malaya
e-mel: