fb fb fb fb fb

Kelawar juga bantu pemulihan hutan dan pertanian

Spesis kelawar fitofagus (pemakan buah dan nektar)/Foto UPM

Kelawar ialah sejenis haiwan mamalia yang satu-satunya mampu terbang sebenar dan aktif pada waktu malam. Di Malaysia sahaja, sebanyak 143 spesies kelawar telah direkodkan, menjadikan negara ini antara kawasan paling kaya dengan kepelbagaian spesies kelawar di Asia Tenggara. Walaupun sering disalah anggap sebagai haiwan menakutkan atau pembawa penyakit, kelawar sebenarnya memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem.

Malaysia mempunyai dua jenis utama kelawar, iaitu kelawar fitofagus (yang memakan buah dan nektar) dan kelawar insektivor (yang memakan serangga). Kehadiran kedua-dua jenis kelawar ini memberi manfaat besar kepada manusia, khususnya dalam bidang pertanian dan pemuliharaan alam semula jadi.

Menurut kajian oleh Marina et al. (2021), sebanyak 36 spesies kelawar telah direkodkan di Universiti Putra Malaysia (UPM), merangkumi 12 spesies di Kampus Serdang (UPMSC), 20 spesies di Kampus Bintulu (UPMKB), dan 21 spesies di Hutan Simpan Ayer Hitam (AHFR).

Pertanian

Kelawar menyumbang kepada keseimbangan semula jadi dalam ekosistem pertanian dengan mengawal populasi serangga perosak, sekali gus meningkatkan hasil tanaman tanpa kebergantungan kepada racun kimia.

Prof. Madya Dr. Marina Mohd Top@Mohd Tah, pensyarah serta pakar zoologi di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyatakan, bahawa kehadiran kelawar memainkan peranan penting sebagai agen kawalan biologi semula jadi, terutamanya dalam mengawal populasi serangga perosak di kawasan pertanian.


1007 POTENSI KELAWAR 1Pensyarah/pakar Zoologi Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah.(Foto kanan)/UPM

“Kebanyakan petani menggunakan racun serangga kimia dalam sektor pertanian bagi mengawal serangga perosak namun penggunaannya kemungkinan boleh menjejaskan kesihatan manusia”.

“Dengan adanya kelawar pemakan serangga, para petani boleh mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan bahan kimia supaya dapat melindungi hasil tanaman serta memastikan keselamatan manusia dan alam sekitar” ujarnya.

Penyebaran Benih dan Pemulihan Hutan

Kelawar pemakan buah memainkan peranan penting dalam proses penyebaran benih tumbuhan. Sumber makanan daripada pelbagai jenis buah-buahan, menjadikan haiwan mamalia itu secara tidak langsung menyebarkan biji benih tersebut ke kawasan baharu, termasuk lokasi yang sukar dicapai oleh haiwan lain. Proses ini membantu memperkayakan biodiversiti dan menyokong pembentukan struktur semula jadi ekosistem hutan.

Menurut Prof. Madya Dr. Marina yang juga pakar ekologi dan pengurusan hidupan liar, kelawar pemakan buah adalah agen penyebaran benih yang sangat efisien kerana mampu terbang jauh dalam satu malam dengan membawa benih ke kawasan terbuka atau rosak yang memerlukan pemulihan.

“Selain itu, keupayaan kelawar menyebarkan benih daripada pelbagai spesies pokok mempercepatkan proses regenerasi hutan secara semula jadi. Kelawar yang aktif pada waktu malam turut, melengkapi peranan haiwan penyebar benih lain yang aktif pada waktu siang, sekaligus menjadikan proses penyebaran benih berlaku secara berterusan sepanjang masa,” katanya.

“Kelawar ialah mamalia penting yang membantu memulihkan kawasan hutan yang rosak, mengekalkan kepelbagaian tumbuhan, dan menyokong kehidupan ekosistem secara menyeluruh,” ujarnya.

Agen Pendebungaan

Selain dikenali sebagai pemakan serangga dan buah, kelawar juga menyumbang kepada proses pendebungaan dengan memindahkan debunga dari satu bunga ke bunga lain ketika mencari nektar. Spesies kelawar pemakan nektar, seperti Eonycteris spelaea, memainkan peranan penting sebagai agen pendebungaan semula jadi bagi pelbagai tumbuhan tropika.

Prof. Madya Dr. Marina berkata, kelawar ini merupakan agen pendebungaan utama bagi tanaman tropika seperti durian dan petai yang mana bunganya berkembang pada waktu malam serta menghasilkan nektar yang menarik kelawar untuk mengunjunginya.

Tambah beliau, “pemuliharaan habitat semula jadi kelawar amat penting bagi menjamin kesinambungan proses pendebungaan ini. Jika habitat mereka terganggu, populasi kelawar akan menurun dan menjejaskan keupayaan mereka untuk memainkan peranan ekologi mereka,” katanya.

Pemeliharaan kelawar bukan sahaja penting untuk alam, tetapi juga memberi pulangan jangka panjang dari segi ekonomi, pertanian dan kesejahteraan ekologi. Masa depan kelestarian bergantung kepada sejauh mana kita mampu menghargai dan melindungi peranan spesies unik seperti kelawar dalam rantaian ekosistem.

Oleh
Ameesya Aghniya Ab Rahim
Universiti Putra Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI