fb fb fb fb fb

Kawal media sosial untuk masa depan generasi anak kita

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Rata-rata anggota masyarakat terkejut dan terpinga-pinga apabila dilaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 terlibat dengan aktiviti seks bersama dua orang pelajar senior di dalam kelas sambil kejadian dirakam dan dilihat oleh dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri pernah mendedahkan isu penagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak kini semakin membimbangkan dengan ada sebahagiannya mula terjebak seawal usia 10 tahun. Ini ditambah pula dengan laporan sebelum itu menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di sebuah negeri berlaku atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

Insiden dan laporan seperti ini yang membabitkan masalah sosial yang serius dalam kalangan kanak-kanak mula merungsingkan kita. Justeru semua pihak yang terlibat seperti pihak berkuasa, ibu bapa, guru dan anggota masyarakat perlu bekerjasama merangka inisiatif bagi menyelamatkan masa depan anak-anak Malaysia ini.

Ironinya pendedahan ini membawa kita ke persoalan yang cukup kritikal iaitu apakah nasib dan hala tuju masa depan generasi pewaris negara jika gejala tidak sihat seperti ini tidak dibendung dengan segera? Apakah kita sanggup menutup mata dan telinga membiarkan anak-anak hanyut dengan godaan pelbagai masalah sosial dalam era serba canggih dan mencabar ini?

Kenyataan pahit yang perlu kita akui adalah pendedahan sedemikian bukan sekadar statistik, tetapi isyarat bahaya yang cukup membimbangkan. Kes seumpama ini wajar menjadi cermin yang memaksa kita menilai kembali sejauh mana keberkesanan peranan institusi keluarga, sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa dalam melindungi anak-anak.

Anggota masyarakat perlu menjauhi sindrom penafian dan perlu mengakui masalah sosial yang membabitkan kanak-kanak bawah umur kini semakin serius dan merebak laksana virus, dan semakin sukar dikawal jika tidak ditangani segera.

Salah satu faktor utama yang mendorong gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak ialah akses terbuka kepada media sosial. Platform ini, jika tidak dikawal, mudah memperlihatkan kandungan tidak bermoral, keganasan, serta budaya songsang yang mempengaruhi emosi dan tingkah laku kanak-kanak. Harus diakui pada ketika ini kita tidak mampu mengawal kanak-kanak daripada mengakses media sosial, khususnya kandungan yang tidak sihat.

Oleh itu, anggota masyarakat khususnya ibu bapa wajar menyokong penuh hasrat kerajaan menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun, susulan peningkatan kes sosial serius dalam kalangan pelajar seperti buli, rogol dan bunuh. Sudah tiba masanya pihak berkuasa tampil dengan iltizam yang lebih tegas dalam menyekat kandungan berbahaya daripada diakses golongan bawah umur.

Tindakan keras juga wajar dikenakan terhadap penyedia platform media sosial yang gagal mematuhi peraturan kerajaan, termasuk hukuman denda, penggantungan, atau pembatalan lesen serta merta.

Kita boleh saja mencontohi tindakan tegas dan proaktif beberapa negara luar seperti Australia, Perancis dan New Zealand. Australia telah meluluskan undang-undang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial. Perancis pula sedang merancang larangan bagi mereka di bawah 15 tahun, manakala New Zealand mahu mewajibkan pengesahan usia pengguna dengan cadangan mengenakan denda jutaan dolar kepada syarikat yang ingkar.

Hakikatnya, negara-negara ini sudah mula sedar akan ancaman media sosial terhadap perkembangan minda, emosi dan tingkah laku kanak-kanak. Justeru Malaysia juga perlu bergerak pantas dengan tindakan tegas sedemikian rupa.

Lagi kita lambat bertindak, lagi ramai kanak-kanak bawah umur akan menjadi mangsa gejala sosial seperti ini. Disyorkan pihak kerajaan segera meneliti keperluan mendesak untuk merangka undang-undang bersifat kawalan, pencegahan dan penguatkuasaan demi melindungi generasi muda.

Dalam isu dadah, peranan pihak berkuasa juga tidak boleh dipandang ringan. Aktiviti penyeludupan dan pengedaran perlu ditangani dengan penguatkuasaan yang cekap, efisien, serta bebas daripada ketirisan atau salah guna kuasa di pintu sempadan. Hakikatnya, tanpa integriti dan jati diri yang kukuh dalam kalangan penguat kuasa segala usaha membanteras dadah akan sia-sia.

Pada masa sama, kerajaan wajar mempercepatkan langkah mengharamkan rokok elektronik yang kian menjadi pintu masuk kepada ketagihan nikotin dan seterusnya dadah. Anak-anak kita tidak boleh dibiarkan terperangkap dalam kitaran ketagihan yang akhirnya menghancurkan masa depan mereka.

Namun, dalam membicarakan isu ini, kita tidak boleh meletakkan seluruh tanggungjawab di bahu pihak berkuasa semata-mata. Ibu bapa adalah benteng pertahanan pertama anak-anak. Mereka mesti mengambil tahu dengan siapa anak berkawan, apa aktiviti mereka, dan bagaimana pergaulan mereka di alam maya mahupun dunia nyata.

Alasan sibuk mencari rezeki sehingga mengabaikan anak-anak tidak lagi boleh diterima. Kegagalan memahami jiwa, aspirasi, dan kecenderungan anak-anak hanya akan membuka ruang kepada pihak luar – sama ada rakan sebaya atau sindiket – untuk mempengaruhi mereka. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Realitinya, generasi muda hari ini sedang berhadapan dengan dugaan dan godaan yang jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu. Mereka tidak memiliki kematangan yang cukup untuk menapis pengaruh, apatah lagi menangkis ancaman yang hadir dari segenap penjuru.

Maka, semua pihak baik ibu bapa, guru, masyarakat, pihak berkuasa, dan pembuat dasar perlu berganding bahu. Kanak-kanak bukan sekadar waris keluarga, tetapi juga aset negara. Melindungi mereka bererti melindungi masa depan Malaysia.

Tuntasnya, kita harus jujur bertanya kepada diri sendiri, apakah ikhtiar dan usaha yang telah kita lakukan untuk melahirkan generasi MADANI yang diimpikan? Jangan sampai ketika generasi ini rosak dan hanyut, kita baru menyedari bahawa kegagalan itu berpunca daripada kelalaian kita sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PPSPK)
Universiti Putra Malaysia
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI