SAUDARA PENGARANG
Isu jurang digital di Malaysia pada hari ini, bukan lagi hanya membabitkan perkara seperti perbezaan liputan atau penembusan Internet di kawasan luar bandar dan bandar semata-mata.
Jurang digital dalam keluarga luar bandar semakin melebar
Sebaliknya, perkembangan pantas teknologi digital termasuk meningkatnya akses kepada peranti digital dan peningkatan liputan Internet dinikmati oleh rakyat masa sekarang telah mewujudkan satu fenomena yang membimbangkan apabila berlaku jurang digital dalam isi rumah itu sendiri.
Situasi ini merujuk kepada perbezaan tahap celik digital atau jurang digital antara ibu bapa dan anak-anak di kawasan luar bandar yang semakin melebar seiring dengan perkembangan pantas teknologi digital pada hari ini.
Senario itu mewujudkan satu bentuk ketidakseimbangan dari segi tahap celik digital yang menyebabkan ibu bapa semakin ketinggalan dari segi pengetahuan digital yang diperlukan mereka untuk mengawal atau memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
Dalam konteks kajian akademik, anak-anak celik digital ini dikenali sebagai natif digital (digital natives) iaitu kelompok pengguna teknologi yang sangat cekap dalam selok-belok dunia digital. Manakala, ibu bapa yang masih terkial-kial untuk memahami asas-asas teknologi digital ini dinamakan sebagai imigran digital (digital immigrants) yang merujuk kepada ketidakcekapan mereka dari segi pengetahuan, pemahaman dan penggunaan alat serta teknologi digital.
Kewujudan jurang digital dalam isi rumah luar bandar ini, menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai kemahiran secukupnya untuk mereka mengawal dan memantau aktiviti digital anak-anak yang sebenarnya berdepan pelbagai ancaman ketika menggunakan ruang dalam talian.
Fenomena ini amat ketara berlaku dalam banyak keluarga di kampung dan kawasan pedalaman kerana sejak awal usia, anak-anak sudah terdedah kepada telefon pintar disebabkan keperluan untuk pembelajaran dan sebagainya. Walaupun ketersediaan teknologi di luar bandar tidak setara dengan kawasan bandar, anak-anak ini masih boleh melayari Internet kerana akses kepada kemudahan itu tetap wujud di luar bandar.
Sebagai natif digital, anak-anak seawal usia sekolah rendah sudah pandai untuk melayari kandungan-kandungan hiburan, melayari YouTube, TikTok dan berbagai platform media sosial secara bebas. Senario ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana anak-anak ini membesar dalam persekitaran yang menyerap teknologi sebagai sesuatu yang semula jadi dan lumrah bagi mereka.
Namun, pendedahan dunia digital kepada kanak-kanak di usia sangat muda sebenarnya menuntut satu kawalan ketat daripada pihak ibu bapa atau penjaga mereka bagi mengelak risiko-risiko dikaitkan dunia digital seperti ancaman buli siber, pemangsa seksual dan pelbagai risiko lain.
Di sinilah letaknya peranan penting ibu bapa sebagai pengawal dan pemantau aktiviti dalam talian anak-anak, namun ia tidak berlaku seperti sepatutnya kerana mereka tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan asas dunia digital.
Sebagai contoh, tanpa pengetahuan asas digital ini, ibu bapa tidak mempunyai kemahiran untuk menyemak rekod pelayaran Internet anak-anak mereka walaupun peranti pintar sebenarnya mempunyai fungsi “kawalan ibu bapa” seperti menyekat akses kepada kandungan-kandungan yang tidak sesuai bagi kanak-kanak.
Mereka juga tidak tahu bahawa anak-anak mereka boleh mengakses kandungan lucah dengan mudah menggunakan peranti pintar, menyertai forum perbualan terbuka di Internet dan terdedah kepada pemangsa seksual dalam talian. Dalam banyak kes, peranti yang sepatutnya menjadi kemudahan pembelajaran telah bertukar menjadi pintu masuk kepada dunia maya luas tanpa sempadan.
Isu ini bukan hanya berkaitan dengan aspek teknikal tetapi bersifat psikososial dan budaya. Ini kerana, budaya timur sangat mengutamakan penghormatan kepada orang tua dan ini menjadikan anak-anak merasa segan atau enggan berkongsi tentang pengalaman mereka melayari dunia dalam talian.
Anak-anak pula tidak yakin bahawa ibu bapa mampu memahami perkara-perkara yang mereka jelaskan berkaitan dunia digital. Lantas, situasi ini mewujudkan satu lagi isu iaitu kesunyian digital yang menyakitkan. Anak-anak menjalani kehidupan dalam talian secara bersendirian tanpa sokongan, nasihat atau teguran daripada ibu bapa atau penjaga mereka.
Dalam masa sama, ibu bapa pula beranggapan mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan baik apabila menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk menggunakan teknologi digital seperti membelikan peranti pintar dan sebagainya. Tanpa mereka sedar, pemberian peranti pintar itu boleh diibaratkan bagai melepaskan anak ke jalan raya yang sibuk tanpa sebarang panduan atau pemantauan.
Tanpa pengetahuan dan kemahiran, ibu bapa tidak mengetahui bahawa ancaman dunia digital sangat nyata. Kajian mendapati anak-anak yang terlalu lama melayari kandungan hiburan berisiko mengalami penurunan tumpuan dan motivasi untuk belajar. Anak-anak yang melayari Internet tanpa kawalan serta pemantauan juga terdedah kepada buli siber, penyebaran kandungan tidak wajar berbentuk gambar atau video atau lebih parah apabila menjadi sasaran eksploitasi seksual dalam talian.
Perkara ini bukan lagi sekadar kemungkinan tetapi telah berlaku dalam banyak kes yang dilaporkan termasuk di kawasan luar bandar yang dahulunya dianggap selamat daripada ancaman-ancaman dunia digital ini. Dalam kebanyakan kes, ibu bapa hanya menyedari perkara tersebut setelah keadaan menjadi parah dan ketika itu, sudah terlewat untuk mengambil tindakan pencegahan.
Selain itu, ibu bapa perlu menguasai kemahiran dan mempunyai pengetahuan digital supaya mereka dapat mengenal pasti sebarang maklumat palsu, tidak sahih, kandungan-kandungan yang berunsur fitnah, iklan palsu dan pelbagai kandungan tidak wajar yang beredar dalam ruang siber ini. Jika ibu bapa tidak mempunyai ilmu asas mengenai dunia digital, bagaimana mereka mampu mendidik anak-anak untuk berfikir secara kritikal dan bertanggungjawab dalam ruang digital ini?
Program pendidikan digital ibu bapa perlu dipertingkatkan
Realiti yang dibincangkan ini memperlihatkan satu keperluan mendesak pihak terlibat untuk memberi tumpuan serius kepada usaha mendidik ibu bapa terhadap teknologi digital dan ruang siber. Selama ini, kebanyakan program celik digital sama ada dilaksanakan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sebagainya tertumpu kepada murid-murid dan pelajar. Aspek pendidikan kepada ibu bapa pula kurang diberikan perhatian. Tanpa penglibatan aktif ibu bapa dalam proses bimbingan digital, usaha mendidik anak-anak tentang kepentingan keselamatan digital akan menjadi tidak lengkap.
Pendidikan celik digital untuk ibu bapa khususnya di luar bandar, tidak semestinya bersifat formal atau berkaitan aspek teknikal semata-mata. Ia boleh dimulakan dengan sesi perkongsian di sekolah ketika hari terbuka, perbualan santai bersama guru atau penghasilan video pendek yang mudah difahami oleh masyarakat setempat.
Apa yang penting ialah membina keyakinan ibu bapa bahawa mereka tidak ketinggalan dan mereka masih mampu memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak berkaitan teknologi digital walaupun tanpa sijil atau kemahiran komputer yang canggih.
Di sekolah misalnya, guru boleh menggalakkan pelajar untuk berkongsi ilmu digital dengan ibu bapa melalui tugasan khas melibatkan keluarga. Contohnya, anak-anak mengajarkan ibu bapa mengenai penggunaan enjin carian Internet yang merupakan salah satu kemahiran digital asas. Program seperti ini bukan sahaja memindahkan pengetahuan, tetapi juga membina semula hubungan antara anak dan ibu bapa melalui kepercayaan dan kerjasama. Dalam masa sama, agensi kerajaan berkaitan boleh memperkenal dan memperluas program latihan celik digital kepada ibu bapa secara bersiri, bukan sekadar sebagai program jangka pendek terutama kepada komuniti luar bandar.
Satu usaha dan tindakan menyeluruh perlu diambil bagi mengecilkan jurang digital dalam keluarga luar bandar ini. Ini kerana, ia bukan sekadar jurang dari segi kemahiran digital tetapi turut merangkumi jurang dari sudut kawalan ke atas anak-anak yang penting untuk memastikan keselamatan mereka terjamin ketika melayari ruang digital.
Dalam dunia digital yang bergerak pantas, anak-anak yang dibiarkan bersendirian tanpa bimbingan akan lebih mudah tersilap langkah. Ibu bapa pula akan terus merasa tidak mampu untuk mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka dan memilih untuk membiarkan anak-anak tanpa kawalan. Situasi ini bukan sahaja merugikan anak-anak dan keluarga tetapi turut memberi kesan kepada struktur sosial masyarakat luar bandar secara keseluruhan.
Kesimpulannya, dalam landskap digital yang semakin kompleks, kita tidak boleh membina generasi berdaya tahan terhadap teknologi digital tanpa melibatkan peranan ibu bapa secara langsung dalam pendidikan digital. Kita tidak boleh membiarkan anak-anak menggunakan teknologi digital secara bersendirian sebaliknya, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mengamalkan satu kaedah pengawasan dan pemantauan terhadap anak-anak ketika menggunakan kemudahan dalam talian. Ini penting supaya sistem rumah tangga tidak menjadi tempat berteduh yang rapuh dan teknologi pula menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dan bukan menjadi faktor wujudnya jurang dalam isi rumah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Norhayati Mohamad Hussain
Pensyarah Kanan Program Komunikasi
Pusat Pengajian Teknologi
Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel: