SAUDARA PENGARANG
Dalam masyarakat Melayu, seorang ibu mempunyai kedudukan yang istimewa. Pelbagai panggilan digunakan sebagai kehormatan buat ibu. Ada yang memanggil dengan mama, mak, ummi, mummy dan seumpamanya.
Dalam Islam juga, seorang ibu diberikan kehormatan tiga kali ganda melebihi seorang bapa. Asasnya, seorang ibu merupakan sosok yang penting dalam sebuah rumah tangga. Kehadiran seorang ibu menjadikan rumah lebih hidup, ceria dan bermakna.
Ia memainkan peranan yang besar dalam membangunkan sebuah keluarga bersama bapa. Tanpa kehadiran seorang ibu, rumah akan terasa sunyi, kosong dan kurang bermakna.
Ibu sering menjadi tempat mengadu, meluahkan perasaan, sumber motivasi, dan pendorong semangat bagi setiap ahli keluarga.
Seringkali doa ibu didambakan oleh anak-anak kerana ia mustajab. Ibu ibarat sekolah pertama buat anak-anak. Proses internalisasi nilai-nilai murni, adab, dan akhlak sejak kecil bermula di rumah.
Setiap tutur kata, tindakan, dan didikannya memberi warna serta mempengaruhi tumbesaran mental, fizikal, dan spiritual anak-anak. Seorang ibu yang penyayang dan solehah akan membentuk karakter anak yang berhemah tinggi dan beradab.
Sebaliknya, anak akan membesar sebagai seorang yang biadab jika tidak mendapat didikan yang baik. Ibu juga berperanan sebagai sosok yang mengurus rumah tangga.
Daripada menyediakan makanan yang lazat, memastikan kebersihan rumah, dan hinggalah menguruskan anak-anak semuanya dilakukan dengan penuh kasih sayang.
Walaupun kadangkala ada ibu yang berkerjaya, tetapi mereka tetap melaksanakan kerja-kerja rumah tangga dengan dedikasi, walaupun secara fizikalnya telah penat.
Tambahan pula, ibu adalah contoh terbaik dalam menunjukkan erti kasih sayang tanpa syarat. Seorang ibu sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri demi mengandung dan melahirkan anak.
Proses kehamilan selama sembilan bulan bukanlah mudah. Ibu terpaksa melalui pelbagai perubahan fizikal dan emosi yang drastik. Ibu sanggup kehilangan bentuk tubuh badan yang ramping untuk mengandung.
Ketika melahirkan anak, ibu melalui kesakitan yang bersangatan, ibarat "nyawa di hujung tanduk". Ibu juga sanggup mengorbankan rasa malu dan maruah diri ketika melahirkan demi memastikan anaknya dilahirkan dengan selamat.
Pengorbanannya ketika berjaga malam membesarkan anak-anak, merawat ketika anak sakit menunjukkan kasih sayang mereka tanpa syarat. Itulah cinta sejati yang tiada tukar gantinya.
Kesakitan yang ditanggung ibu ini telah dirakamkan dalam al-Quran, surah al-Ahqaf, ayat 15, maknanya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.
Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 bulan.
Jelasnya, pengorbanan ibu adalah terlalu banyak. Selari dengan itu, anak-anak perlu menghargai, menghormati, mentaati dan menjaga mereka dengan baik. Menghargai ibu bukan hanya sehari dalam setahun tetapi berpanjangan.
Setiap titik peluh dan air mata yang mengalir ketika membesarkan anak, berjaga malam tanpa tidur demi anak perlu dihargai oleh anak-anak. Ibu juga layak dihormati kerana melalui ibulah anak-anak mampu mengenal Allah SWT dan Rasul, mampu bertutur kata, membaca dan menulis.
Begitu juga dengan mentaati ibu. Taatilah perintah ibu selagi mana tidak bercanggah dengan syariat dan dengarlah nasihat ibu untuk kebaikan. Ini kerana seorang ibu biasanya tidak ingin perkara yang buruk menimpa anak-anaknya dan mereka akan cuba untuk melindungi dan menjaga anak-anak.
Di samping itu, sayangilah ibu dengan sepenuh hati kerana kasih ibu ibaratnya membawa ke syurga dan kasih ibu pada anak tidak berbelah bahagi dan tanpa syarat. Apabila mereka telah tua atau uzur, jagalah ibu dengan sebaiknya kerana mereka tidak lagi bertenaga dan mampu menguruskan diri.
Kenangkanlah detik-detik ibu menjaga dan membesarkan anak-anak dari dalam kandungan hingga dewasa. Janganlah mengabaikan mereka di kala tua.Mereka perlukan kasih sayang dan perhatian anak-anak.
Arahan ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 24 maknanya: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".
Hakikatnya, seorang ibu mampu untuk membesarkan sepuluh orang anak dengan penuh kasih sayang dan baik tetapi sepuluh anak belum tentu lagi mampu untuk berbakti dan menjaga seorang ibu dengan baik.
Janganlah jadi sebab yang mengundang kemurkaan Allah SWT atau dengan kata lain, janganlah jadi anak derhaka. Hutang susu ibu dan hutang keringat ibu dan bapa tidak akan mampu dibayar oleh seorang anak.
Bagi mereka yang masih punya peluang dan kesempatan, hargailah detik bersama yang masih bersisa. Ini kerana kesempatan yang ada semakin hari semakin berkurangan.
Sebaliknya bagi mereka yang telah kehilangan peluang, pastinya akan timbul rasa kerinduan yang tiada noktah dan sukar digambarkan. Sehubungan itu, sempena Hari Ibu, marilah bersama-sama mengingati jasa ibu, menghormati, menyayangi, menjaga serta mendoakan kebaikan buat mereka.
Semoga Allah SWT mengganjar dengan kebaikan dan syurga buat ibu. Selamat Hari ibu.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
E-mel: