fb fb fb fb fb

Jiwa tertinggal di bilik kuliah: Cabaran pensyarah masa kini

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Setiap pendidik, khususnya pensyarah di institusi pengajian tinggi, melangkah ke dunia akademik dengan semangat mendidik yang tulus. Mereka menyimpan cita-cita murni untuk membimbing anak bangsa menjadi insan berilmu dan berdaya saing.

Namun, di sebalik gelaran ‘pensyarah’ yang mulia itu, realiti yang dihadapi jauh berbeza. Jiwa yang sepatutnya tertumpu kepada pembentukan sahsiah dan penyampaian ilmu kini tersepit antara pelbagai tuntutan pentadbiran dan beban tugas yang tidak berkesudahan.

Menjadi pensyarah bukanlah semata-mata tentang menyampaikan kandungan kurikulum. Ia lebih daripada itu. Pensyarah adalah pemikir, pembimbing, pendorong, dan pembentuk masa depan negara.

Ramai yang menyertai bidang ini kerana minat yang mendalam terhadap ilmu, dan lebih penting lagi, terhadap manusia. Mereka percaya bahawa ilmu adalah jambatan untuk memajukan tamadun. Namun, keindahan profesion ini sering kali dilupakan oleh sistem.

Pensyarah kini diukur bukan lagi berdasarkan sejauh mana mereka menyentuh kehidupan pelajar, tetapi sejauh mana mereka mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan, jumlah penerbitan jurnal, jumlah geran penyelidikan, pencapaian QS Ranking, laporan bulanan, penilaian audit dan pelbagai lagi.

Ruang mengajar yang dirampas oleh beban kerja

Pensyarah hari ini tidak lagi sepenuhnya ‘mengajar’. Ramai yang hanya sempat hadir ke kelas dengan bahan seadanya, kerana kebanyakan masa mereka dihabiskan dengan menyiapkan laporan geran, menyertai mesyuarat jabatan, menulis kertas kerja, menyelia pelajar siswazah, menguruskan permohonan akreditasi, malah ada yang perlu terlibat dalam urusan promosi program dan strategi pemasaran universiti.

Paling menyedihkan, ada pensyarah yang terpaksa memohon ‘slot masa’ untuk mengajar dengan tenang kerana hari-hari mereka dipenuhi dengan pelbagai tugasan luar bilik kuliah. Jiwa mereka untuk mendidik tetap ada, tetapi ruang untuk menzahirkan keikhlasan itu dirampas secara perlahan-lahan.

Kesan daripada sistem pengurusan universiti yang semakin korporat, pensyarah kini bukan sahaja pendidik, tetapi juga pegawai pentadbiran. Tugasan seperti mengemaskini sistem e-Pembelajaran, mengisi borang pencapaian bulanan, membuat laporan pencapaian kursus, menyelaras aktiviti jabatan, malah menjadi ‘event manager’ untuk program pelajar, semuanya dibebankan ke bahu yang sama.

Sebahagian pensyarah mula rasa mereka ‘dikerah’ bukan lagi sebagai ilmuan, tetapi sebagai pekerja pelbagai guna. Keikhlasan yang suatu masa dahulu menjadi nadi profesion kini semakin terhakis, bukan kerana hilang minat, tetapi kerana terlalu banyak gangguan yang mengalih tumpuan mereka dari kelas dan pelajar.

Kesan terhadap pelajar dan kualiti pengajaran

Bukan sedikit yang memulakan kerjaya akademik dengan cita-cita menjadi tokoh ilmuan. Namun, realitinya hari ini, mereka menghabiskan lebih banyak masa menyiapkan fail penilaian dan melaporkan pencapaian. Kelas menjadi tempat ‘mencukupkan jam kredit’ sahaja dan pelajar hanya dinilai berdasarkan sistem pemarkahan, bukan potensi sebenar.

Pensyarah mula berasa bersalah terhadap pelajar bukan kerana kurang memberi, tetapi kerana tidak mampu memberi sepenuhnya. Ada yang terpaksa memohon cuti untuk fokus mengajar dengan berkualiti, satu ironi dalam sistem pendidikan tinggi.

Apabila pensyarah tidak dapat memberi sepenuh jiwa dalam pengajaran, pihak yang paling rugi ialah pelajar. Kelas menjadi hambar, sesi perbincangan menjadi kaku dan proses pembelajaran tidak lagi bersifat dua hala. Pelajar tidak mendapat manfaat daripada pengalaman dan pemikiran kritis pensyarah kerana masa dan tenaga telah dihabiskan pada perkara lain.

Lebih menyedihkan, pelajar mula melihat pensyarah sebagai ‘penilai tugasan’ semata-mata, bukan lagi sebagai pembimbing kehidupan. Jurang antara ilmu dan nilai kemanusiaan semakin melebar, hasil daripada sistem yang memaksa pendidik menjadi robot produktiviti.

Impak terhadap kesihatan mental pensyarah

Seorang pensyarah sering dilihat sebagai individu yang tenang, berwibawa, dan berilmu tinggi, berdiri di hadapan kelas sambil menyampaikan ilmu dengan yakin dan penuh dedikasi. Namun, di sebalik wajah yang nampak teratur itu, tersembunyi pelbagai cabaran emosi dan mental yang jarang dibicarakan.

Beban kerja yang bertimbun bukan sahaja memberi kesan terhadap mutu pengajaran, malah turut menjejaskan kesihatan mental pensyarah. Kajian-kajian tempatan mendapati bahawa semakin ramai pensyarah mengalami tekanan perasaan, gangguan tidur, dan gejala keletihan emosi akibat tekanan kerja yang melampau.

Ironinya, dalam usaha mencapai kecemerlangan institusi, kesejahteraan insan yang menjadi teras institusi itu sendiri terabai. Tanpa perhatian terhadap aspek mental ini, pensyarah berisiko untuk mengalami 'burnout' yang akhirnya boleh menjejaskan prestasi akademik dan hubungan mereka dengan pelajar. Kesihatan mental pensyarah bukan isu peribadi, ia adalah isu institusi dan nasional.

Sebuah negara tidak boleh melahirkan pelajar yang cemerlang tanpa pensyarah yang sejahtera. Di sebalik senyuman dan slaid power point, ada hati yang perlukan penjagaan. Sudah tiba masanya, kita melihat pensyarah bukan hanya sebagai penyampai ilmu, tetapi juga sebagai insan yang layak untuk difahami, dihargai dan dilindungi kesihatannya.

Di tengah-tengah ribuan tugasan dan sasaran yang perlu dicapai, pensyarah tetap hadir ke kelas, bukan kerana paksaan, tetapi kerana masih ada segelintir daripada pelajar yang masih percaya bahawa satu jam di dalam kelas boleh mengubah jalan hidupnya.

Mereka terus mendidik, bukan kerana sistem menyokong mereka, tetapi kerana hati mereka tidak sanggup melihat anak bangsa kehilangan arah.

Sudah tiba masanya untuk kita membuka mata dan menilai semula sistem pendidikan tinggi yang ada. Pensyarah bukan mesin KPI. Mereka adalah manusia yang berkorban emosi, masa dan jiwa untuk mendidik manusia lain menjadi insan berguna. Jangan sampai kita hanya menyedari nilai mereka apabila api semangat itu padam sepenuhnya.

Pendidikan tulus: Masih ada sinar

Walaupun berdepan pelbagai tekanan, tidak semua pensyarah hilang semangat. Masih ramai yang berjuang dalam senyap. Mereka datang awal pagi untuk menyemak tugasan pelajar dengan teliti, menyediakan bahan kuliah interaktif dan membuka ruang diskusi di luar waktu rasmi semata-mata kerana jiwa mereka masih mahu mendidik.

Mereka mungkin tidak mencapai ‘output’ KPI seperti yang dimahukan pihak atasan, tetapi mereka mencapai sesuatu yang lebih besar menyentuh hati dan membentuk pemikiran pelajar. Inilah pendidik sebenar. Inilah jiwa yang tidak boleh diukur dengan angka.

Untuk menyelamatkan dunia akademik daripada kehilangan jiwanya, beberapa langkah wajar dipertimbangkan. Antaranya, pensyarah harus diberi ruang untuk fokus kepada pengajaran dan penyelidikan, manakala urusan pengurusan diserahkan kepada pasukan pentadbiran profesional.

Manakala sistem penilaian prestasi juga harus menilai kualiti interaksi dengan pelajar, bukan hanya berdasarkan jumlah geran atau jurnal. Selain itu, pihak universiti juga perlu menyediakan ruang sokongan mental dan emosi untuk pensyarah yang terbeban, bagi mengelakkan keletihan profesional.

Pensyarah bukan sekadar pekerja akademik. Mereka adalah penyuluh jalan untuk generasi akan datang. Jangan biarkan sistem memadam semangat mereka. Jangan biarkan tugasan pentadbiran merampas peluang mereka untuk menyentuh hati pelajar.

Dalam dunia yang semakin mementingkan data dan angka, kita mesti kembali kepada asas bahawa pendidikan adalah tentang manusia dan jiwa pensyarah adalah sumber utamanya. Jika kita tidak memelihara jiwa ini, maka institusi pendidikan tinggi hanya akan menjadi kilang sijil, bukan lagi tempat membina insan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Hazlin Falina Rosli
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor


Mohammad Aizham Mohammad Kassim
Pensyarah
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

ROSLINA BINTI DIN