fb fb fb fb fb

Di sebalik gelaran pensyarah; tugas, pengorbanan dan tanggungjawab membentuk insan

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Hari Raya Aidiladha seringkali mengundang kita untuk merenung erti sebenar pengorbanan iaitu suatu nilai luhur yang tidak hanya terbatas kepada ibadah korban semata-mata. Malah ia terzahir dalam menyelusuri kehidupan seharian, khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Sebagai seorang pensyarah, saya tidak terkecuali daripada merasai bahawa Aidiladha membawa makna yang amat besar mengajak diri untuk menilai kembali sejauh mana pengorbanan saya dalam memartabatkan dunia pendidikan tinggi.

Menariknya, Hari Guru tahun ini yang bertemakan "Guru Pemacu Reformasi Pendidikan" turut memberi ruang refleksi yang mendalam. Tema ini bukan sekadar slogan tahunan, malah menjadi suatu peringatan kepada setiap insan bergelar pendidik agar terus berperanan sebagai agen perubahan dalam landskap pendidikan negara.

Pengorbanan Yang Tidak Terlihat

Tugas sebagai pensyarah sering kali dilihat sebagai suatu pekerjaan profesional yang berpusat di dewan kuliah semata-mata. Namun, hakikatnya ianya jauh lebih mendalam. Ia bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membimbing, memotivasi, dan membentuk potensi seorang insan.

Pengorbanan masa adalah antara yang paling ketara; menyemak tugasan dan skrip peperiksaan sehingga larut malam, menyediakan bahan kuliah yang bersesuaian dengan keperluan pelajar, di samping menyertai pelbagai bengkel demi memastikan pendekatan pengajaran sentiasa relevan dan berkesan.

Bukan sekadar itu, pensyarah juga memainkan peranan sebagai pendengar dan penyokong emosi pelajar. Ada kalanya, pelajar hadir bukan sebab ingin bertanya tentang nota kuliah, malah mereka juga menagih kasi sayang. Mereka memerlukan platform untuk meluahkan perasaan.

Dalam dunia yang semakin mencabar ini, pensyarah turut berdepan tekanan keperluan untuk menerbitkan artikel jurnal, memenuhi KPI universiti, menjalankan penyelidikan di samping mengekalkan integriti dalam pentaksiran dan akademik. Namun, semua ini diterima sebagai sebahagian daripada amanah iaitu suatu bentuk korban peribadi yang tidak diminta untuk dihargai secara terbuka, malahan menjadi bekalan pahala yang diharap berkekalan.

Pensyarah Sebagai Pemacu Reformasi

Sebagai pensyarah, kita tidak boleh lagi berpuas hati dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran tradisional yang berpusatkan pensyarah. Dunia kini berubah, dan pendidikan juga perlu bergerak seiring. Di sinilah pengorbanan seterusnya dituntut pengorbanan untuk keuar daripada zon selesa.

Reformasi pendidikan menuntut kita untuk mendalami teknologi, membina pembelajaran aktif, dan mengintegrasi nilai-nilai murni dalam pengajaran. Kita perlu menyesuaikan diri dengan pelajar Generasi Z dan Alpha yang mahukan lebih daripada sekadar kuliah sehala. Mereka mahukan inspirasi, kreativiti dan ruang untuk berkembang.

Saya sendiri merasakan perubahan ini menuntut bukan sedikit usaha belajar semula, mencuba pendekatan baharu, dan menerima kritikan sebagai ruang penambahbaikan. Inilah jihad kecil dalam dunia ilmu pengorbanan intelek dan ego demi masa depan generasi baharu.

Inspirasi Daripada Kisah Nabi Ibrahim a.s.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. membawa nilai teladan yang luar biasa. Ia bukan sekadar tentang penyembelihan haiwan korban, tetapi penyerahan sepenuh hati terhadap perintah Allah SWT suatu pengorbanan jiwa yang penuh ikhlas dan keimanan.

Dalam konteks pendidikan, saya melihatnya sebagai simbolik kepada penyerahan masa, tenaga, dan kadangkala keinginan peribadi, demi menyempurnakan amanah sebagai penyampai ilmu. Kita mungkin tidak menyembelih sesuatu secara fizikal, tetapi kita melepaskan banyak perkara dalam diam waktu bersama keluarga, waktu rehat, bahkan kadangkala kesihatan diri demi mencapai matlamat; menjadikan pelajar kita insan yang berjaya dan berguna.

Melentur Buluh Biarlah Daripada Rebungnya

Reformasi pendidikan tidak berlaku dalam ruang kosong. Ia berlaku dalam dewan kuliah yang dipenuhi oleh generasi pelajar yang datang dengan pelbagai latar belakang, pemikiran segera, dan kecenderungan teknologi yang tinggi. Namun sayangnya, dalam kecanggihan itu, muncul pula sikap pasif, mudah melatah dan kurang adab iaitu suatu senario yang sangat merisaukan kami para pendidik.

Sebahagian pelajar hari ini terlalu bergantung kepada kaedah ‘spoon-feed’. Mereka hanya meminta ilmu itu disuapkan, tanpa berusaha mencarinya sendiri. Ramai yang hadir ke kelas bukan dengan minda yang bersedia, sebaliknya dengan harapan mereka akan “diilhamkan” secara ‘magic’. Ada segelintir yang menganggap slaid nota PowerPoint dan rakaman kuliah sudah memadai, tanpa menyedari bahawa ilmu tidak boleh diperoleh tanpa usaha dan kesungguhan.

Lebih membimbangkan ialah sikap mudah tersinggung dan cepat ‘sentap’ apabila diberikan teguran walaupun dengan niat membina. Ada pelajar yang melihat teguran sebagai serangan peribadi, bukan sebagai peluang untuk memperbaiki diri. Dalam dunia media sosial pula, mereka begitu pantas menyebarkan maklumat tanpa menyemak kesahihanannya. Mereka berkongsi berita, mengecam rakan atau pensyarah, malah menjatuhkan maruah tanpa rasa bersalah. Sensitiviti terhadap perasaan orang lain semakin menipis, dan ‘common sense’ yang dulunya dianggap asas manusiawi, kini seakan semakin dipinggiri.

Apa yang lebih mengecewakan ialah kurangnya adab dan hilangnya rasa hormat. Pensyarah bukan lagi dianggap sebagai tokoh ilmu yang wajar dihormati, tetapi dilihat setara atau bahkan lebih rendah kerana adanya tanggapan bahawa "customer is always right". Sikap tidak menghormati masa, tidak menjaga komunikasi rasmi, atau menggunakan bahasa sinis dalam mesej kepada pensyarah adalah antara tanda-tanda keretakan adab dalam pendidikan tinggi hari ini.

Namun, dalam mengharungi cabaran ini, kita jangan sekali mudah berputus asa. Kita sebagai pendidik perlu terus bersabar dan mendidik dengan penuh hikmah. Kita perlu memahami bahawa generasi ini lahir dalam dunia yang berbeza, dan peranan kita bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk nilai. Reformasi pendidikan tidak bermakna sekadar pembaharuan teknologi atau metodologi, tetapi juga pemulihan akhlak dan jiwa pelajar.

Pengorbanan Jambatan Keberkatan

Aidiladha dan Hari Guru kali ini mengajak kita untuk merenung dan menilai kembali. Kita mungkin kurang sempurna, tetapi jika adanya keikhlasan dalam perjuangan dan pengorbanan, pastinya reformasi pendidikan akan menjadi lebih bermakna. Pengorbanan yang dilakukan bukan untuk dikenang, malah diharapkan memberi kesan berpanjangan kepada generasi masa hadapan.
Generasi Z dan Alpha bukan tidak mampu berjaya, tetapi mereka perlu dipimpin dengan hikmah, diasuh dengan adab, dan disedarkan tentang tanggungjawab mereka sebagai penuntut ilmu. Inilah pengorbanan sebenar seorang pensyarah.

Bukan hanya menyampaikan ilmu, malah perlu memperkasakan akhlak, melentur jiwa, dan membina potensi insan. Semoga segala pengorbanan kita sebagai pendidik menjadi amal jariah, sekali gus menguatkan lagi semangat kita untuk terus berjuang dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar. Selamat Hari Raya Aidiladha dan Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar pendidik.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

foto penulis DR. NORZIAH OTHMAN"
Dr Norziah Othman
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kuantitatif,
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan,
Universiti Islam Selangor.

TETITIA YUSOFF