fb fb fb fb fb

Ilmu tanpa akhlak, buli dan penderaan menghancur batas kemanusiaan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Semakin dunia melangkah menuju era kemajuan dan pembinaan tamadun yang tinggi, masih wujud fenomena yang merendahkan martabat kemanusiaan. Lebih menyedihkan, fenomena ini tidak lagi berlaku secara terpencil, malahan semakin marak dilaporkan di media massa dan media sosial. Antara isu yang paling membimbangkan adalah peningkatan kes penderaan dan pembulian. Ia melibatkan Tindakan, sama ada secara fizikal, verbal, mental mahu pun emosi.

Kedua-dua gejala ini bukan sahaja melanggar ajaran syariat Islam yang mengutamakan kasih sayang, berbuat baik, dan hormat-menghormati, bahkan turut bertentangan dengan norma tradisi Melayu-Islam yang berasaskan adab, budi pekerti, kesopanan dan kesantunan.

Saban hari, kita dipaparkan dengan laporan tingkah laku manusia yang semakin menyimpang daripada landasan syariat dan nilai moral. Sifat kasih sayang dan belas kasihan kian pudar. Ia telah digantikan dengan kekerasan dan sikap melampaui batas kemanusiaan. Malahan, sikap tersebut kadang-kala lebih buruk daripada sifat kebinatangan, kerana haiwan tidak terikat dengan peraturan dan perundangan secara khusus tetapi masih mampu untuk menjaga kawanan masing-masing.

Manusia kini bertindak di luar peraturan, undang-undang, atau pertimbangan moral dan sanggup bertindak sewenang-wenangnya membunuh, seolah-olah nyawa dan maruah orang tidak mempunyai sebarang nilai. Lebih parah lagi, terdapat banyak kes penderaan terhadap pasangan atau anak-anak yang berakhir dengan kematian.

Di samping itu, wujud juga tindakan pembulian yang dilakukan secara fizikal dan mental sehingga mangsa mengalami trauma berpanjangan atau meninggal dunia.

Namun, timbul beberapa persoalan utama, mengapa tingkah laku menyimpang ini tetap berlaku dan semakin berleluasa dalam masyarakat yang semakin berilmu dan bertamadun? Bukankah pendidikan sepatutnya membentuk manusia yang berakhlak, beradab, dan berbudi pekerti? Ironinya, kes pembulian masih berlaku di tempat yang menjadi simbol kemuliaan ilmu seperti sekolah dan universiti.

Ini menimbulkan tanda tanya yang mendalam, apakah yang meracuni jiwa anak-anak muda hingga mereka tergamak menjadi pembuli bahkan pembunuh?

Lazimnya, mereka yang terlibat dalam penderaan atau pembulian mempunyai justifikasi tersendiri untuk menghalalkan tindakan mereka. Ada kalangan mereka yang beranggapan ia sekadar gurauan atau pengajaran kepada mangsa. Mereka berasa tidak bersalah kerana meyakini alasan tersebut membenarkan tindakan keji tersebut.

Hakikatnya, mangsa biasanya terdiri daripada golongan yang lemah, tidak berdaya melawan, atau berada dalam kedudukan yang terdedah kepada ancaman. Pemangsa pula sering memanfaatkan peluang dan ruang yang ada untuk melaksanakan niat mereka serta memilih masa yang tepat tanpa pengetahuan pihak lain.

Fenomena ini menjadi isyarat bahawa ilmu dan pendidikan semata-mata tidak memadai tanpa disertai pembinaan akhlak yang mulia. Ilmu yang tidak diiringi dengan nilai kemanusiaan boleh disalahgunakan untuk menjustifikasi perbuatan zalim. Dengan itu, pendidikan berasaskan akhlak, pembudayaan kasih sayang, empati, dan hormat sesama manusia perlu diterapkan sejak kecil lagi.

Tanpa akhlak, kemajuan yang dikecapi hanyalah ilusi semata-mata kerana di sebalik pencapaian tamadun kebendaan, kita sedang bergelut dengan keruntuhan akhlak yang menghakis kemerdekaan sebenar jiwa dan masyarakat.

Dalam kerangka syariat Islam, nyawa manusia adalah salah satu komponen penting yang wajib dipelihara menurut maqasid syariah. Prinsip hifz al-nafs (penjagaan nyawa) jelas mengharamkan sebarang bentuk penindasan atau perbuatan yang mengancam keselamatan fizikal, mental dan nyawa seseorang.

Jelas, fenomena ini bukan sahaja termasuk dalam jenayah yang berat, malah merupakan pelanggaran yang serius terhadap Syariat Islam, iaitu sebahagian daripada kesalahan dalam jenayah qisas. Dalam al-Quran, surah al-Ma’idah ayat 34, Allah SWT telah menegaskan, maknanya:

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

Ayat ini jelas menunjukkan nilai nyawa seorang manusia yang tinggi sehingga diibaratkan orang yang membunuh satu nyawa yang tidak bersalah umpamanya membunuh seluruh umat manusia. Walaupun ayat ini secara tersurat ditujukan kepada Bani Israil, namun aturan untuk tidak membunuh sesama manusia tersebut turut berlaku dalam konteks lebih luas, iaitu untuk semua umat manusia. Jadi menjaga nyawa manusia ini adalah sebahagian daripada tuntutan maqasid Syariah.

Begitu juga dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan, maknanya: Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya. (HR al-Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa seorang Muslim yang baik akan menyebabkan orang Muslim lain selamat dari lidah atau tangannya. Dengan erti kata lain, seorang Muslim yang baik tidak akan menyebabkan lidah atau tangannya menyakiti orang lain, apatah lagi sampai kepada tahap membunuh orang lain.

Jika ada salah mangsa buli sekalipun, pilihlah jalur perundangan untuk menyelesaikannya. Jangan jadi hakim sendiri untuk menjatuhkan hukuman yang mana buruk akibatnya kelak.

Tegasnya, pembulian dan penderaan tiada agama dan tiada tradisi setempat yang mengabsahkannya, sebaliknya ia adalah tingkah laku yang menyimpang daripada ajaran Islam dan nilai budi serta kesantunan Melayu-Islam. Kita masih lagi belum dapat memerdekakan bangsa dan masyarakat daripada gejala pembulian dan penderaan.

Sehubungan dengan itu, setiap pihak perlu memainkan peranan yang aktif untuk memutuskan rantaian jenayah ini. Jangan jadi sebahagian daripada pembuli dan pendera atau mangsa. Justeru laporkan segera kepada pihak berwajib sekiranya terdapat tindakan pembulian dan penderaan dalam masyarakat agar semua tempat termasuklah rumah, tempat kerja dan pusat pengajian menjadi tempat yang selamat kepada semua pihak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI