SAUDARA PENGARANG
Ibadah korban merupakan amalan yang dituntut bagi umat Islam setiap kali menjelang hari raya Aidiladha dan hari Tasyrik, iaitu hari yang berada dalam kalender bulan Zulhijjah. Ia merupakan lanjutan daripada peristiwa korban Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Allah SWT telah menguji keimanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Namun disebabkan keikhlasan pengorbanan baginda AS, Allah SWT telah menggantikan anakanda baginda dengan seekor kibas. Peristiwa ini dirakam dalam al-Qur’an, surah al-Saffat, ayat 103, maknanya: Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata:
“Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”.
Asasnya, pensyariatan ibadah korban mengandungi pelbagai hikmah tersendiri. Di antaranya adalah ia merupakan manifestasi rasa kesyukuran seorang hamba kepada Allah SWT. Rasa syukur ini timbul hasil daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ia kemudiannya digunakan untuk melaksanakan ibadah korban yang dilakukan secara tahunan agar ia dapat dinikmati oleh orang sekeliling. Perkara ini disebut dalam al-Quran, surah al-Kauthar, ayat 1-2, Allah SWT telah berfirman, maknanya:
"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)."
Ibadah korban mempunyai peranan signifikan dalam membangunkan kesedaran dalaman seorang Muslim terhadap nikmat rezeki yang diperolehnya. Dengan melaksanakan korban, seorang Muslim dilatih untuk bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan Allah SWT. Ia merangkumi rezeki berbentuk kesihatan, kewangan, kehartaan, kebahagiaan dan sebagainya. Bertitik tolak dari kesedaran dalaman inilah, mereka memilih untuk mengorbankan haiwan yang terbaik sebagai manifestasi rasa syukur kepada Allah SWT.
Jangan tunggu untuk menjadi kaya dan bercukupan bagi melaksanakan ibadah korban. Ini kerana apabila sudah kaya, belum tentu hati akan terdorong untuk berkorban mengenangkan betapa susahnya untuk mengumpulkan kekayaan. Begitu juga situasinya jika kita ingin berkorban hanya ketika mempunyai rezeki yang lebih atau ketika mencapai rasa kecukupan.
Apa yang jelas, kecukupan atau berlebihan itu perlukan pengorbanan sama ada secara sekali gus dikorbankan atau disimpan tabungan sedikit demi sedikit atau dicatu secara bulanan ataupun dengan bermain kutu dari awal bulan Muharram lagi. Dengan itu, kemampuan untuk berkorban dapat direalisasikan setiap tahun.
Jika tidak, ibadah korban tidak akan mampu dilaksanakan sepanjang hayat kerana ketidakcukupan wang ringgit terutamanya menjelang hari raya. Rasulullah SAW telah memberikan peringatan tegas kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak mahu melakukan ibadah korban dengan sabda baginda, maknanya:
"Sesiapa yang memiliki kelapangan (kemampuan) dan tidak melakukan ibadah korban maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami." (HR Ibn Majah).
Betapa ibadah korban digalakkan dalam Islam. Malah, bagi jumhur ulama, hukum melaksanakan korban adalah sunat mu’akkad (dituntut) bagi mereka yang mampu.
Hakikatnya, dalam rezeki yang diperolehi oleh kita, masih lagi terdapat rezeki orang lain. Ia boleh disalurkan melalui ibadah korban dan amalan lain seperti zakat, sedekah, hibah dan seumpamanya. Di samping itu, amalan berkorban juga dapat mengikis sifat bakhil yang ada dalam diri. Ia dapat menghapuskan sikap terlalu sayangkan harta dan tidak ingin dibelanjakan kerana takut kehabisan. Apa yang ada di tangan belum tentu jadi lagi milik kita, sebaliknya apa yang dikorbankan akan menjadi deposit pahala di akhirat kelak.
Ibadah ini juga mendidik umat Islam agar tidak tamak. Bagi mereka yang berkorban, ibadah ini bukan satu medan untuk menunjuk-nunjuk, dan ia bukan untuk dimanfaatkan oleh orang berkorban sahaja, sebaliknya daging korban secara sunatnya boleh dibahagikan kepada tiga tompok, iaitu 1/3 untuk orang yang berkorban dan ahli keluarganya, 1/3 untuk golongan fakir miskin dan 1/3 untuk sahabat handai, jiran tetangga dan orang kaya.
Bahkan lebih afdal sekiranya disedekahkan semuanya daging korban melainkan diambil sedikit untuk dimakan oleh orang yang berkorban. Perkongsian daging ini mencerminkan penghayatan terhadap nikmat rezeki yang tidak dimiliki secara mutlak oleh individu, sebaliknya sebahagiannya adalah hak orang lain yang wajar dikongsi bersama. Ia dapat menghapuskan rasa kikir, membuang sifat rakus di samping menggalakkan putaran rezeki sebagai lambang keadilan bagi pengagihan kekayaan dalam masyarakat Islam.
Sehubungan itu, umat Islam dituntut untuk mencari rezeki dengan cara halal, dan ia kemudiannya digunakan untuk melaksanakan ibadah korban dengan memilih haiwan ternakan yang halal lagi tayyib, iaitu haiwan yang diperolehi secara sah, bukan penipuan, haiwan yang sihat, tidak cacat serta cukup umur.
Hal ini kerana ibadah korban bukanlah satu tradisi penyembelihan haiwan secara tahunan semata-mata, tetapi ia adalah ibadah yang bertujuan untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT dan ia juga ibadah berbentuk kehartaan dan sosial. Ia mendidik umat Islam menjadi insan yang bertaqwa, penyayang, bersyukur dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling.
Dalam keadaan masyarakat yang semakin individualistik dan materialistik, ibadah korban mampu menjadi dasar kuat sebagai manifestasi rasa kesyukuran dengan berkongsi rezeki dan menyemarakkan rasa kekitaan dalam masyarakat Islam.
Justeru rebutlah peluang yang hanya hadir setahun sekali dan hanya dilaksanakan ketika masih bernyawa sahaja agar kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang beruntung lagi bersyukur. Jangan tunggu harta yang lebih untuk berkorban sebaliknya cubalah untuk mencukupkan tabungan korban agar ibadah ini dapat dilaksanakan oleh setiap Muslim pada tiap tahun dan ramai kalangan umat Islam dapat menikmati daging segar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
E-mel: