fb fb fb fb fb

Gelombang rakyat digital dan pengiktirafan Palestin: Kuasa baharu 'participatory journalism'

Foto hiasan/FB Fahmi Fadzil

SAUDARA PENGARANG

Sejak dekad 1990-an, isu Palestin sering dilihat dari lensa geopolitik ditentukan oleh pakatan kuasa besar, diplomasi tertutup, dan naratif media arus perdana Barat. Namun, landskap global kini berubah drastik. Pengiktirafan terhadap Palestin bukan lagi hanya hasil perundingan meja diplomatik, tetapi datang daripada tekanan moral dan politik yang lahir daripada rakyat sendiri hasil gelombang participatory journalism atau kewartawanan pembabitandan komunikasi akar umbi global.

Fenomena ini bukan kebetulan. Ia manifestasi kuasa baharu rakyat dunia, yang melalui media sosial dan saluran komunikasi alternatif, membentuk tekanan global yang semakin menggugat struktur kuasa tradisional. Di sinilah terletaknya kepentingan apa yang disebut sebagai “grassroot journalism”, iaitu kewartawanan akar umbi yang menyeberangi sempadan geografi dan ideologi untuk menyatukan naratif kemanusiaan sejagat.

Dari Oslo ke Era Digital: Perubahan Arah Sokongan

Ketika Perjanjian Oslo ditandatangani pada tahun 1993, dunia seakan menyaksikan harapan baharu untuk penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel. Namun realitinya, majoriti negara kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat dan sekutu Eropah, masih berpihak kepada Israel. Pada waktu itu, komunikasi dikawal sepenuhnya oleh media konvensional seperti CNN, BBC, dan agensi berita antarabangsa yang sering menapis naratif penderitaan rakyat Palestin.

Berbeza dengan hari ini, di mana kuasa komunikasi telah beralih tangan. Melalui platform seperti X (Twitter), Instagram, TikTok, dan YouTube, ribuan wartawan rakyat daripada wartawan dan rakyat tempatan di Gaza hingga kepada aktivis dan pempengaruh global telah menjadi sumber utama maklumat dan imej autentik. Rakyat dunia kini menonton secara langsung penderitaan Palestin tanpa tapisan propaganda.

Ini menjadikan participatory journalism sebagai bentuk diplomasi rakyat yang paling berpengaruh dalam dekad ini. Ia bukan sahaja membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap kezaliman yang berlaku, tetapi juga membina tekanan terhadap kerajaan masing-masing untuk menukar dasar luar mereka.

Dari Diplomasi Elit kepada Diplomasi Rakyat

Perbezaan paling ketara antara Oslo dan era kini ialah arus akar umbi rakyat yang semakin kuat. Ketika Oslo bergantung perundingan tertutup antara pemimpin politik, gerakan hari ini berasaskan suara rakyat yang menuntut akauntabiliti moral.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, lebih 60 peratus rakyat muda yang disoal selidik oleh Pew Research Center (2024) menyatakan mereka menyokong pengiktirafan negara Palestin. Tekanan ini telah mendorong peralihan wacana politik domestik, termasuk dalam kalangan anggota Demokrat di Kongres yang mula mempertikai dasar lama Washington terhadap Israel.

Fenomena yang sama berlaku di United Kingdom, Kanada, Perancis dan Jerman. Protes rakyat yang besar-besaran, dipacu oleh jaringan digital, telah memaksa media arus perdana untuk melaporkan dengan lebih seimbang. Rakyat global kini bukan sekadar penonton; mereka adalah aktor komunikasi aktif yang mencipta naratif baharu tentang keadilan dan kemanusiaan.

Colombia, Afrika Selatan dan Kuasa Moral Global Selatan

Dalam konteks institusi antarabangsa, dua negara memainkan peranan utama dalam mengubah arus geopolitik iaitu Colombia dan Afrika Selatan.

Presiden Gustavo Petro dari Colombia secara terbuka menuduh Israel melakukan “genosid” terhadap rakyat Palestin dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv pada 2024. Langkah ini bukan sahaja simbolik tetapi strategik; ia memberi isyarat kepada dunia bahawa Amerika Latin kini memilih berpihak kepada nilai kemanusiaan, bukan tekanan kuasa besar.

Sementara itu, Afrika Selatan telah membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan genosid, dan menjadi suara paling lantang dalam memperjuangkan hak Palestin di PBB. Keberanian ini mencetuskan gelombang solidariti dari negara-negara Afrika, Asia Barat, dan Asia Tenggara yang mula menilai semula hubungan diplomatik mereka.

Lebih penting lagi, inisiatif Colombia dan Afrika Selatan menyatukan blok Global Selatan untuk mencabar sistem lama di PBB termasuk cadangan untuk menolak kuasa veto lima negara tetap Majlis Keselamatan (P5) dan menggantinya dengan sistem undian majoriti dua pertiga. Usaha ini, jika diteruskan, boleh menjadi titik perubahan paling signifikan dalam sejarah diplomasi dunia moden.

Kuasa Media Akar Umbi: Dari Gaza ke Global

Apa yang menjadikan perubahan ini begitu berkesan ialah peranan media akar umbi melalui citizen journalism dan participatory journalism. Di Gaza sendiri, wartawan tempatan seperti Motaz Azaiza, Bisan Owda dan Plestia Alaqad telah menjadi ikon global yang menggantikan peranan agensi berita antarabangsa. Mereka melaporkan secara langsung, dalam bahasa manusia yang mudah difahami, tanpa suntingan politik.

Naratif mereka tersebar ke seluruh dunia, membentuk kesedaran kolektif yang mustahil dicapai 30 tahun lalu. Setiap imej, video dan suara yang mereka siarkan menjadi bentuk dokumentasi digital terhadap kekejaman perang dan seruan moral untuk bertindak.

Gerakan rakyat digital ini membentuk ekosistem komunikasi partisipatif; di mana wacana tentang Palestin kini dikawal oleh rakyat global, bukan elit politik. Ini adalah bentuk “kuasa lunak baharu” (new soft power) yang datang daripada simpati, empati, dan kesedaran kemanusiaan sejagat.

Menuju Reformasi Global

Cadangan yang dibawa oleh Colombia dan Afrika Selatan untuk mereformasi sistem veto di PBB tidak mungkin mendapat momentum tanpa dukungan rakyat global yang mendesak perubahan. Di sinilah participatory journalism memainkan peranan penting kerana ia bukan sekadar menyebarkan maklumat, tetapi membangunkan legitimasi moral terhadap reformasi institusi antarabangsa.

Dalam dunia pascapandemik, di mana masyarakat semakin celik maklumat dan skeptikal terhadap propaganda, participatory journalism menjadi alat pembetulan struktur kuasa. Ia menunjukkan bahawa diplomasi bukan lagi urusan eksklusif pemerintah, tetapi hasil daripada tekanan kesedaran kolektif yang terbina di ruang digital.

Kuasa Rakyat dalam Diplomasi Kemanusiaan

Perjuangan Palestin bukan hanya isu politik, tetapi ujian terhadap hati nurani global. Ketika media arus perdana gagal menegakkan keadilan informasi, rakyat dunia mengambil alih peranan itu dengan menjadi wartawan, penyampai, dan saksi kepada kebenaran.

Participatory journalism telah membuktikan bahawa naratif kemanusiaan boleh mengubah pendirian negara, mencabar sistem veto, dan mengangkat suara yang selama ini ditindas.

Dari Oslo ke era digital, dunia telah belajar bahawa perdamaian sejati tidak lahir daripada meja rundingan elit, tetapi daripada solidariti rakyat yang berani bersuara; yakni bersuara untuk mereka yang tidak lagi punya suara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MASTURA MAHAMED
Dr Mastura Mahamed
Pensyarah Kanan
Fakullti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
Felo Penyelidik,
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI