fb fb fb fb fb

CCTV di sekolah bukan sekadar pengawasan tapi amanah

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Gelombang kes salah laku dan jenayah melibatkan pelajar sekolah serta universiti kebelakangan ini benar-benar menggusarkan hati masyarakat. Daripada kes buli yang menular di asrama hingga kepada insiden tragik melibatkan rogol dan pembunuhan pelajar, semuanya menggambarkan realiti pahit, bahawa kita sedang berdepan krisis nilai dan moral generasi muda yang semakin membimbangkan.

Langkah Kementerian Pendidikan memperluaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah wajar dipuji. Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan keselamatan pelajar berada pada tahap tertinggi dan mencegah kejadian tidak diingini. Namun, dalam usaha menambah baik kawalan, kita juga perlu berhati-hati agar tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi semata-mata sebagai penyelesaian mutlak.

CCTV berperanan penting sebagai “mata tambahan” dalam memantau pergerakan pelajar dan mengesan tingkah laku mencurigakan. Ia boleh mencegah kejadian tertentu serta menjadi bahan bukti yang kukuh sekiranya berlaku insiden. Tetapi pada masa yang sama, kita harus menginsafi bahawa kamera hanya mampu melihat dan merakam, bukan membentuk keperibadian pelajar atau mencegah niat jahat sebelum ia berlaku.

Oleh itu, setiap pemasangan CCTV perlu disertai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, telus dan beretika. Siapa yang memantau rakaman? Bagaimana privasi pelajar dijamin? Dan apakah tindakan susulan jika rakaman menunjukkan insiden buli atau gangguan seksual? Tanpa garis panduan yang ketat, rakaman boleh disalah guna atau tersebar di media sosial yang mana ini akan menambah derita kepada mangsa dan mencemarkan nama sekolah.

Dalam masa yang sama, mekanisme laporan dalaman di sekolah juga perlu diperkukuh. Ramai pelajar enggan melapor kejadian kerana takut stigma, ancaman balas atau rasa tidak yakin terhadap sistem sekolah. Maka, saluran aduan selamat seperti talian kaunseling rahsia, platform laporan anonim, dan penglibatan kaunselor luar wajar diwujudkan bagi memastikan suara mangsa didengari tanpa rasa takut.

Apabila pelajar didapati bersalah, tindakan disiplin pula perlu diimbangi dengan pendekatan pemulihan dan intervensi psikologi. Hukuman tanpa pemulihan tidak akan menyentuh akar masalah. Begitu juga mangsa memerlukan perlindungan dan sokongan berterusan agar mampu pulih secara emosional dan sosial.

Hakikatnya, CCTV hanyalah satu komponen dalam ekosistem keselamatan dan pendidikan yang lebih luas. Ia perlu disokong oleh penglibatan ibu bapa, latihan pengurusan konflik kepada guru, dan dasar pendidikan yang menekankan kesejahteraan mental serta nilai moral pelajar.

Kita tidak boleh meletakkan beban penyelesaian masalah kepada teknologi semata-mata. Generasi muda hari ini hidup dalam dunia digital yang sarat tekanan dan kekeliruan identiti. Mereka memerlukan bimbingan, empati dan panduan moral, bukan sekadar pengawasan.

Akhirnya, pelaburan paling penting bukan pada jumlah kamera yang dipasang di sekolah, tetapi pada usaha membina manusia yang tahu membezakan antara betul dan salah, walaupun tiada siapa yang sedang memerhati. Itulah amanah sebenar dalam membentuk generasi yang beradab dan berjiwa sihat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NUUR ALIFAH ROSLAN
Dr Nuur Alifah Roslan
Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI