SAUDARA PENGARANG
Kalau kita imbas kembali, jam tangan satu ketika dahulu hanya berfungsi untuk menunjukkan masa. Malah, ada yang menjadikannya simbol status atau sekadar aksesori fesyen. Tetapi hari ini, jam tangan sudah mengalami transformasi besar.
Kehadiran jam tangan pintar atau jam pintar menjadikan pergelangan tangan kita bukan lagi tempat untuk melihat waktu semata-mata, sebaliknya ia menjadi “pembantu peribadi” yang sentiasa bersedia membantu dalam pelbagai urusan harian.
Kira Langkah ke Pemantauan Kesihatan Menyeluruh
Jam pintar mula diperkenalkan dengan fungsi asas seperti kira langkah harian, mengukur kadar degupan jantung, dan anggaran kalori terbakar. Fungsi ini sangat berguna kepada mereka yang ingin mengekalkan gaya hidup sihat. Namun, teknologi tidak berhenti di situ.
Hari ini, jam pintar dilengkapi dengan pelbagai sensor pintar yang mampu memantau pola tidur, peratusan oksigen dalam darah, tahap stres, malah memberi amaran jika pengguna menunjukkan tanda-tanda awal masalah kesihatan.
Bagi atlet atau mereka yang aktif bersukan, data prestasi seperti kelajuan larian dan zon degupan jantung boleh dipantau dengan lebih terperinci. Bagi pesakit pula, jam pintar membantu mereka memantau kesihatan dengan lebih mudah tanpa perlu kerap ke hospital.
Data Mudah Difahami
Apa gunanya data kesihatan kalau susah difahami? Inilah sebabnya pengalaman pengguna atau user experience atau UX dalam jam pintar sangat penting. Semua data kini dipersembahkan dalam bentuk grafik, carta, dan visual menarik melalui aplikasi telefon pintar.
Bayangkan seorang warga emas yang mahu tahu tentang tahap kesihatan jantungnya. Dengan grafik mudah dibaca, mereka dapat memahami maklumat penting hanya dengan sekali pandang.
Begitu juga seorang pelari maraton yang ingin menilai prestasi latihannya seperti maklumat seperti kelajuan, jarak dan kalori ditunjukkan dalam bentuk visual interaktif yang mudah difahami. Inilah kekuatan UX: menjadikan teknologi mesra pengguna dan relevan kepada semua golongan.
Lebih Sekadar Kesihatan
Jam pintar kini bukan sahaja tentang kesihatan. Ia juga menjadi pusat komunikasi mini di pergelangan tangan. Notifikasi WhatsApp, emel, kalendar mesyuarat, bahkan panggilan telefon boleh diurus dengan sekali imbas.
Bayangkan anda berada dalam mesyuarat, telefon disimpan di dalam beg, tetapi notifikasi penting muncul di jam pintar. Dengan hanya mengangkat tangan, anda boleh melihat mesej atau e-mel tanpa perlu mengganggu suasana. Bagi mereka yang sibuk, ciri ini menjadikan hidup lebih teratur dan efisien.
Selain itu, jam pintar juga boleh disambungkan kepada pelbagai aplikasi gaya hidup seperti muzik, peta navigasi, dan pembayaran tanpa tunai. Semuanya ada di hujung jari, atau lebih tepat lagi di pergelangan tangan anda.
Ciri Pintar Pengalaman Pengguna
Ramai mungkin tidak mengetahui istilah pengalaman pengguna atau user experience (UX) yang diperkenalkan oleh Don Norman, seorang jurutera di Apple. Beliau kini membangunkan jenama sendiri dalam bidang kajian UX. Beliau menekankan bahawa teknologi tidak boleh hanya mementingkan fungsi, tetapi mesti fokus kepada pengguna dan ianya mudah digunakan, selesa, dan memenuhi keperluan sebenar.
Falsafah inilah yang menjadi asas kepada perkembangan jam pintar hari ini. Daripada hanya sebuah jam digital dengan fungsi asas, ia kini menjadi gajet yang direka khusus untuk pengalaman pengguna yang menyeluruh. Dari reka bentuk muka jam yang boleh ditukar, paparan skrin sentuh yang mesra pengguna, hingga integrasi dengan aplikasi telefon pintar dan ini semuanya bertujuan menjadikan hidup kita lebih mudah.
Gaya Hidup Lebih Pintar
Kehadiran jam pintar juga mengubah cara kita melihat gaya hidup moden. Bagi golongan muda, ia menjadi aksesori teknologi yang “trendy” dan melengkapkan gaya fesyen. Bagi golongan profesional, ia adalah alat untuk meningkatkan produktiviti. Bagi golongan berusia, ia adalah alat pemantauan kesihatan yang membantu mereka hidup lebih sihat.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa jam pintar kini adalah sebahagian daripada gaya hidup pintar. Ia memberi pengguna lebih kawalan terhadap kehidupan seharian, sama ada dari aspek kesihatan, komunikasi, mahupun urusan kerja.
Masa Depan Jam Pintar
Melihat kepada perkembangan teknologi, masa depan jam pintar dijangka lebih canggih. Bayangkan jika satu hari nanti ia mampu mendiagnosis penyakit dengan lebih tepat, memberi amaran awal tentang serangan jantung, atau menjadi kunci utama untuk mengawal rumah pintar anda. Semua ini bukan lagi angan-angan, tetapi sesuatu yang sedang dibangunkan oleh syarikat teknologi dunia.
Yang pasti, evolusi jam pintar tidak akan berhenti. Ia akan terus berkembang dengan ciri-ciri baharu yang memberi manfaat lebih besar kepada pengguna. Dari sekadar jam tangan, ia kini sudah menjadi simbol gaya hidup digital yang pintar dan praktikal.
Maka, evolusi jam pintar adalah bukti bagaimana teknologi boleh mengubah cara kita hidup iaitu dari fungsi ringkas seperti kira langkah, ia kini menjadi gajet kesihatan, alat komunikasi, dan pembantu peribadi.
Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa penekanan kepada pengalaman pengguna atau UX bagi memastikan teknologi yang kita gunakan benar-benar mesra pengguna. Jam pintar bukan sekadar gajet. Ia adalah teman setia di pergelangan tangan, yang menjadikan hidup kita lebih sihat, lebih teratur, dan lebih pintar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Nurdayana Mohamad Noor
Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia
e-mel: