fb fb fb fb fb

Ejen Ali pacu minat STEM anak muda

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Minat pelajar Malaysia terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin berkurang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut data Kementerian Pendidikan, hanya sekitar 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains bagi tahun akademik 2023/2024, manakala lebih 100,000 pelajar gagal dalam subjek sains dan matematik dalam peperiksaan SPM tahun lalu.

Penurunan ini bakal memberi kesan negatif kepada pembangunan negara kerana STEM merupakan tunjang utama dalam memacu kemajuan teknologi dan inovasi. Tanpa generasi muda yang berminat dan mahir dalam STEM, cabaran untuk mencapai status negara maju akan menjadi lebih sukar.

Antara inisiatif yang dapat dimanfaatkan untuk memupuk minat pelajar terhadap STEM adalah melalui animasi kebanggaan negara iaitu Ejen Ali. Animasi yang popular ini bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan elemen pendidikan yang mengangkat nilai sains dan teknologi.

Dunia futuristik Cyberaya dalam animasi Ejen Ali menampilkan teknologi canggih yang berasaskan prinsip STEM seperti kecerdasan buatan, robotik, dan sumber tenaga boleh baharu iaitu Azurium.

Animasi Ejen Ali memberikan gambaran jelas kepada pelajar bahawa STEM bukan sekadar teori dalam bilik darjah, bahkan sesuatu yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

Salah satu elemen teknologi yang diketengahkan dalam filem terbaharu Ejen Ali The Movie 2 ialah sut SATRIA — sebuah sut perisai yang menggunakan kecerdasan buatan untuk membantu ejen MATA dalam misi mereka.

Sut ini bukan sahaja boleh berubah bentuk mengikut keperluan pengguna, malah dilengkapi dengan sistem pengesanan dan pertahanan. Penggunaan teknologi seperti ini dalam animasi memberikan inspirasi kepada pelajar untuk lebih mengenali dan memupuk minat dalam bidang teknologi serta kejuruteraan.

Sudah pasti, selain daripada menonton animasi Ejen Ali, peranan ibu bapa dan guru juga sangat penting dalam memupuk minat para pelajar terhadap STEM. Ibu bapa dan guru digalakkan untuk menerangkan konsep teknologi secara mudah dan relevan dalam kehidupan seharian.

Antaranya dengan membawa anak-anak ke pameran sains, menyokong mereka menyertai pertandingan inovasi dan melibatkan diri dalam aktiviti universiti berkaitan STEM. Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan pemahaman pelajar, malah memberi mereka peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan dunia sains dan teknologi.

Seterusnya, Ejen Ali juga membuka ruang perbincangan dalam keluarga dan sekolah tentang kepentingan nilai integriti, tanggungjawab sosial, dan etika dalam penggunaan teknologi.

Perkara ini amat penting kerana kemajuan teknologi perlu disertai dengan kesedaran moral agar tidak disalahgunakan. Animasi Ejen Ali mengajar pelajar bahawa menjadi seorang saintis atau jurutera bukan sahaja tentang kepintaran, tetapi juga perlu dilengkapi dengan sikap bertanggungjawab dan beretika.

Menerusi tayangan filem terbaharu Ejen Ali The Movie 2 yang mendapat tempat dalam hati rakyat Malaysia, harapan tinggi diletakkan agar animasi ini terus menjadi sumber inspirasi dan pencetus minat STEM dalam kalangan generasi muda tanah air.

Filem ini memaparkan teknologi lebih canggih dan kisah lebih mendalam, sekali gus menarik lebih ramai pelajar untuk melihat STEM sebagai bidang yang menyeronokkan dan penuh potensi untuk masa hadapan.

Secara keseluruhan, animasi Ejen Ali boleh berperanan sebagai medium hiburan dan berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai salah satu intervensi strategik dalam usaha memupuk minat para pelajar terhadap STEM.

Menerusi sokongan berterusan daripada ibu bapa, pendidik serta komuniti, usaha ini akan membantu melahirkan generasi yang lebih bersedia dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran teknologi pada masa hadapan.

Justeru, jom bersama memupuk minat STEM dalam kalangan para pelajar dengan cara yang menyeronokkan dan bermakna. Bertindak segera!

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AMIRUL EQHWAN RAHIM

Amirul Eqhwan Rahim
Pusat Asasi Sains
Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI