fb fb fb fb fb

Drama Melayu: Membentuk identiti atau penghakis nilai masyarakat

Drama bersiri “Iqbal” terbitan RTM ketengah isu berfesyen, namun patuh syariah/Foto Hiasan RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam era globalisasi yang dikuasai ledakan maklumat serta hiburan tanpa sempadan, pengaruh media terhadap pembentukan masyarakat tidak lagi dapat dinafikan. Televisyen, sebagai salah satu medium komunikasi paling berkuasa, bukan sahaja menjadi sumber hiburan dan informasi, tetapi juga wadah penting dalam membentuk nilai dan sahsiah penonton terutamanya dalam kalangan remaja yang masih mencari jati diri.

Dalam konteks Malaysia yang mengangkat konsep Malaysia MADANI, sebuah visi negara yang mengutamakan nilai ihsan, keadilan, dan kesejahteraan bersama, peranan media massa khususnya drama Melayu menjadi semakin penting dalam memupuk jati diri bangsa yang kukuh dan harmoni.

Media dan Pembentukan Akhlak

Dalam dunia serba digital hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa media memainkan peranan yang semakin dominan dalam membentuk cara berfikir, bertindak, malah menentukan apa yang dianggap ‘normal’ dalam kalangan generasi muda. Malah, ada sarjana berpendapat bahawa pengaruh media kini jauh mengatasi sistem pendidikan formal dalam mencorakkan pandangan hidup golongan ini.

Media bukan sekadar alat hiburan. Ia adalah cerminan masyarakat dan dalam masa sama, pembentuk masyarakat. Di satu sisi, media berupaya menyampaikan nilai murni seperti pendidikan, kesedaran sivik, dan tanggungjawab sosial. Namun dari sisi lain, terdapat juga lambakan kandungan yang menampilkan unsur negatif seperti penipuan, perkauman, seksualisasi melampau, serta pencabulan privasi. Kandungan begini, jika dibiarkan tanpa kawalan, boleh menghakis nilai-nilai murni dalam masyarakat secara perlahan tetapi pasti.

Kajian menunjukkan bahawa pendedahan berterusan kepada media yang longgar dari segi nilai moral boleh menjejaskan keseimbangan emosi dan sosial seseorang, terutama remaja. Lebih membimbangkan, budaya hedonistik yang suatu ketika dahulu hanya wujud di kota-kota besar, kini sudah sampai ke pelosok desa melalui capaian internet tanpa sempadan. Apa yang dahulunya asing, kini menjadi aspirasi.

Dalam hal ini, Albert Bandura pelopor kepada Teori Pembelajaran Sosial misalnya, menjelaskan bagaimana manusia belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Apabila media sering menampilkan watak yang berperilaku negatif tetapi tetap disanjung atau berjaya, mesej tersirat yang sampai kepada penonton terutama remaja ialah “Tak mengapa berbuat salah, asalkan berjaya.”

Ini bukan soal mahu menyalahkan media semata-mata. Media hanyalah cermin. Tetapi jika cermin itu retak dan bias, bayangan yang terhasil juga akan terpesong. Maka, tanggungjawab perlu dikongsi. Pihak media perlu lebih bertanggungjawab dalam menyusun kandungan, ibu bapa dan guru pula perlu menjadi penapis nilai yang aktif. Manakala dasar kawalan media perlu diperkemaskan agar ruang digital kita tidak menjadi ‘hutan’ tanpa peraturan.

Kita tidak mampu menutup internet atau melambatkan teknologi, tetapi kita mampu membina daya tahan nilai dalam generasi muda. Pendidikan media harus diberi penekanan bukan sekadar mengajar anak-anak menggunakan teknologi, tetapi juga memahami, menilai dan mempersoalkan kandungan yang mereka lihat setiap hari.

Drama Melayu dan pembinaan sahsiah

Sejak dahulu, drama Melayu telah berfungsi sebagai cerminan masyarakat. Ia bukan sekadar cerita fiksyen, tetapi wadah untuk menyampaikan nilai, norma dan pengajaran hidup. Banyak drama tempatan yang menampilkan elemen positif seperti kesabaran, kasih sayang, hormat-menghormati dan kemaafan yang selari dengan nilai-nilai ajaran Islam.

Namun kebelakangan ini, terdapat kebimbangan yang semakin ketara terhadap kecenderungan sesetengah drama menampilkan babak-babak sensitif yang tidak sesuai untuk tontonan umum. Lebih membimbangkan, adegan tersebut sering kali dipaparkan tanpa konteks pendidikan atau pengajaran yang jelas, sehingga menimbulkan kekeliruan moral dalam kalangan penonton.

Situasi ini turut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat, di mana sebahagian pihak berpendapat bahawa perkara sebegini tidak sepatutnya disiarkan kerana boleh merosakkan nilai masyarakat, manakala sebahagian lagi bersetuju dengan pendekatan tersebut atas alasan ia boleh dijadikan sebagai alat didikan dan peringatan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian.

Salah satu cabaran utama dalam industri drama Melayu adalah dilema antara keuntungan dan nilai. Ada kalanya, demi mengejar populariti dan sambutan penonton, drama mengorbankan prinsip agama, nilai serta etika. Fenomena ini harus diberi perhatian serius, kerana masyarakat akhirnya akan menanggung akibat, dalam bentuk keruntuhan moral, hilangnya adab, dan kekeliruan nilai.

Amanah Kepada Penggiat Seni

Pengarah, penulis skrip, dan penerbit drama perlu menyedari bahawa setiap hasil karya yang disiarkan adalah tanggungjawab mereka sepenuhnya. Pilihan struktur cerita dan gambaran visual yang dipaparkan bukan sahaja mencerminkan kreativiti seni, malah membawa implikasi moral dan sosial yang signifikan kepada masyarakat.

Sekiranya pengarah memburukkan imej agama atau memaparkan unsur-unsur sensitif secara tidak bertanggungjawab, khalayak, terutamanya remaja, berisiko salah faham terhadap ajaran agama dan nilai murni, sedangkan kesalahan sebenar terletak pada individu dan bukan ajaran agama itu sendiri.

Dalam konteks ini, untuk memastikan drama dapat dinikmati oleh golongan remaja dan penonton umum tanpa mendedahkan mereka kepada babak keganasan seksual yang nyata, pengarah digalakkan menggunakan pendekatan simbolik dan implisit.

Contohnya, adegan keganasan boleh digambarkan melalui metafora visual seperti pintu yang tertutup rapat atau watak yang masuk dan keluar dari bilik tanpa memaparkan kejadian secara eksplisit. Pendekatan ini membolehkan penonton memahami konteks cerita tanpa terdedah kepada paparan yang berpotensi mencetuskan trauma atau salah tafsir.

Dengan kaedah ini, karya drama dapat memenuhi fungsi hiburan dan pendidikan secara seimbang, sambil menghormati sensitiviti sosial dan nilai agama, sejajar dengan tanggungjawab seni sebagai medium dakwah dan pembinaan masyarakat.

Keseimbangan Antara Hiburan dan Pendidikan

Dalam dunia hiburan hari ini, drama Melayu masih menjadi antara pilihan utama rakyat Malaysia. Dari layar kaca ke platform penstriman digital, karya tempatan terus mendapat tempat di hati penonton. Namun persoalannya, adakah drama yang ditonton saban hari ini sekadar untuk hiburan semata-mata? Atau mampu menjadi wahana mendidik masyarakat dan membina peribadi bangsa?

Hakikatnya, drama Melayu yang berkualiti bukan hanya perlu menarik minat penonton dengan jalan cerita yang mendebarkan atau kisah cinta yang romantik. Ia juga wajib memuatkan nilai pendidikan dan mesej moral yang membina sahsiah masyarakat. Keseimbangan antara hiburan dan pengajaran inilah yang membezakan antara tontonan kosong dengan karya yang memberi impak psikologi dan sosial.

Dalam konteks ini, etika dalam penulisan dan penerbitan drama perlu diberi perhatian serius. Etika bukan sekadar mengelak paparan kandungan lucah, ganas atau sensasi murahan. Ia juga melibatkan integriti dalam menyampaikan mesej yang benar, adil dan seimbang. Drama yang bertanggungjawab tidak hanya menayangkan sisi gelap realiti masyarakat, tetapi juga perlu menawarkan jalan keluar penyelesaian yang membina, bukan merosak.

Kita tidak menafikan keperluan elemen seperti dramatik konflik, cinta, penderitaan, dan klimaks adalah rencah untuk menarik penonton. Namun, mesej tetap perlu dijaga. Jangan kerana mahukan ‘rating’ yang tinggi, prinsip diketepikan. Jangan kerana mahu viral, nilai dilacurkan. Di sinilah letaknya nilai besar sebuah karya seni, bukan hanya mencerminkan masyarakat, tetapi turut membimbing.

Kesimpulan

Drama Melayu memiliki potensi besar untuk menjadi agen perubahan sosial. Namun potensi ini hanya dapat direalisasikan jika semua pihak termasuk penerbit, pengarah, penulis skrip dan stesen televisyen komited terhadap tanggungjawab sosial masing-masing.

Dalam dunia yang semakin mencabar ini, khususnya dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mahu membina masyarakat adil, makmur dan berdaya saing berteraskan nilai Islam dan budaya bangsa, drama Melayu harus menjadi medium yang memperkukuh jati diri bangsa serta memupuk perpaduan.

Akhirnya, persoalan ini kembali kepada kita, siapakah yang sedang membentuk siapa? Media membentuk generasi muda, atau generasi muda yang mencorakkan arah media tersebut? Mungkin jawapannya ialah kedua-duanya dan sebab itulah tanggungjawab ini harus dipikul bersama.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

WAWARAH SAIDPUDDIN
Wawarah Saidpuddin
Pensyarah
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor.

DR HAZLIN FALINA ROSLI
Dr. Hazlin Falina Rosli
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI