SAUDARA PENGARANG
Kaedah pengajaran berpasukan atau co-teaching kini menjadi tumpuan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelaksanaannya dalam Kurikulum Persekolahan 2027. Idea dua guru dalam satu kelas menarik perhatian ramai.
Namun dalam dunia yang semakin digital, muncul pula persoalan baharu, bolehkah co-teaching diperhebat dengan bantuan kecerdasan buatan atau AI sebagai sokongan tambahan kepada dua tenaga pengajar manusia?.
Secara asasnya, co-teaching ialah konsep di mana dua guru berkongsi peranan dalam satu sesi pembelajaran. Ia bertujuan menjadikan pengajaran lebih interaktif dan memastikan pelajar mendapat perhatian yang seimbang.
Di atas kertas, ia tampak mudah, tetapi dalam pelaksanaannya timbul cabaran logistik. Dengan saiz kelas yang besar dan ruang terhad, ramai tertanya, adakah lebih baik dua guru mengajar bersama atau membahagikan kelas kepada dua kumpulan kecil?.
Persoalan lain yang turut timbul ialah, siapakah guru kedua dalam model ini? Adakah KPM akan menambah pengambilan tenaga baharu, atau guru sedia ada akan digilirkan mengikut jadual?.
Setakat ini, pelan co-teaching dilaporkan lebih menumpukan latihan dan penataran guru sedia ada, bukan pengambilan baharu secara besar-besaran.
Ini bermakna beban kerja guru berkemungkinan bertambah, terutama dalam aspek perancangan dan koordinasi.
Oleh itu, penting bagi pihak sekolah memastikan jadual waktu dan tanggungjawab diagihkan secara adil supaya semangat co-teaching tidak berubah menjadi beban berganda.
Namun, cabaran co-teaching bukan sekadar soal ruang atau tenaga kerja. Dalam mana-mana sistem pengajaran berpasukan, ada risiko berlakunya pertindihan kandungan, ketidaksefahaman gaya dan ketegangan antara pengajar.
Jika seorang lebih dominan manakala seorang lagi pasif, murid mungkin keliru dan hilang fokus. Suasana pembelajaran juga boleh terganggu jika dua guru tidak sepakat dalam hala tuju pengajaran.
Dalam konteks sekolah, hal ini lebih mencabar kerana beban tugasan guru sedia tinggi, dan masa untuk merancang bersama amat terhad. Di sinilah AI boleh menjadi penyokong senyap yang berkesan.
Dengan perancangan digital yang dibantu AI, dua guru boleh berkongsi pelan pelajaran dalam satu platform, memantau bahagian yang telah diajar dan mengenal pasti isi yang bertindih.
AI juga boleh mencadangkan pembahagian tugas yang seimbang berdasarkan kelebihan dan gaya pengajaran setiap guru.
Ini membantu mewujudkan keseimbangan dan rasa hormat profesional, sekali gus mengurangkan risiko geseran antara rakan sejawat.
Selain itu, sistem AI berupaya menganalisis data kehadiran dan prestasi pelajar secara masa nyata. Dua guru boleh menilai bersama siapa yang tertinggal atau kehilangan fokus tanpa perlu menunggu ujian berkala.
AI memberikan maklum balas segera, membolehkan guru menyesuaikan pendekatan pengajaran mereka pada sesi berikutnya.
Dalam kelas yang besar, inilah bentuk bantuan yang boleh memastikan tiada pelajar terlepas daripada radar perhatian guru. Dalam bidang perubatan, pendekatan berpasukan seperti ini telah lama diamalkan.
Doktor pakar berganding dengan pegawai perubatan dalam proses latihan klinikal yang turut melibatkan pelajar perubatan.
Hubungan ini bukan sekadar membantu tugasan harian, tetapi membentuk suasana pembelajaran berpasukan di wad dan klinik.
Dalam sistem ini, setiap lapisan tenaga perubatan saling belajar, pakar membimbing, pegawai perubatan memantapkan kemahiran, manakala pelajar memerhati dan meniru amalan terbaik.
Kini dengan kemajuan teknologi kesihatan, sistem sokongan digital juga digunakan untuk menjejak kemajuan latihan dan menilai prestasi dengan lebih objektif.
Prinsip yang sama boleh diterapkan di sekolah, apabila co-teaching disokong oleh sistem pintar yang membantu guru memantau pembelajaran murid tanpa menjejaskan hubungan insani di dalam kelas.
Pelaksanaan co-teaching yang disokong AI juga menuntut latihan baharu untuk guru. Literasi digital, kemahiran membaca data dan etika penggunaan teknologi perlu dikuatkan supaya guru mampu mengawal, bukan dikawal oleh sistem.
Dalam hal ini, KPM wajar memperluas penataran profesionalisme guru agar selari dengan perubahan paradigma ini.
Apabila teknologi dan nilai kemanusiaan digandingkan secara bijak, pendidikan menjadi lebih adil dan relevan. Akhirnya, keberkesanan co-teaching bergantung kepada koordinasi, komunikasi dan rasa saling percaya.
AI hanya alat yang membantu memperkemas peranan tersebut. Dua guru dalam satu kelas ialah simbol kekuatan kolaborasi, tetapi apabila dibantu sistem pintar yang menstrukturkan pengajaran, hasilnya bukan sekadar pembelajaran yang efisien, tetapi juga hubungan kerja yang harmoni.
Seperti pasukan perubatan yang bergantung kepada kecekapan teknologi dan empati manusia, dunia pendidikan juga sedang menuju ke arah keseimbangan yang sama.
Apabila dua guru berpakat dan AI berfungsi sebagai “guru ketiga” yang senyap namun berkesan, kita sedang menyemai budaya pendidikan baharu yang pintar, kolaboratif dan berperikemanusiaan.
Inilah wajah sekolah masa depan yang ingin kita bina dimana tempat ilmu, nilai dan teknologi bergandingan dalam satu misi yang sama.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia