fb fb fb fb fb

Celik digital: Profesional maklumat perlu proaktif didik masyarakat

Foto hiasan RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam era pascapandemik yang menyaksikan lonjakan penggunaan teknologi digital, masyarakat Malaysia kini berdepan lambakan maklumat tanpa sempadan. Malangnya, tidak semua mampu membezakan antara maklumat sahih dan berita palsu; antara fakta dan fitnah. Di sinilah letaknya kepentingan profesional maklumat, satu golongan yang sering tidak diberi perhatian sewajarnya, namun hakikatnya menjadi tunjang kepada usaha membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.

Siapakah mereka ini? Profesional maklumat merangkumi pustakawan, pengurus maklumat, pakar dokumentasi, juruarkib dan pegawai sains maklumat yang dilatih secara formal untuk mentadbir, menilai, menapis, menyusun serta menyampaikan maklumat kepada khalayak dengan cara yang sistematik dan bertanggungjawab. Mereka tidak hanya bekerja di perpustakaan atau arkib; peranan mereka kini berkembang ke ruang siber, pendidikan, industri kreatif malah agensi keselamatan negara.

Ejen Literasi Digital Terlatih

Profesional maklumat memainkan peranan penting sebagai ejen literasi digital. Mereka membimbing masyarakat sama ada pelajar, penjawat awam, komuniti desa mahu pun warga emas untuk memahami konsep asas digital seperti privasi dalam talian, ketulenan maklumat, keselamatan siber dan etika penggunaan media sosial.

Kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2023 menunjukkan bahawa 43% pengguna internet di Malaysia tidak pasti sama ada sesuatu maklumat yang diterima di media sosial adalah sahih. Angka ini menggambarkan jurang literasi maklumat yang masih perlu dirapatkan, dan profesional maklumat ada di barisan hadapan untuk menyelesaikannya.

Sebagai contoh, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya giat melaksanakan bengkel dan siri latihan digital kepada komuniti setempat. Inisiatif ini membuktikan bahawa profesional maklumat bukan sekadar penjaga buku, tetapi menjadi pendidik yang proaktif dalam mengangkat literasi digital masyarakat.

Menangani Ancaman Maklumat Palsu dan Maklumat Salah

Seiring dengan penyebaran maklumat yang begitu cepat, masyarakat juga berdepan risiko besar terhadap penyebaran maklumat palsu dan maklumat salah, khususnya dalam isu kesihatan, politik dan agama. Profesional maklumat berperanan sebagai ‘penapis maklumat’ (information gatekeepers) yang meneliti sumber dan menyaring kandungan sebelum dikongsikan kepada umum.

Mereka berupaya menganalisis kredibiliti sumber maklumat menggunakan kerangka penilaian akademik seperti CRAAP Test (Currency, Relevance, Authority, Accuracy, Purpose) yang terbukti berkesan dalam menilai ketulenan maklumat.

Menurut Laporan Reuters Institute Digital News 2024, Malaysia disenaraikan sebagai antara 10 negara berada pada tahap kebimbangan tertinggi terhadap penyebaran berita palsu, iaitu 67% rakyat mengaku sukar untuk membezakan berita benar atau palsu.

Ini jelas menunjukkan peranan profesional maklumat bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak. Malah, dalam konteks Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, beberapa NGO tempatan turut berganding bahu dengan profesional maklumat untuk menyediakan pusat semakan fakta bagi membendung penularan maklumat palsu politik.

Memperkasakan Komuniti Melalui Budaya Digital Sihat

Budaya digital sihat bukan hanya tentang penggunaan teknologi, tetapi merangkumi amalan menghormati privasi, menjaga keselamatan data, menghargai hak cipta dan berkomunikasi secara berhemah di ruang digital. Profesional maklumat mendorong masyarakat untuk mengamalkan etika digital melalui pendidikan berterusan, penggunaan sumber maklumat sah seperti perpustakaan digital, repositori institusi dan platform rasmi kerajaan.

Program seperti Digital Malaysia oleh Kementerian Komunikasi dan Penerangan telah membuka ruang kepada profesional maklumat untuk turut serta dalam pembangunan kandungan pendidikan digital, khususnya untuk komuniti luar bandar. Di Sabah dan Sarawak, misalnya, profesional maklumat memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pusat maklumat desa yang dilengkapi internet.

Mereka bukan sahaja membantu penduduk mendapatkan maklumat pertanian, kesihatan dan peluang pekerjaan, malah mengajar kemahiran asas teknologi kepada golongan yang kurang terdedah dengan dunia digital.

Di kawasan bandar pula, kerjasama antara perpustakaan awam dan pusat komuniti digital semakin aktif dalam mendidik masyarakat tentang ‘jejak digital’ (digital footprint), keselamatan kata laluan, dan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab di media sosial. Ini secara tidak langsung menyemai sikap berhati-hati dalam kalangan pengguna, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih bijak dalam menilai, memilih dan menyampaikan maklumat.

Menyokong Dasar Negara dalam Transformasi Digital

Peranan profesional maklumat juga sejajar dengan dasar negara seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital serantau menjelang 2030. Dalam kerangka ini, profesional maklumat menjadi pemangkin kepada matlamat menjadikan rakyat celik teknologi dan celik maklumat secara serentak. Mereka membantu menjayakan visi kerajaan dalam meningkatkan daya saing negara melalui pengurusan maklumat yang cekap dan etikal.

Lebih penting, mereka juga terlibat dalam pembangunan kurikulum pendidikan maklumat di peringkat sekolah dan universiti. Ini dapat dilihat melalui penyertaan profesional maklumat dalam Jawatankuasa Penasihat Akademik di pelbagai IPT yang membangunkan program literasi maklumat sebagai kursus wajib bagi pelajar universiti.

Kesimpulan

Kemajuan teknologi digital hanya akan menjadi manfaat jika disertai dengan kefahaman dan literasi yang tinggi. Dalam suasana media sosial yang sarat emosi, sensasi dan provokasi, masyarakat Malaysia memerlukan ‘penunjuk arah’ maklumat dan profesional maklumat ialah individu yang paling layak memikul amanah ini.

Sebagai negara yang sedang menuju era digital sepenuhnya, sudah tiba masanya kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan masyarakat umum mengiktiraf peranan penting profesional maklumat. Melabur dalam kepakaran dan pengupayaan mereka bukan sekadar membina satu profesion, tetapi membina asas tamadun maklumat yang sihat dan berintegriti.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD ZAIRUL MASRON
Mohd Zairul Masron
Pensyarah Kanan
Koordinator Media Sosial
Pejabat Komunikasi Strategik
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

MAT YUNUS BIN SABRI