fb fb fb fb fb

APC bukan hak, satu amanah dan cerminan integriti penjawat awam

Foto hiasan/Arkib BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam perkhidmatan awam. Ia bukan sekadar ganjaran tahunan, tetapi simbol amanah, prestasi dan nilai integriti yang dijunjung oleh penjawat awam. Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan, APC merupakan penghargaan kerajaan kepada anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang.

Perkhidmatan cemerlang adalah perkhidmatan yang diberikan oleh seseorang anggota Perkhidmatan Awam yang mutu atau penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya. Perkhidmatan diberikan itu boleh dijadikan contoh dan ikutan, serta memberi pengaruh yang menggerakkan kecergasan bekerja dan daya usaha anggota Perkhidmatan Awam yang lain.

Namun, bagaimana kita sebagai individu dan organisasi memaknai APC? Adakah ia benar-benar memberi impak kepada budaya kerja, atau sekadar menjadi ritual yang dipertikaikan setiap tahun? Setiap kali tiba musim pemilihan APC, suasana dalam organisasi berubah. Ada yang berdebar, ada yang menunggu penuh harapan, tidak kurang juga yang mula berprasangka. Sebahagian besar hanya mendiamkan diri, tetapi di hati, ada perasaan yang bergolak: “Kenapa bukan kita?” atau “Dia tu layak ke?”

Sebagai pentadbir universiti dan penjawat awam yang telah melalui pelbagai dimensi tanggungjawab, saya terpanggil untuk menyuarakan pandangan ini. Bukan untuk menegur secara membuta tuli, tetapi untuk menjentik hati dan menyedarkan kita semua akan makna sebenar Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Ramai dalam kalangan kita menyangka bahawa APC adalah hak automatik setelah beberapa tahun bekerja. Malah, ada yang merasakan mereka layak hanya kerana hadir setiap hari, balik lewat setiap petang, dan jarang ambil cuti.

Benar, disiplin itu penting. Tetapi APC bukan ganjaran kepada kehadiran, ia adalah pengiktirafan kepada sumbangan luar jangka dan prestasi melebihi jangkaan. Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2002, APC diberikan kepada pegawai yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang berdasarkan pelbagai kriteria termasuk Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT), sumbangan khas, nilai murni, serta impak kepada organisasi. APC bukan soal siapa lama, siapa rajin bersuara, siapa popular atau siapa “anak emas”. APC adalah untuk kita yang bekerja bukan hanya melengkapkan tugasan, tetapi memberi makna kepada tugasan itu.

Buat kita yang menerima APC, tahniah. Tetapi perlu diingat, anugerah ini bukan puncak kejayaan. Ia adalah permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Kita kini menjadi simbol kepada nilai kerja cemerlang, dan tindakan kita selepas ini akan menentukan sama ada pengiktirafan itu benar-benar wajar atau sekadar formaliti. Jangan pula berubah sikap selepas menerima APC misalnya memilih kerja, dan merasa diri lebih hebat. Ini bukan cemerlang, ini rosak. Orang yang benar-benar cemerlang tidak menghebahkan kehebatan mereka. Mereka bekerja senyap, tapi hasilnya mengangkat ramai. Itulah cemerlang sebenar.

Ini bahagian paling sukar. Apabila nama sendiri tidak diumumkan, dan nama lain yang disebut, hati mudah rasa terluka. Kadangkala kita rasa, “Kenapa dia? Aku yang buat semua kerja.” Kekecewaan itu wajar. Tetapi berhati-hatilah agar ia tidak mengubah siapa kita. Ada antara kita yang selepas itu mula hilang semangat, bekerja sambil lewa, menyebarkan rasa negatif, malah membenci sistem.

Jangan begitu. Jangan gadai integriti kita hanya kerana kecewa dengan satu keputusan. Kerja kita tetap dinilai. Jika bukan oleh manusia, oleh Tuhan. Dan pengiktirafan paling tulen adalah daripada hati nurani sendiri. Boleh jadi kita tak dipilih tahun ini kerana Allah sedang melatih jiwa kita untuk bersabar dan memperbaiki niat.

Kita bukan hanya pelaksana sistem, kita penentu naratif kepercayaan warga organisasi. Kalau kita lemah dalam membuat penilaian, memilih calon APC hanya untuk “jaga hati”, “ikut giliran”, atau “elak bising belakang”, maka kita sedang merosakkan integriti institusi yang kita pimpin. Pemilihan APC bukan boleh dibuat dalam mesyuarat satu jam, tanpa semakan prestasi yang adil dan menyeluruh.

Kita mesti sedia menjawab, bukan kepada staf semata, tetapi kepada amanah yang kita pegang. Kita telah melihat betapa besarnya kesan apabila pentadbir membuat pemilihan dengan telus. Staf rasa dihargai, dan yang tidak terpilih pun menerima keputusan dengan hati yang lapang kerana mereka percaya pada keadilan sistem. Kalau kita takut staf marah bila tak terpilih, maka kita tidak layak duduk di kerusi pentadbiran. Ketelusan bukan hanya pada proses, tapi pada keberanian untuk membuat keputusan yang adil, walaupun tidak popular.

Kita juga tidak boleh meletakkan seluruh beban penghargaan kepada APC semata. Pengiktirafan perlu wujud sepanjang masa. Sekeping nota atau surat terima kasih, pujian terbuka dalam mesyuarat, peluang menyertai kursus, malah sekadar senyuman, semua ini membina budaya yang positif. Organisasi yang matang tidak menunggu setahun sekali untuk menghargai. Ia menyuburkan semangat kerja setiap hari. Maka kita perlu latih diri dan pemimpin kita untuk melihat dan menghargai.

Tidak semua orang akan mendapat APC. Namun, Tidak semua yang tidak terpilih itu tidak layak dan tidak semua yang terpilih itu benar-benar terbaik. Tetapi semua orang boleh menjadi cemerlang, jika bekerja dengan hati. Inilah kenyataan yang perlu diterima dengan redha dan positif. Kita tidak boleh mengukur segala nilai kerja hanya dengan satu sijil. Teruskan memberi dan mencipta nilai, kerana keberkatan itu lebih luas dari pengiktirafan formal.

Mari kita tanya diri sendiri: Adakah kita bekerja untuk dipuji? Atau kita bekerja untuk memberi makna? Bila kita kecewa, adakah kita semakin lemah atau kita semakin kuat? Penjawat awam sejati tidak bergantung kepada sijil untuk rasa bernilai. Kita tahu siapa diri kita. Kita tahu kita berkhidmat untuk negara. APC mungkin tak sampai ke tangan kita, tetapi keberkatan akan sampai ke hidup kita.

Akhirnya, APC hanya sekeping sijil. Yang kekal ialah nilai diri kita sebagai penjawat awam yang ikhlas, berprestasi dan berintegriti. Jangan kejar APC sampai hilang maruah diri. Jangan kejar pengiktirafan sampai hilang semangat memberi. Marilah kita bekerja bukan untuk menunggu pengiktirafan, tetapi untuk mencipta kesan. Marilah kita menjadi penjawat awam yang bekerja dengan hati, menjunjung nilai, dan terus memberi tanpa mengira ganjaran. Cemerlang bukan kerana terpilih. Cemerlang kerana kita memilih untuk terus berbakti, walau tidak dipilih.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NOOR AFZAN ZAKARIAa
Noor Afzan Zakaria
Timbalan Pendaftar
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

MAT YUNUS BIN SABRI