fb fb fb fb fb

BTR1 Malaysia dan peranan baharu bidang alam bina

Gas karbon dioksida yang telah diperangkap dan dimineralkan dalam batuan basalt/Foto UM

SAUDARA PENGARANG

Pada 6 Mei 2025, Malaysia telah melancarkan Pelaporan Ketelusan Dwitahunan Pertama (BTR1) bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap tindakan iklim yang telus dan boleh diukur. Buat pertama kali, negara telah mengemukakan inventori pelepasan gas rumah hijau, strategi mitigasi, serta petunjuk kemajuan yang sejajar dengan Perjanjian Paris.

Antara strategi utama yang digariskan ialah tumpuan negara kepada pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS)—satu pendekatan teknologi yang berpotensi besar dalam mengurangkan pelepasan dari sektor industri berat, penjanaan tenaga dan pembinaan.

Beberapa minggu sebelum pelancaran BTR1, pada 25 Mac 2025, Malaysia telah meluluskan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (Akta CCUS)—rangka undang-undang pertama yang menyeluruh untuk mengawal selia aktiviti pemerangkapan, pengangkutan, penggunaan dan penyimpanan kekal CO₂. Gabungan BTR1 dan Akta CCUS ini menandakan titik perubahan dalam aspirasi perubahan iklim negara.

Namun dasar sahaja tidak mencukupi. Perubahan sebenar memerlukan inovasi yang praktikal dan boleh dilaksanakan. Di sinilah penyelidikan kami menyumbang ke arah perubahan yang dimaksudkan.

Menukar karbon menjadi bahan binaan

Di Universiti Malaya, kami merupakan sekumpulan penyelidik pelbagai disiplin yang sedang melaksanakan projek bertajuk Mineral Carbonation for Carbon Capture and Utilization in Malaysian Basalt Formation and Concrete. Objektifnya ialah memerangkap gas karbon dioksida, memineralkannya dalam batuan basalt, dan menggunakannya dalam pembuatan konkrit. Projek ini merangkumi tiga fasa utama:

Pakej Kerja 1, diketuai oleh Dr Hijaz Kamal Hasnan, menilai potensi mineral basalt Malaysia, terutamanya dari Segamat, untuk menyerap CO₂. Batuan ini kaya dengan kalsium, magnesium dan silikat besi—mineral yang secara semula jadi bertindak balas dengan CO₂ dan membentuk karbonat stabil. Kajian lapangan dan analisis makmal telah mengesahkan kesesuaiannya.

Pakej Kerja 2, diketuai oleh Dr Muhd Ridha Muhamad, menumpukan kepada pembinaan reaktor karbonasi berskala makmal. Reaktor ini membolehkan pengawalan tekanan, suhu dan kadar pencampuran untuk mempercepat proses karbonasi yang lazimnya mengambil masa ribuan tahun secara semula jadi.

Pakej Kerja 3, yang saya ketuai, menumpukan kepada aplikasi bahan karbonat dalam konkrit. Kami menghasilkan konkrit prototaip menggunakan mineral basalt yang telah dikarbonkan, dalam bentuk agregat dan bahan penggantian sebahagian simen.

Fokus semasa adalah pada aplikasi bukan struktur seperti blok laluan pejalan kaki, pembahagi jalan dan dinding penahan. Hasilnya ialah bahan binaan, bukan sahaja mesra iklim, malah berupaya menyimpan karbon secara kekal dalam struktur binaan.

Mengapa konkrit penting dalam isu perubahan iklim

Konkrit adalah bahan binaan paling banyak digunakan di dunia. Namun, pengeluaran simen iaitu komponen utamanya, menyumbang kira-kira 7–8% daripada pelepasan CO₂ dunia. Setiap satu tan simen yang dihasilkan melepaskan hampir satu tan karbon dioksida. Ini berpunca daripada kedua-dua proses kimia dalam penguraian batu kapur serta penggunaan bahan api fosil dalam tanur suhu tinggi.

Melalui karbonasi mineral, gas CO₂ yang ditangkap akan bertindak balas dengan mineral reaktif dalam basalt dan membentuk karbonat yang stabil. Apabila digunakan dalam konkrit, karbon ini kekal terkunci selama berdekad—atau berabad—lamanya.

Lebih baik lagi, apabila basalt yang telah dikarbonkan digunakan sebagai pengganti sebahagian simen, kita mengurangkan keperluan kepada klinker—komponen paling intensif karbon dalam pengeluaran simen. Ini merupakan pendekatan dua-dalam-satu: mengurangkan dan menyimpan pelepasan.

Menghubungkan sumber tempatan dengan matlamat global

Malaysia mempunyai sumber basalt semula jadi yang banyak, serta hasil sampingan industri seperti fly ash (abu terbang dari pembakaran arang batu stesen janakuasa elektrik) dan GGBS (sanga buangan kilang pembuatan keluli). Sebelum ini bahan-bahan tersebut dibuang, namun kini boleh dijadikan bahan mentah untuk penyerapan karbon.

Pendekatan kami menggunakan sumber tempatan dan kaedah pengeluaran sedia ada, menjamin keberkesanan kos dan mudah skala. Penyelidikan ini selari dengan aspirasi yang digariskan dalam BTR1: memperkukuh ekonomi kitaran, menggalakkan inovasi hijau, dan membangunkan kapasiti CCUS tempatan.

Dengan rangka undang-undang CCUS yang sudah berkuat kuasa dan matlamat kebangsaan yang jelas, asas telah disediakan untuk membawa penyelidikan seperti ini ke peringkat pelaksanaan dan pengkomersilan.

Melangkah ke hadapan

Pada bulan Ogos ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan dan Pameran APAC CCUS 2025 (26–27 Ogos, Kuala Lumpur). Acara ini akan menghimpunkan pakar pemerangkapan karbon, pembuat dasar, dan inovator teknologi dari seluruh rantau Asia Pasifik.

Justeru, kami berharap untuk berkongsi dapatan kami di pentas tersebut, bukan sahaja sebagai penyelidik, tetapi sebagai sebahagian daripada naratif perubahan iklim negara. Dalam era baharu tanggungjawab iklim ini, bahan biasa seperti batu dan konkrit boleh menjadi agen perubahan yang luar biasa.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

ZAHIRUDDIN FITRI ABU HASSAN
Zahiruddin Fitri Abu Hassan
Pensyarah Kanan/Pakar patologi bangunan
Jabatan Ukur Bangunan
Fakulti Alam Bina
Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

MAT YUNUS BIN SABRI