fb fb fb fb fb

Bebas penjajah, adakah jiwa kita masih terperangkap?

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Tanggal 31 Ogos setiap tahun, Jalur Gemilang akan berkibar megah diselangi laungan keramat, "Merdeka!". Tetapi, persoalannya, adakah makna “merdeka” sekadar bebas daripada penjajah fizikal atau kita masih dibelenggu oleh bentuk penjajahan baharu yang tidak kelihatan?

Dalam era digital ini, kebebasan bukan lagi diukur melalui kedaulatan tanah air semata-mata, tetapi turut melibatkan kebebasan jiwa daripada ancaman emosi, mental dan sosial. Salah satu cabaran paling besar yang membayangi generasi muda hari ini ialah isu buli, baik secara fizikal atau dalam alam maya, yang semakin merebak sehingga membawa kepada kehilangan nyawa.

Statistik mendedahkan gambaran yang membimbangkan. Pada tahun 2023, sebanyak 4,994 kes buli secara fizikal telah dilaporkan di sekolah-sekolah seluruh negara, meningkat ketara berbanding 3,887 kes pada tahun sebelumnya. Menjelang Oktober 2024, jumlah ini meningkat lagi kepada 5,703 kes yang melibatkan seramai 11,594 pelajar.

Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula melaporkan telah menerima purata 27 aduan buli siber setiap hari, dengan 8,339 kes direkodkan setakat November 2024.

Kajian yang dilaksanakan pakar kesihatan mental negara ini juga mendapati sebanyak 17.1 peratus remaja mengalami simptom berkaitan tingkah laku bunuh diri termasuk 11.9 peratus bercadang untuk membunuh diri, 10.2 peratus merancang (membunuh diri) dan 8.4 peratus pernah mencuba bunuh diri.

Isu buli kembali hangat selepas kematian Zara Qairina Mahathir, seorang pelajar tingkatan satu yang jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu. Mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.

Insiden ini menjadi titik tolak kepada perbincangan yang lebih mendalam mengenai isu ini. Walaupun motif sebenar masih dalam siasatan, spekulasi yang mengaitkannya dengan kejadian buli telah mencetuskan trend kesedaran dan kemarahan masyarakat.

Persoalannya, jika anak-anak kita tidak selamat daripada ancaman rakan sebaya sendiri, bolehkah kita dengan yakin mengatakan bahawa negara ini benar-benar merdeka?

Generasi terdahulu membesar dalam suasana di mana disiplin, adab dan nilai moral dipupuk melalui peranan keluarga, guru, komuniti dan institusi agama yang kuat. Walaupun buli fizikal bukanlah sesuatu yang asing, ia jarang sekali membawa kepada akibat yang memudaratkan.

Tiada media sosial yang membolehkan penghinaan atau ancaman terus menghantui mangsa 24 jam sehari. Sebaliknya, era digital kini membuka ruang tanpa sempadan untuk buli siber yang lebih halus tetapi jauh lebih kejam. Mesej yang menyakitkan hati dihantar secara senyap, gambar atau video memalukan disebar tanpa boleh dipadam dan pembuli biasanya bersembunyi di sebalik akaun palsu.

Dalam mengupas soal tanggungjawab, jelas bahawa ia tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Keluarga memainkan peranan utama membentuk nilai moral, memantau penggunaan teknologi dan menyediakan sokongan emosi yang berterusan. Kehadiran ibu bapa dalam kehidupan anak-anak adalah asas yang tidak boleh diabaikan, bukan sekadar mengawal tetapi mendengar serta memahami.

Sekolah pula berperanan dalam pendidikan sahsiah dan kaunseling, menyediakan saluran aduan yang selamat serta menangani dengan pantas setiap kali tanda-tanda buli muncul. Guru bukan hanya pendidik akademik, tetapi juga pemantau perkembangan emosi dan sosial pelajar.

Kerajaan dan pihak berkuasa turut mempunyai peranan penting. Langkah memperkenalkan lesen khas kepada penyedia platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna mulai 2025 adalah usaha ke arah memastikan persekitaran digital lebih selamat.

Namun, ia perlu disertai dengan undang-undang yang lebih tegas seperti Akta Anti Buli Siber yang sedang dikaji bagi membendung gejala itu, di samping penguatkuasaan yang konsisten. Tragedi yang menimpa pempengaruh Rajeswary atau Esha sebelum ini menjadi bukti bahawa tindakan segera adalah satu keperluan, bukan pilihan.

Pada masa sama, komuniti, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan media perlu berganding bahu melaksanakan kempen kesedaran mengenai adab digital, empati serta keberanian melapor kejadian buli. IPT sebagai pusat ilmu dan rujukan berperanan besar dalam membentuk wacana akademik, menjalankan kajian serta melatih belia agar lebih celik digital dan beradab dalam interaksi maya.

Persoalan yang sering timbul ialah adakah isu buli berpunca daripada kelemahan pendidikan formal atau hasil daripada pengaruh peredaran masa? Hakikatnya, ia adalah gabungan kedua-duanya. Pendidikan perlu terus mengandungi elemen pembinaan sahsiah, manakala masyarakat pula harus menyediakan model teladan yang baik kepada generasi muda.

Pemimpin, selebriti dan pempengaruh atau influencer juga perlu memikul tanggungjawab moral dalam memastikan mesej yang disampaikan kepada khalayak bersifat membina dan positif.

Selain itu, teknologi sendiri boleh dimanfaatkan untuk menangani isu ini. Platform media sosial boleh menggunakan kecerdasan buatan untuk mengesan bahasa berunsur buli, manakala aplikasi pendidikan boleh mengajar etika digital sejak di sekolah rendah lagi.

Namun, sebaik mana pun sistem atau undang-undang yang dibina, ia tidak akan berjaya jika masyarakat tidak memupuk budaya empati dan hormat dalam kehidupan seharian.

Hari Merdeka sepatutnya menjadi peringatan bahawa kemerdekaan sejati bukan hanya tentang bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga bebas daripada belenggu yang merosakkan nilai kemanusiaan. Jika anak-anak kita hidup dalam ketakutan sama ada di bilik darjah atau di ruang digital, maka kita belum mencapai kemerdekaan sepenuhnya.

Kemerdekaan jiwa, keselamatan emosi dan kebebasan daripada penindasan rakan sebaya adalah sebahagian daripada warisan yang perlu kita tinggalkan kepada generasi akan datang.

Oleh itu, marilah kita mendefinisi semula makna kemerdekaan. Ia bukan sekadar simbolik kibaran Jalur Gemilang atau laungan keramat “Merdeka!" setiap kali tiba bulan Ogos. Ia adalah tanggungjawab kolektif untuk memastikan setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang, membesar dalam persekitaran yang selamat, beradab dan saling menghormati.

Jika kita mampu melakukannya, barulah kita boleh berdiri tegak sebagai sebuah bangsa yang benar-benar merdeka.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD AMIRUL MOHD ADNAN ALI
Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali
Pegawai Komunikasi Korporat
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI